Demi Masa

Wednesday, August 22, 2012

Nur Ramadhan

Bismilahirrahmanirrahim.

Sebuah cerpen, jangan ditanya kaitannya dengan penulis. Mulakan membaca dengan basmallah dan selawat.


Ain termenung di hadapan komputer riba Acer. Air jernih mengalir perlahan turun ke pipi mulus itu. Qurratul Ain terus tenggelam dalam lamunannya.                                          

                                        *****


"Ain, kau tahu Saiful dapat pindah sekolah kan?"

"Hah? Betul ke.."

Senyuman di bibirnya tadi lenyap serta merta. Terduduk dia menahan pilu di hati. Dia gembira untuk Saiful kerana berpeluang ke sekolah yang lebih baik namun dia turut merasa sedih kerana perasaan yang dipendam selama ini semakin dalam terpendam. Tidak mungkin dia memberitahu rasa hati yang disimpannya hampir dua tahun itu. Lagipun, Ain bukan perempuan yang mudah jatuh suka pada sesiapa apatah lagi untuk bercinta. Tapi, rasa hatinya pada Saiful terasa lain. Ain hanya dapat berdoa semoga Allah menetapkan hatinya agar tidak terlorong untuk melakukan maksiat.

Sudah tiga tahun mereka bersekolah di tempat berbeza. Ain tidak putus-putus berdoa semoga jarak itu akan menghilangkan perasaan aneh itu dari hatinya. Entah kenapa, makin lama makin melekat pula perasaan itu dalam hatinya. Semakin sukar dihakis.

Hari itu keputusan SPM diumumkan. Ain bersyukur dengan keputusannya walaupun tidak sehebat pelajar cemerlang lain. Dan hari itu Amir, kawan baik Saiful berjumpa dengan Ain.

"Nah."

"Apa ni?"

"Nombor telefon. Aku tahu kau dah lama simpan perasaan kau tu."

"Hah? Siapa?"

"Kau tentu tahu siapa. Assalamu'alaikum."

Belum sempat Ain bertanya lebih lanjut Amir sudah berlalu pergi. Ain terpinga-pinga melihat nombor 10 digit itu. Apa yang perlu dia lakukan?

Beberapa bulan selepas itu Ain mendapat tawaran ke universiti terkemuka di tanah air. Walau impiannya ke luar negara tetapi dia tetap bersyukur dengan apa yang Allah takdirkan untuknya. Pasti ada hikmah.

Surat tawaran itu diletakkan di atas meja. Borang-borang yang perlu diisi akan diselesaikan secepat mungkin. Ain terlihat sekeping kertas di sebalik susunan buku. Nombor yang pernah diberi Amir. Ain tak pernah menghubungi langsung nombor itu. Tapi kali ini, Ain menekan nombor-nombor itu di telefon bimbitnya. Ah, belum terdetik untuk dia mendail nombor itu. Lalu dia cuma menyimpan nombor itu.

'Saiful' save.

Hari itu tanggal 14 Oktober, bererti sudah 3 bulan dia mendaftar di universiti terkemuka itu. Banyak perkara baru yang dia belajar. Walau lima tahun dia duduk di asrama masa sekolah menengah dahulu, tetapi di universiti rupanya lagi banyak erti berdikari yang dia belajar. Dan tanggal 14 Oktober juga adalah hari jadi Saiful.

"Selamat Hari Jadi. Semoga Allah sentiasa bersama kamu."

Sent.

Beep! Beep!

'1 message received'

"Terima kasih. Maaf, ini siapa ya?"

Hati ain bergetar. Cukuplah. Tidak usah dibalas mesej itu.

"Ya Allah, jaga hati aku Ya Rabb."

Dan setiap tahun, pada tanggal yang sama Ain akan menghantar mesej ucap selamat kepada Saiful. Walau jarak mereka semakin jauh, Saiful menuntut di selatan tanah air, Ain pula hampir ke utara, tetapi mereka makin dekat dengan adanya teknologi. Dan tahun ini balasan mesej Saiful mengejutkan Ain.

"Terima kasih Ain. Aku tahu dah kau yang selalu wish aku selama ni. Terima kasih tau!"

"Alamak, macam mana kau tahu? Cis."

"6th sense."

"Hmm, yelahh."

Sejak itu mereka semakin rapat. Tetapi Ain tak pernah menunjukkan perasaan sukanya kepada Saiful. Saiful juga tidak pernah menunjuk rasa suka kepada Ain.

"Kau ingat tak Saiful, classmate kita dulu nama liza tu, dah kahwin bulan lepas."

"Err. Tak ingatlah."

"Ish kau ni, makan semut banyak sangat. Apa yang kau ingat?"

"Aku manalah nak ingat budak-budak perempuan sangat. Dah dekat lima tahun tau aku tak jumpa budak-budak sekolah lama. Orang-orang tertentu je aku ingat."

Hah! Aku antara orang tertentu?

Mereka tidaklah berhubung selalu. Kadang-kadang cuti saja ada berhubung di Facebook. Ain selalu menjaga agar pergaulan mereka tidak terlebih batasan.

Ain terkadang senyum sendiri, entah bagaimana dia boleh tersuka pada Saiful. Banyak lelaki lain di sekolah itu, Saiful pula yang melekat di hati. Dia ingat pertama kali hatinya tertarik pada Saiful ketika mendengar Saiful menjadi imam di surau sekolahnya. Bacaan Saiful yang merdu membuat air matanya hampir menitis. Perwatakan Saiful yang tidak pernah bercakap dengan perempuan juga membuat hatinya makin tertarik. Itu ciri lelaki yang jarang jumpa zaman ini.

Suatu hari sedang Ain melayari Facebook, Ain ternampak komen Saiful dengan seorang perempuan. Cara mereka bersembang membuatkan Ain tidak percaya Saiful sudah berubah. Itu bukan Saiful yang dia kenal dahulu. Dia bukan lelaki yang jarang ditemui zaman ini. Dia sama seperti lelaki yang lain. Hati Ain luluh!

Ain mengadu kepada seorang sahabatnya betapa bodohnya dia tertipu dengan perwatakan Saiful selama ini. Ain sangat kecewa perasaan yang dia jaga hampir enam tahun itu rupa-rupanya hanya sia-sia. Rugi rasanya dia menaruh harapan pada lelaki yang sama sahaja dengan lelaki yang lain.

Tapi Ain tetap berdoa semoga Allah menguatkan kembali iman Saiful. Ain redha jodohnya bukan Saiful, tetapi dia sangat berharap Saiful kembali mengejar cinta Allah.

Ramadhan 1433H, Qurratul Ain bertekad untuk mengisi hatinya dengan cinta Allah. Dia tidak mahu lagi mengharap cinta manusia walaupun lelaki itu nampak baik padanya. Dia yakin dengan jodoh yang ditetap Allah.

Ain menangis teresak-esak di setiap tahajjudnya. Betapa selama ini dia hanya mengata dia mencintai Allah tetapi hakikatnya hatinya jauh dari Allah. Dia menyesal dengan dirinya selama ini.

Malam itu tazkirah terawikh di masjid universiti ada menyebut, tiga golongan yang rugi ialah pertama orang yang masih mempunyai ibu bapa tetapi tidak dapat membuatnya masuk ke syurga. Kedua, orang yang tidak berselawat setelah mendengar nama Rasulullah SAW. Dan ketiga, orang yang sempat bertemu ramadhan tetapi tak memberi apa-apa makna padanya.

                                             *****

Ain tersentak dari lamunan. Adakah dia tergolong dalam golongan ketiga itu? Apa makna ramadhan pada dirinya?

Kali ini dia nekad. Dia tidak mahu ramadhan berlalu tanpa memberi apa-apa makna pada dirinya. Cukuplah dia mendengar kata nafsu selama ini. Biarlah ramadhan kali ini jadi titik tolak perubahannya. Biar kali ini nafsu kalah.

Dan Ain hampir pasti dengan keputusannya. Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim. Click.

'Unfriend?'

'Okay.'

Ambillah hati aku kembali Ya Rabb. Amin..

No comments: