Demi Masa

Showing posts with label positif. Show all posts
Showing posts with label positif. Show all posts

Thursday, December 29, 2016

Syukur vs. Qanaah

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Berpeluang untuk menulis dan berkongsi lagi. Mudah-mudahan dikira di sisi Allah sebagai ibadah. Amin ya Rabb.

Alhamdulillah untuk segala yang telah ditakdirkan Ilahi. Thesis submitted. Cuma masih menunggu tarikh viva.

Dan alhamdulillah untuk kehidupan yang mendatang. Syukur Allah tetapkan pada waktu yang terbaik dengan segala yang terbaik yang mampu difikirkan. :)


A216
"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
[Al Baqarah 2:216]


Untuk rasa bersyukur setelah mendapat nikmat ternyata lebih mudah daripada merasa syukur dalam tiada. Itulah qanaah, kawan.

Melafaz alhamdulillah ketika disembuhkan dari sakit, atau dinaikkan pangkat, atau ditambah gaji, atau setelah siapkan thesis, atau bila diumum lulus ujian, atau mendapat kereta baru, atau akhirnya bertemu jodoh (oops!) atau pelbagai lagi nikmat yang kita terima sehari-hari adalah perkara biasa seorang hamba akan lakukan. Memuji Sang Pencipta kerana mengurnia nikmat yang selama ini dicita. Tidak ada yang menghairankan situasi begitu.

Walau masih ada segelintir yang berat untuk mengucap syukur. Difikir segala nikmat atas usaha sendiri bukan rahmat Yang Maha Esa. Na'uzubillah. Semoga kita terhindar dari berfikiran sedemikian.

Namun ada yang lebih ajaib dari itu. Apabila seseorang hamba mengucap syukur ketika tiada.

Ketika tiada wang untuk makan, dia bersyukur. Fikirnya Allah merencana dia supaya beroleh pahala dengan berpuasa.

Ketika dipecat, dia bersyukur. Fikirnya Allah mahu mentakdir pekerjaan yang lebih baik untuknya.

Ketika sakit, dia bersyukur. Fikirnya Allah mahu menghapus dosanya yang menggunung.

Ketika tidak sampai-sampai jodohnya, dia bersyukur. Fikirnya Allah mahu dia terus berbakti pada orang tuanya.

Subhanallah. 'Ajibtu. Aku sangat hairan bagaimana mereka dapat melakukannya.

Itulah kenapa qanaah itu lebih hebat dari sekadar syukur.

Qanaah merasa cukup walau kekurangan. Merasa cukup walau tidak mendapat. Dan merasa cukup kerana dia yakin Allah yang akan mencukupkan.

Masih jauh lagi diri ini nak sampai tahap itu. Untuk berterusan bersyukur pun masih bertatih kadang-kadang merangkak nak ikhlas dalam bersyukur. Allahu.

Kenapa aku terfikirkan soal syukur dan qanaah tengah-tengah malam begini?

Sebab aku takjub cara Allah melatih aku untuk jadi seorang yang bersyukur, dan merasa cukup.

Satu persatu hikmah yang Allah berikan. Perit awalnya. Tapi lama-lama makin serasi setiap satunya.


"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."
[Ali Imran 3:14]


Biasalah fitrah manusia yang mahukan kemewahan, kemahsyuran, kemuliaan dan pelbagai lagi. Tapi menariknya Allah tak beri apa yang kita mahu sebaliknya Allah beri apa yang kita perlu.

Beberapa minggu ini aku sibuk ke sana ke mari menguruskan beberapa urusan penting. Melalui beberapa kawasan banglo mewah. Allahu rabbi, betapa terdetik keinginan untuk memiliki kediaman mewah seperti itu. Tapi cara Allah didik jiwa ini terlalu berhikmah. Subhanallah.

Allah takdirkan begini dan begini supaya nanti aku terlatih hidup lebih sederhana bukan seperti sekarang. Jika sebelum ini hampir apa yang aku inginkan semua senang didapat. Sekarang sejak duit simpanan tak bertambah-tambah nilainya (baca: tidak bekerja) aku jadi lebih berhati-hati untuk memasang impian. Perlu lebih difikir apa yang perlu, apa yang sekadar cuma mahu.

Terus aku bisikkan pada hati doa yang dibisik Asiah saat-saat terakhir dalam hidupnya. "Ya Tuhan, binakan untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga."

A011
Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim"

[At-Tahrim 66:11]

Perlahan-perlahan hati terlatih untuk bersabar menanti kediaman yang jauh lebih indah di syurga nanti. Kuncinya sabar dan syukur dahulu. Rasa cukup dengan apa yang kita ada sekarang. 


A007 
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".

[Ibrahim 14:7]



Kalau diturutkan hati yang terikat nafsu, segala kemewahan dunia mahu dimiliki. Mahu kereta mewah, mahu rumah besar, mahu kehidupan serba serbi melimpah. Tapi apakah kita kan puas? Tidak. Nafsu tidak pernah merasa cukup. Sentiasa mahu dan mahu lagi.

Kalau kita tidak boleh merasa cukup dengan yang sedikit, mampukah untuk kita bersyukur dengan yang banyak? 

Tak perlu dijawab. Renung dalam diri. Refleks semula. Syukur tak akan kita perolehi andai tak pernah merasa cukup. 

Syukur dulu, nanti Allah tambah. :) 

Saturday, April 9, 2016

Food for thoughts.

Bismillahirrahmanirrahim.



Sudah terlalu lama tidak menulis. Entah apa alasan yang kukuh untuk itu. Sama ada terlampau sibuk menyiapkan thesis master, atau hilang ghairah pada penulisan, atau terlalu banyak yang difikirkan sehingga tak tahu yang mana perlu dikongsikan. Alasan mudahnya, faktor usia.

Semakin meningkat umur, rasanya lebih banyak perlu difikir sebelum berbicara. Lebih banyak perlu dikaji sebelum berkongsi. Lebih banyak perlu diteliti sebelum galak menyusun kata.

Serasanya dulu pernah bercita-cita suatu masa nanti akan ada buku yang dipublish dengan nama sendiri sebagai pengarangnya. Ternyata masih lagi cita-cita itu berada di nombor dua belas wishlist. Nombor satu sampai sebelas sahaja masih belum tertunai sepenuhnya. Tetap masih ada yang ketiga belas dan yang keempat belasnya. Senang kata, senarai itu tak mungkin habis. Manusia tanpa cita-cita, lalu dia hidup sebagai apa?

Dalam umur pertengahan dua puluh-an ini, hidup bukan lagi sekadar melihat pada hikmah tapi perlu meneliti di mana hikmah. Hidup ini bukan lagi perihal di sini tapi soal apa selepas di sini. Tak mungkin Allah membiar kita hidup sehingga saat ini hanya untuk terus sama seperti kita sepuluh tahun yang lepas. Kalau dulu kita hanya merangkak, sekarang ini semoga kita mampu berjalan kalau boleh bisa berlari. 

Ketika usia begini, perlunya kita bukan berapa ramai kawan tapi ada kawan yang benar-benar membawa kita dekat kepada Tuhan. Kalau ramainya bagus, kalau sedikit itu memadai.

Dengan bersendiri sebenarnya Allah beri peluang untuk kita muhasabah dan menilai kurang atau lebih pada diri. Perbaiki atau cuba cari solusi.

Ada beberapa hal yang bermain-main dalam fikiran bila jadi lone ranger ni.

Satu:
Betapa susahnya untuk IKHLAS memaafkan orang yang menyakiti kita. Untuk menuturkan "aku maafkan", iya mudah tapi untuk benar-benar memaafkan langsung melupakan sumpah payah.

Kejadian lapan tahun lepas, saat aku dalam lingkungan umur membina diri sendiri, entah kenapa terus jadi luka mendalam dalam hati. Luka yang pada luarnya nampak sembuh padahal dalamnya kadang-kadang berlaku pendarahan. Perit. Tak pernah sedikit pun terniat untuk membenci sesiapa apatah lagi tanpa alasan syar'ie.

Dan kejadian itu menjadikan aku seperti aku yang hari ini. Skeptikal. Tak percaya pada orang. Keras hati. Susah membuka hati untuk menyayangi. Suka bersendiri. Moga nanti di akhirat aku mampu melupakan perlakuan kalian dan tak menuntut atas apa yang terjadi pada aku hari ini.

Dua:
Setiap hari, berlainan orang kita jumpa. Ada yang sekadar kita bertemu dan berpisah. Ada yang sempat kita berkenalan dan mengikat tautan hati. Setiap ragam orang berbeza. Dan pada mereka, kita juga berbeza. 

Tak adil rasanya kita mempersoalkan kenapa orang tak faham diri kita padahal kita sendiri mustahil dapat memahami semua mereka. Mungkin ada sebahagian perangai mereka yang menyakitkan hati kita. Ada sebahagiannya yang tak kena dengan prinsip diri kita. Tapi kalau manusia semuanya serupa, dimana indahnya perkenalan?

Aku sering bayangkan diri kita terbina daripada building blocks yang kecil-kecil. Daripada blocks kecil-kecil tersebut jadilah seorang manusia dengan prinsip hidup tersendiri. Bergantung pada blocks apa yang diguna.

Ada guna block keperitan, ada block kesedihan, ada block kesakitan, ada block kasih sayang, ada block kepercayaan, ada block penghargaan, ada block pengorbanan. Melalui pengalaman terbina setiap blok-blok tersebut.

Mungkin pada aku ada blocks kekecewaan dan kesedihan di samping blocks kasih sayang, cinta, kepercayaan, penghargaan yang menjadikan aku bukan mudah untuk membuka ruang hati untuk orang lain masuk.

Mungkin.

Tiga:
Plan nak submit thesis bulan tiga, sekarang dah bulan empat masih ada validation test yang belum buat. Ah, dah tu kenapa masih boleh menulis blog?

Errrr..

Wednesday, October 30, 2013

"Kami beriman, tapi kami tak mahu diuji."

Bismillahirrahmanirrahim.

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?  

[Al-'Ankabuut 29:2]



Mudah untuk kita melafaz dan mengakui diri kita beriman. Frasa itu terlalu mudah untuk dilafazkan di bibir. Terlalu mudah.

Tapi sejauh mana iman yang dilafaz itu memang benar-benar wujud dalam diri kita? Dalam hati kita? 

Apakah bila diuji kita akan redha dan ikhlas dengan semuanya atau kita akan mengeluh dan merungut?

Benarlah, iman itu bukan hanya di bibir, tapi di hati.

Dan ujian itu sebagai bukti sama ada kita benar-benar beriman atau tidak.

Seorang mukmin yang beriman itu redha dan ikhlas ketika diuji. Ketika dia diuji, dia sabar. Ketika dia diuji, dia terus mengharap keredhaan dan keampunan dari Allah. Ketika dia diuji, dia masih tersenyum dan bersyukur kerana Allah memilih dia untuk diuji.

Dia tidak menyalahkan takdir. Dia tidak mengeluh. Dan dia tidak pernah lelah untuk terus berdoa.

Dia yakin Allah tidak pernah menzalimi dirinya. Dia yakin Allah menimpakan sesuatu yang sesuai dengan kemampuan dirinya. Dia yakin qada' dan qadar. Dia yakin janji Allah benar.

Allahu Rabbi, jadikan aku dan keluargaku termasuk dalam hambaMu yang beriman dan terus yakin dengan hikmahMu. Kuatkan kami untuk terus melangkah menggapai redhaMu. Amin.

Semoga Ummi sihat-sihat sahaja dan cepat sembuh. Aku kadang-kadang tak sanggup melihat terlalu banyak wire di badan Ummi. 

Ya Allah, Engkau Yang Maha Menyembuhkan, Engkau Yang Maha Lembut, lindungilah ummi dengan sebaik-baik perlindunganMu, jagalah ummi dengan sebaik-baik penjagaanMu. Amin,

Hasbunallah wa nikmal wakil.
 

Friday, January 4, 2013

Bam Gamat


Bismillahirrahmanirrahim.

Aku mulakan dengan ucapan syukur kepada Rabbul ‘Alamin kerana rahmatNya masih memberi aku peluang untuk bernafas hingga ke saat ini. Alhamdulillah. Puji dan puja hanya layak bagiNya. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Two papers back-to-back on 2nd January made me fell sick till now. Alhamdulillah, mungkin kafarah dosa. On the exam day, I almost feel lost before I began my jihad. My body shivering at night and I didn't get enough sleep because of that. Woke up in the morning with heavy head and throat aching.

Alhamdulillah, the fever is gone now. But this morning as I woke up, my head felt really bad. Having migrain, on left side. Head, ear, cheek, mouth, almost everything on my left side affected.

Ummi keep calling asking about my health condition. Feel so loved having such a loving and caring mother like Ummi. Ummi said, "Sihat dah? Tekak macam mana? Pening tak lagi?"

 


"Demam tak dah. Pening sikit-sikit je lagi. Tekak jelah gatal lagi."

"Ummi rasa sebab bau klorin kot."

"Entah la. Macam tak je."

"Ada makan coklat tak? Deme ni kata migrain jangan makan coklat."

"Sape deme tu?"

"Cikgu sekolah Ummi. Haha"

"Haha."

"Haha. Cikgu sekolah Ummi memang dah kalah doktor. Ummi tak tahulah nak buat macam mane. Kamu stress kot. Jangan stress sangat lah."

"Hmm. Ni dok sapu bam gamat je ni. Kepala sapu, telinga sapu, pipi sapu."

"Minum air banyak-banyak. Ada ubat tak? Yang penting jangan stress-stress. Kalau rasa stress zikir. Istighfar selalu. Dapat pahala, insyaAllah Allah ampun dosa."

"Ok, ummi."

Subhanallah. Aku terharu dengan nasihat Ummi. Apa-apa pun kembali kepada Allah. Dia yang memberi sakit ni, Dia juga yang akan menyembuhkan.

Aku pandang bam gamat. Allah yang menyembuhkan, bukan bam ini.


"Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;"
[Asy-syu'araa' 26:80]



nota kaki: *deme = mereka

Monday, June 18, 2012

stop ruining our mind!

Bismillahirrahmanirrahim.

Aku mulakan kalam dengan menyebut namaMu Ya Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiMu. Semoga redhaMu mengiringi setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Assalamu'alaikum :)

Sementara cuti dan banyak masa lapang ni, mungkin boleh post banyak-banyak. Itu pun kalau idea mencurah-curah dan jari jemari ini rajin untuk menari di papan kekunci.

Cuti kini berbaki kurang lebih seminggu. Agak kesal juga seminggu setengah yg berlalu lebih banyak aku bazirkan dengan tidak membuat apa-apa yang berfaedah. Memang memerap sahaja di rumah. Online dan menonton televisyen. House chores yang lain tak perlu ceritalah, that's common.

Bolehlah dikatakan kebanyakan masa aku ada di hadapan televisyen. Kadang-kadang bukan menonton sangat, biarkan TV itu terpasang aku pula membaca majalah atau surat khabar. Bukan apa, rasa menyampah tengok rancangan-rancangan dalam TV itu. Sedih tengok keadaan Malaysia yang mana rakyatnya diperbodohkan dengan media.

Satu:
Sakit sangat hati, iman (insyaAllah) bila tengok fesyen-fesyen yang dikatakan muslimah sekarang. Memang, rasa bersyukur sangat bila ramai wanita-wanita sekarang yang mahu bertudung. It's an epidemic! Tapi yang masalahnya, awal-awal dulu ok, definisi tudung sangat jelas. Menutup rambut, belahan leher dan dada. Dan sekarang dengan fesyen yang dipelbagaikan sehingga timbul masalah tudung hanya untuk memenuhi tuntutan fesyen bukan tuntutan syariat. 

Bukan aku bersikap skeptikal dengan perkembangan fesyen tudung sekarang. Dan bukan juga aku bersikap ekstrimis dengan menolak sebulat-bulat fesyen yang dipelbagai itu. Hatta Islam sendiri tidak melarang dan tidak menghalang kita untuk kelihatan cantik. Yang salahnya apabila berlebihan. Apa yang aku lihat, tudung semakin lama semakin pendek. Fesyen yang pelbagai rupa, dengan kekreatifan mereka mencipta sanggul tiruan. Allahuakbar, itu bukan hijab lagi namanya. Itu sudah jadi memperagakan diri. 

Sangat tak faham untuk apa dipakai sanggul tinggi begitu? Cantik, tak pun. Pada aku, hodoh pula. Tak perlulah rasanya untuk memberitahu seantero alam yang anda mempunyai rambut yang panjang.

Jadi aku pun terfikir, apa matlamat pereka-pereka dan penjual-penjual tudung ini dengan memasarkan tudung-tudung tersebut. Adakah untuk menunaikan fardhu kifayah atau memenuhi poket masing-masing sahaja dengan mengaut keuntungan. Kadang-kadang aku sedih melihat penjual-penjual tudung ini menjual barangan mereka. Mempromosikan pula apa yang tak sepatutnya. Berganda-ganda dosa mereka apabila semakin ramai yang semakin jauh dengan apa yang haq. Sedih sangat. Jika tidak kita yang tahu memperbetulkan mereka, siapa lagi?

Dan ya, memakai hijab bukan bermakna hanya menutup rambut. Aurat wanita adalah seluruh anggota badannya kecuali muka dan tapak tangan. Menutup aurat beza maksudnya mengan membungkus aurat. Ah, pasti panjang jika diterangkan semuanya di sini.


Kedua:
Iklan-iklan di TV pun satu hal. Ya, aku nampak mesej positif yang cuba iklan-iklan ini ketengahkan tetapi di sebalik itu pembuat iklan ini kurang sedar apa yang tidak dihighlightkan oleh mereka tetapi memberi impak yang tidak kurang hebat kepada penonton. Contoh pertama, anda semua perasan atau tidak? Kalau tidak, selepas ini cuba perhatikan. Hampir semua (atau sememangnya semua) iklan minuman ditunjukkan aksi minum berdiri. Perkara ini mungkin nampak mudah bagi sesetengah orang tetapi bagi aku, ia sangat memberi makna. Tambah-tambah jika kanak-kanak yang menontonnya. Mereka akan merasakan minum berdiri itu sesuatu yang biasa. Islam mengajar kita untuk beradab. Bukankah sedari tadika lagi kita diajar untuk minum duduk dan makan jangan bercakap? Dan itu sunnah Rasulullah juga.

Iklan-iklan kalau tidak mempergunakan wanita memang tak laku ke? Ada sesetengah iklan, pada aku tak ada kaitan langsung dengan wanita tetapi kenapa watak wanita itu seperti watak utama dalam iklan tersebut? Mungkin aku perlu lebih liberal dalam hal seperti ini? Ahh, never!

Ketiga:
Buka channel ini rancangan ini, tukar channel itu rancangan itu. Macam-macam rancangan realiti yang muncul. Semua channel masing-masing berlumba rancangan siapa lebih hebat. Ada rancangan yang bagus seperti imam muda, solehah, ustazah pilihan, master chef, adik-adikku dan ada lagi. Yang rancangan menyanyinya tak usah cakaplah. Macam-macam jenis ada, dari kategori budaknya, belianya, yang tua sepatutnya ingat mati pun ada! Semua merosakkan masyarakat. Dari kecil dah diasuh dengan hiburan, jadi tak perlu cari salah sesiapa lagilah bila budaya hedonisme melampau-lampau jadi nanti. Kanak-kanak pemimpin masa hadapan ini sudah disajikan dengan pelbagai hiburan, entah bagaimana nasib masa hadapan kita?

Rasa sedih tengok kanak-kanak ini berlumba-lumba untuk menjadi artis. Malah dipuja-puja pula kerjaya sebagai artis. Kanak-kanak ini sepatutnya diajar untuk mengenali Tuhan ketika usia begitu, bukan dibawa mengenali not-not muzik.

Bila tengok rancangan adik-adikku terbitan JAKIM, sedap mata memandang pendakwah cilik itu. Sejuk perut ibu mereka kerana melahirkan anak-anak yang akan menjadi sahamnya di akhirat kelak. Subhanallah.

Rancangan nyanyian untuk yang tua pun ada. Sedih sangat! Bukanlah aku mengatakan mati itu tua sahaja. Yang muda pun, kalau sampai ajal mati juga. Cuma tentu sahaja apabila usia meningkat, lebih-lebih lagi perlu mengingat kepada kematian. Bayangkan anda melalak terpekik terlompat atas pentas itu kemudian sakit jantung, meninggal. Berbaloikah meninggal dalam keadaan itu? Memang tak sanggup nak tengok rancangan itu. Rasa kasihan yang teramat kepada pak cik-pak cik dan mak cik-mak cik yang masuk rancangan itu. Satu pesanan dari saya yang kurang makan garam daripada kalian ini, ingatlah kepada kematian. Baiklah suara itu digunakan untuk mengaji Al-Quran daripada melalak begitu. Langkah-langkah kaki eloklah ke masjid daripada menari atas pentas itu.

Pernah sehari itu aku tertengok satu channel ini. satu rancangan yang sampai sekarang aku tidak tahu apa matlamatnya. Menggandingkan orang ini dengan orang ini. Seorang perempuan dan seorang lelaki disatukan. Adakah memang tujuan rancangan ini untuk menggalakkan budaya 'couple'? Dan yang lagi peliknya, rancangan itu malah memberi tips-tips pula dalam perhubungan. Berpegangan tangan sesuka hati. Yang jelas, mereka cuba menghalalkan apa yang haram melalui rancangan ini.

Banyak lagi kepincangan yang aku lihat di televisyen, tapi aku sudah malas untuk berbicara mengenainya. Rimas. Menyampah.

Yang aku tahu, bila aku ada anak nanti, aku akan cuba sedaya boleh untuk menjauhkan mereka dari televisyen. Aku tidak mahu mereka membesar dengan penipuan dan definisi kehidupan yang salah.

Cukuplah media merosakkan minda masyarakat! Tidak cukup lagikah memperbodohkan kami dengan segala macam penipuan?

Panggillah aku kolot atau pesismis atau apa sahaja. No matter what, I hold with my stand.

..and yeah, stop ruining our mind!

  

Saturday, May 5, 2012

you & HIM

Bismillahirrahmanirrahim.


*Senyum :)


 

Saturday, November 26, 2011

I Believe

Bismillahirrahmanirrahim.

Hampir-hampir putus asa tadi. Cuba tenangkan fikiran sendiri. Alhamdulillah, Allah sentiasa ada untuk hambaNya. Aku kembali kuat dan tersenyum. Syukur.

Dengar lagu ini, semakin menguatkan semangat aku. Yes, I believe.

When you’re searching for the light
And you see no hope in sight
Be sure and have no doubt
He’s always close to you

He’s the one who knows you best
He knows what’s in your heart
You’ll find your peace at last
If you just have faith in Him

You’re always in my heart and mind
Your name is mentioned every day
I’ll follow you no matter what
My biggest wish is to see you one day

Chorus:
I believe
I believe
Do you believe, oh do you believe?


Coz I believe
In a man who used to be
So full of love and harmony
He fought for peace and liberty
And never would he hurt anything
He was a mercy for mankind
A teacher till the end of time

No creature could be compared to him
So full of light and blessings

You’re always in my heart and mind
Your name is mentioned every day
I’ll follow you no matter what
If God wills we’ll meet one day

Chorus

If you lose your way
Believe in a better day
Trials will come
But surely they will fade away
If you just believe
What is plain to see
Just open your heart
And let His love flow through

I believe I believe, I believe I believe
And now I feel my heart is at peace

Chorus

I believe I believe, I believe I believe





Friday, November 25, 2011

Haza min Fadli Rabbi

Bismillahirrahmanirrahim.

Aku mulakan dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Mengharap redhaMu tidak pernah berhenti di setiap hembusan nafasku dan gerak langkahku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih mampu untuk bernafas pagi ini. Masih mampu untuk berdiri menunaikan solat. Bibir masih mampu mengalun ayat cintaNya. Subhanallah.

Nak cerita pasal surprise yang aku buat hampir sebulan yang lalu.

Walimah abang, dirancangkan pada 29 Oktober lepas. 30 Oktober ada midterm Maths 3, 31 Oktober pula ada midterm Organic. Disebabkan stress yang melampau, dengan kerja yang terlalu banyak, aku pun tekadkan niat terpaksa korbankan perasaan untuk tidak pulang ke kampung halaman.

Telefon Ummi Ayah, bagitahu, kalau tak balik, boleh tak? Suara Ummi Ayah semacam tak berapa mengizinkan. Tetapi sebab memikirkan masa depan anaknya ini, Ummi dan Ayah redhakan.

Huh, aku berlakon cool bila cakap dengan Ummi Ayah. Di luar perbualan jenuh juga aku menangis. Sampai bengkak-bengkak juga mata. Tapi aku mungkin pelakon hebat. Tiada siapa dapat perasan. Pergi kelas dengan poker-faced.

Setelah istikharah sebelum itu. Waktu tahajud tiba-tiba datang idea ini. InsyaAllah, semua dari Allah.
Cakap kat Wan rancangan aku. Wan setuju untuk membantu, settle!

28 Oktober aku ke KL Sentral. Sudah tentunya ditemani oleh Wan. Habis kelas tutorial pagi itu, dengan menempuh pelbagai halangan. Aku tenangkan hati, insyaAllah pilihan yang aku buat ini betul.

Pukul 2 petang, selamat aku di dalam ETS. Mengantuk, tapi tak mampu tidur. Hanya zikir yang menemani hati. Mana tak senang, tak pernah-pernah aku buat sesuatu tanpa minta izin Ayah dan beritahu Ummi dahulu. Itu kali pertama. Mohonnya Allah redha.

Asyik tengok jam sepanjang perjalanan. Movie yang ditayangkan di hadapan mata aku sekadar dipandang begitu.

4.16 pm. Alhamdulillah selamat sampai di Stesen Keretapi Ipoh. Syukur sangat-sangat. Mencari surau dahulu sebab tak sempat zohor sebelum bertolak. Sekalikan dengan jamak. Tak habis-habis aku panjatkan syukur. Usai semuanya aku menelefon Ummi, bercakap seperti biasa. Ummi ketika itu sedang sibuk mempersiapkan kenduri esoknya.

"Ummi buat apa?"

"Ni ha isi goody bag."

"Ummi, ambik Ala."

"HAH? Ambik??!"

Ummi waktu itu hampir naik darah. Iyalah dalam sibuk-sibuk begitu, memang satu request yang gila kalau suruh Ummi datang KL ambil aku.

"Yela. Ambik Ala kat stesen kereta api ni."

"HAH?? Stesen kereta api mana?"

"Stesen kereta api Ipoh laa. Ala kat sini."

"ASTAGFIRULLAHAL'AZIM!! Kamu biar betul! Kamu kat mana ni?"

"Haha. Betullah Ummi, kat stesen kereta api Ipoh ni."

Talian mati. Kemudian Ummi telefon semula.

"Kamu kat mana? Betul ke kat stesen kereta api Ipoh? Entah terlajak ke Kuala Kangsar ke."

"Haha. Ummi, betullahhhh.."

"Kejap, kejap. Abang dengan Abang Zeze hantar barang kat tabung haji tu. Nanti deme ambik kamu. Ish budak nih."

"Hee.."

"Ala balik dengan siapa?"

"Err, sorang."

"Hah??! Sorang?! Betul ke kamu kat stesen kereta api Ipoh tu? Tak terlajak ke? Astagfirullahal'azim. Nanti-nanti. Duduk diam-diam. Duduk kat tempat ramai orang. Duduk kat dalam stesen je, jangan keluar."

Aku tersengih je dengar Ummi macam tu. Ummi, memang well known sangat risau pasal anak bongsu dia ni. Sudahlah tidak pernah pulang sendiri dengan bas atau kereta api. Inikan pula seorang diri begitu.

Sampai-sampai rumah, Ummi Ayah peluk, cium, tampar
, cubit, semua kena kat aku. Nasib badanlah, siapa suruh buat surprise. hahA!

Walimah esoknya heboh cerita aku. Semua saudara mara, mak cik-mak cik, pak cik-pak cik, opah, sepupu semua tanya, "Aik? Kata tak balik, ada exam."

Pak Uda tanya, "Bila examnya?"

"Esok. Pukul 10 pagi."

"Woo!"

Memang kerja gila. Bawa juga latihan maths pergi tabung haji tu. Abangme pula nyakat, "Tak payah le, tak jadinye kamu.."

hahA! Like I care. Tapi memang tak jadi pun. Buat sikit, lepas tu orang dah ramai datang. Memang tak la kalau nak buat rajin kat situ kan?

Malam dengan keadaan penat-penat begitu aku buka sedikit buku Maths. First time in my life, aku study maths dengan hanya membaca. Tengok formula, faham steps. Serius, tak nak buat dah macam ni.

Pagi-pagi Ahad, pukul 5 bertolak dari Ipoh. Subuh, sarapan semua di highway. Tertidur dalam kereta dek masih penat kenduri. Pukul 7 lebih menghampiri pukul 8 baru terjaga. Buka buku maths. Sekali lagi fahamkan dan selak mana yang belum diselak.

Gila. Memang kerja gila.

Tepat pukul 8.50 pagi aku sampai UIA. Hantar barang ke bilik then Ummi Ayah hantar ke CAC. Ayah pelik aku berlenggang sahaja dengan bekas pensel.

"Tak bawak nota ke? Buku?"

"Hah, tak dapat masuk dah time ni."

Masih ada masa lebih 30 minit sebelum ke dewan. Ummi Ayah bersembang sesama mereka. Aku hanya diam sambil berselawat supaya tak lupa apa yang aku study. Kadang-kadang mencelah juga untuk kurangkan rasa cuak.

Sebelum masuk CAC, salam Ummi Ayah dan mohon didoakan. Alhamdulillah, aku dapat menjawab dengan tenang. Aku yakin semua berkat doa Ummi Ayah beserta redha Allah yang pasti.

Semalam dapat result maths tersebut. Alhamdulillah, memang nikmat Allah tak pernah aku mampu untuk menafikannya. Jika dikira amalan, pasti tak cukup untuk aku menerima nikmat sebegitu. Aku bersyukur, sangat!

Tapi sungguh, aku perlu ingatkan diri selalu. Ini mungkin ujian dari Allah. Sama ada aku mudah lupa diri atau sebaliknya. Bukan bermakna engkau bijak ye, Syakirah. Semua nikmat Allah. Bila-bila masa Dia boleh tarik balik.

Seriously, aku tak nak buat dah macam tu. Kerja gila. Kali ini mungkin aku lepas, result exam masih boleh bernafas. Lain kali belum tentu.

Nasihat untuk antum, ikhlaskan niat kerana Allah ta'ala. InsyaAllah, Allah akan permudahkan segalanya. Yakinlah. Kedua, jika tak mendapat seperti apa yang kita harapkan, redhalah. Sesungguhnya Allah punya rencana terbaik buat kita semua.

InsyaAllah, harapnya sampai bila-bila aku tak kan tinggalkan amalan sunat Dhuha. Ayah yang ajar kami semua supaya amalkan. Ayah, memang Ayah terbaik dunia akhirat. Ayah mana yang mampu untuk kejutkan anak-anaknya tahajud setiap hari? Ayah, terima kasih kerana mendidik dan mengasuh Ala sehingga Ala menjadi seperti diri Ala sekarang. Ala doakan syurga untuk Ayah. Amin.

Haza min fadli Rabbi. Semua nikmat dari Allah.

*Senyum :)

Mr. Right

Bismillahirrahmanirrahim.

Teringat dalam kelas thermo, Dr Ma'an selalu buat analogi.

"About reversible process, it can never be happen in real. You just need it as your bench mark, so that you know how efficient your process was. Just like finding Mr. or Miss Right. You can never find one. But you have to have some consideration in order to find your Mr. and Miss Right."




Dalam kelas organic pun sama. Madam Parveen selalu nasihat kami to have the best life with our partner. Selalu dianalogikan dengan alkyl group, yeah, they always share, never take advantage on their partner. Dalam biotech, kami belajar about LIFE.

And one more thing just wanna share with you guys, just learnt it yesterday, STRESS CAN CAUSED MUTATION! So, beware. Jangan stress ye kawan-kawan. Just smile, like I always do.

Even in the hardest situation, Allah always be there. Believe it!

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,(Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.
[Al-Insyirah 94:5-6]

Friday, October 21, 2011

Aku Akan Terus Di Sini

Bismillahirrahmanirrahim.

Dengan asma' Allah aku mulakan kalam. Mengharap redhaNya. Selawat dan salam buat junjungan mulia.

Alhamdulillah, masih mampu bernafas hingga ke hari ini.

Seminggu ini sangat hectic. Kelas dari pagi sampai lewat petang. Sambung pula hingga ke malam, ada sahaja programnya. Kelas, meeting..macam-macamlah! Jujurnya, kadang-kadang hadir juga rasa tertekan segala, lalu aku paksa untuk senyum. Bukan aku mahu katakan aku seorang yang positif, jika aku positif takdelah aku sampai boleh stress, bukan? Sebab hampir-hampir caj negatif itu menguasai dirilah aku paksa diri untuk senyum semoga caj positif akan kembali memenuhi saluran darahku. Alhamdulillah, cara ini sedikit sebanyak berhasil.

Pernah juga, rasa diri mahu putus asa. Mahu tinggalkan sahaja semua. Tetapi kembali iman di dalam hati bersuara, Allah tidak pernah menguji hambaNya di luar kemampuan. Aku senyum sendiri lagi.

Bayangkanlah, dalam kelas sepatutnya sekurang-kurang 80% perhatian aku patut berikan tetapi sebaliknya yang berlaku. Entah iya 20% yang berbaki itu aku gunakan sepenuhnya atau tidak. Bila teringat harapan Ummi dan Ayah, aku jadi bersalah. Adakah aku khianat pada amanah aku sebagai pelajar dan seorang anak? Astagfirullah, khilaf.

Markah kuiz, bukan semuanya memuaskan. Banyak sangat yang teruk. Kawan-kawan cakap, "Sabar, Syak". Aku tersenyum. Tidak sahabat, aku tidak sedih langsung. Aku yakin dengan prinsip, "What you give, you get back". Usaha aku memang hanya berbaloi dengan markah itu, wajarkah untuk aku meratap kerana tidak mendapat markah lebih? Malah, jika ada kuiz yang aku dapat markah yang lebih dari apa yang aku sangkakan, aku jadi takut. Memang itu nikmat, tetapi aku selalu beringat ujian berupa nikmat itu lebih payah dari ujian berupa musibah.

Jadi setiausaha untuk Tex-C, entah, aku rasa aku tidak menjalankan amanah dengan sehabis baik. Ampunkan aku Ya Allah. Ada juga terdetik, kenapa aku terima tanggungjawab ini? Tetapi kembali, iman aku mengingatkan, Allah tahu apa yang kita tidak tahu. Rasa mahu meninggalkan amanah, tetapi tidak mungkin. Bukan namanya Syakirah, jika itu yang dibuatnya.

Aku bukan mahu katakan aku seorang yang berdedikasi dan sebagainya, tetapi memang sudah sebati agaknya dengan diri aku, jika diberi tanggungjawab, jalankan sehabis daya, biarpun diri sendiri yang teraniaya. Entah, memang jasad aku minta untuk tidak mendera diri tetapi memikirkan sesebuah amanah itu akan dipertanggungjawabkan kelak, aku biarkan jasad menjerit.

Dan aku juga tidak mampu untuk mengata tidak jika ada yang ingin memberi tugas baru kepadaku. Jadi jika kasihankan saya, tidak perlu berikan saya apa-apa tugas. Bolehkah begitu? haha!

Baiklah, bercakap soal kuiz tadi. Kadang-kadang aku risau dengan diri sendiri. Boleh pula tidak punya rasa apa-apa tika mendapat markah rendah. Terlampau positifkah? Pernah juga aku terfikir mungkin hati aku sudah kering. Na'uzubillah.

Apa-apa pun yang berlaku, aku tidak akan berhenti dari perjalanan yang aku pilih ini. Aku akan terus di sini, meneruskan apa yang telah dimulakan.

Dan kepada sahabatku, iya, aku akan terus di sini. Tidak ke mana-mana.

*Senyum :)

p/s: Seronok tadi first time dukung Ilhan Syamil. Mula-mula taku nak pegang sebab di tu lembut lagi. Tapi Akak paksa juga. Seronok bila dah pandai pegang. Yeay, dah boleh kawen! hahA!

Wednesday, September 7, 2011

You are What You READ

Bismillahirrahmanirrahim.

Aku mulakan dengan menyebut asma' Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Segala puji dan puja hanya milikNya. Aku sentiasa mendamba redhaNya di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih berpeluang bernafas dalam iman dan Islam. Syukur.

Semoga aku sentiasa tergolong dalam hambaMu yang bersyukur. Amin.

Subhanallah. You are what you read. Sungguh, aku selalunya akan terikut-ikut apa yang aku sedang baca. Jika novel itu begini dan begini, aku mudah terikut wataknya yang begini dan begini. Sebab itu aku tidak suka baca buku atau novel yang merepek bagai. Aku mudah terikut. Na'uzubillah.

Tetapi satu kelemahanku, buku sejarah, sirah sangatlah lambat untuk aku habisi. My current book is "Aisyah Keanggunan Sejati". Sirah Ummul Mukminin. Asal aku baca mata jadi mengantuk. Teruk sungguh. Tetapi secara jujurnya sangat menarik cuma aku mudah mengantuk kerana aku membaca dengan berhati-hati dan cuba memahami satu persatu. Iyalah, sirah begini bukan boleh buat acuh tidak acuh.

Berselang dengan buku itu, ada dua novel telah dihabiskan. Adehh, novel boleh pula sampai dua dihabiskan? Memang cerita novel yang aku baca ada banyak khayalannya tetapi ambillah yang baik, bukan? Laksamana Sunan, memang gambaran pendekar sejati. Siapa yang tidak jatuh cinta jika begitu? hahA!

Kitab-kitab Ayah banyak sahaja di dalam rak buku itu. Pernah juga cuba menelaah. Tetapi akhirnya aku jadi pening sendiri. Ada satu jilid yang aku buka, Allahuakbar, kitab Mazhab Imam Syafie, banyak juga yang aku tidak tahu. Baru beberapa muka surat yang diselak, pelbagai perkara yang aku baru pelajari. Nampak sangat betapa ceteknya ilmu di dada.

Jadi, mari tambah ilmu tambah amal. Ilmu bukan sahaja boleh didapati melalui proses pembelajaran. Banyak medium lain lagi. Dan membaca salah satunya.

*Mengingatkan diri sendiri juga. Mujahidah, cepat habiskan membaca buku sirah itu! Sem baru nak bermula dah.

Friday, August 5, 2011

Maternal Instinct

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan kalam pada hari ini dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya untukNya. Aku sentiasa mendamba redhaNya di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih bernafas dalam iman dan Islam. Syukur.



"Ko ni, takde ciri-ciri keibuan langsung."


Pernah sekali seorang kawan menyatakan ayat tersebut kepadaku. hahA! Tersenyum aku. Fyi, he's a boy. Dan ini cerita dua tiga tahun sudah.

Dalam hati aku membalas, "Perlu ke aku nak tunjuk ciri-ciri keibuan aku? Aku belum jadi seorang ibu pun."

Memanglah, cara aku kadang-kadang agak kasar. Yang paling obvious aku tidak tahu untuk caring pada orang lain. Pernahlah sekali dulu, kawan aku beritahu, "Syak, budak ni sakit". Aku hanya membalas, "Ouhh..ek. Hmm"

Gila lah. Hati kering. Pernah juga kawan cakap kepadaku, "Ni yang malas nak cerita kat syak ni, takde respon."

Tetapi aku berusaha untuk berubah. Hari demi hari aku cuba perbaiki diri. Sekarang tidaklah terlalu kering sangat hati ini. Yang agak menakjubkan, aku sudah mampu untuk tersenyum jikalau menonton cerita kelakar. Mampu juga untuk mengalir air mata jikalau ada babak sedih. Wahh..quite unbelievable, for me at least.

Sekarang bolehlah juga mahu mengambil berat pada orang lain sikit-sikit. Sudah tahu untuk bertanya khabar. Harapnya tahu juga untuk menjaga hati orang lain.

Cuma satu aku mahu tanyakan, kawan yang tadi itu lelaki, tidak perlu bukan aku menunjukkan sikap-sikap prihatin kepadanya? Cukup sekadar aku menjaga batas pergaulan, sudahlah. Bukan begitu?

Ada seseorang pernah katakan kepadaku, seseorang wanita itu akan dilihat on how she behaves with her parents and friends sebab itu akan menunjukkan bagaimana wanita itu akan react dengan mertua dan anak-anaknya nanti.

Hmm.. berfikir sejenak. Benarkah?

Jadi aku sudah direject awal-awal lah ni? hahA! No offense. Jodoh itu ketentuan Ilahi. Sudah ditetapkan pun siapa bakal menjadi imamku nanti. Jika tidak di dunia, insyaAllah di syurga dia sedang menanti.

Hanya keluarga dan kawan-kawan aku yang tahu perangai sebenar aku. Itu pun jika mereka betul-betul rapat denganku. After all, Allah knows best.

Maternal instinct is something natural, yet it can be develop too. Seorang wanita memang sudah difitrahkan dengan sifat-sifat kewanitaannya. Cuma kadang-kadang dia sembunyikan dan hanya ditunjukkan kepada yang hak.

Allahu'alam bissawab.

Tuesday, August 2, 2011

Istikharah

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku kembali menukilkan kalam dengan mulakan menyebut asma' Allah. Segala puja dan puji hanya layak bagiNya. Aku mengharap redhaNya tidak pernah putus mengiringi di setiap hembusan nafasku. Sel
awat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah masih berpeluang menghirup udaraMu Ya Allah. Syukur.

Ada satu cerita:

"Ayah, 'kawan' Ala nak jumpa Ummi Ayah. Boleh ke?"

Tanpa menjawab soalan tersebut, Ayah kemudian bertanya, "Lelaki?"

Aku sekadar mengangguk perlahan.

"Orang mana?"

Masih. Ayah tidak menjawab soalan pertama tadi.

Setelah beberapa soal jawab kemudiannya Ayah
berkata, "Ayah kalau boleh nak anak-anak duduk depan mata Ayah je. Nak bagi kawen pon biar orang dekat-dekat je. Tapi Akak dah pilih orang Johor, nak buat macam mana. Awak, Ayah dah pilihkan orang dekat."

"???"

Ummi pula menyambung, "Hmm, Ummi Ayah tak puas lagi nak jaga awak. Biarlah duduk dekat-dekat je."

"Tak pe kan Syakirah? Awak tak kecil hati kan?" Ayah dengan nada memujuk.

Aku diam, tidak mengangguk mahupun menggeleng. Sekadar tersenyum. Harapnya senyuman itu mampu menggembirakan hati Ummi dan Ayah walaupun hati aku masih berperang untuk redha.

Lagipun aku masih dalam jagaan Ayah Ummi. Ayah adalah wali mujbir, aku perlu menurut sahaja. Aku percaya, tentu Ayah tidak pilih sebarangan. Pasti sahaja seseorang yang mampu membawa aku menggapai cintaNya hingga ke syurga. InsyaAllah.

Namun, aku masih perlu pertolongan dari Allah untuk menentukan keputusan yang terbaik. Ya, istikharah sahaja jalan
yang ada. Ya Allah, berikanlah bantuanMu.

Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini ... adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini ... mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya. Amin Ya Rabbal 'Alamin.


Ada macam ala-ala cerita Nur Kasih tak? Waktu Nur dipaksa untuk menerima Adam? hahA! Baiklah, ini cuma cerita dongeng. Tidak pernah berlaku pun lagi. Ayah tidak akan pernah memaksa anaknya menerima lamaran sesiapa. Ayah membiarkan anak-anaknya membuat pilihan sendiri, asalnya tidak membelakangkan AGAMA.

Tetapi, aku cuma mahu ingatkan kepada lelaki-lelaki soleh sekalian, sekiranya anda menghormati seseorang muslimah dan anda
mahu menjadikan dia zaujah, anda perlu menghormati walinya juga. Wali adalah orang paling berhak ke atas muslimah tersebut. Seeloknya berundinglah terus kepada walinya. Janganlah dinyatakan hasrat kalian kepada muslimah tersebut dahulu. Bukankah tidak manis begitu?

Anta, bakal zauji, ana pun bercakap dengan anta. (Andai anta adalah salah seorang pembaca blog analah. Hee~) Ana mahuka
n ikatan yang suci yang tidak pernah dicemari oleh maksiat. InsyaAllah. Ana masih mempersiapkan diri untuk menjadi solehah kepada seorang zauj yang soleh. Amin.

Ehhh?? Melalut panjang pula. Cerita asal sebenarnya lain. Sengaja mahu buat kontroversi dahulu pada mukadimah. Berjaya tak? Hee~

Ceritanya bermula dengan ini:




Iya, tawaran tiba-tiba datang. Seorang sahabat mengundang. Tetapi apa-apa pun aku wajib meminta izin dari Ayah dan Ummi.

Petang semalam, "Ayah, Ala nak pergi kampung orang asli boleh?"

Ayah diam lima saat. Daripada berdiri terus duduk di atas kerusi.

"Bila?"

"Lusa."

"Berapa hari?"

"Empat hari je. 4 sampai 8 hari bulan."

"Kat mana?"

"Tempat hari tu la. Kat Kelantan."

"Tak payah la..Ayah Ummi tak puas lagi tengok muka awak. Bulan puasa pulak tu."

Ummi pula mencelah, "Ummi kalau boleh nak anak-anak Ummi ada kat rumah je bulan-bulan puasa ni. Nak puasa sama-sama. Tapi apakan daya, Abang dah duduk KL, Akak dah kawen, Abangme LI kat Lumut pulak. Ala temanlah Ummi dan Ayah kat rumah."

Aku diam. Sambil berfikir sambil meletak sepenuh harapan pada Ilahi. Aku kena belajar untuk redha.

"Tak payah pergi la ye? Tak kecik hati kan?" Ayah dengan nada memujuk.

Aku senyum. Kemudian cuba sedaya upaya untuk mengangguk redha. Lemah.

Aku sudah mendapat jawapan dari Ayah Ummi. Aku masih perlukan jawapan dariNya. Kepada sahabatku, aku sudah nyatakan, paling awal aku boleh memberi jawapan pun adalah malam semalam.

Istikharah menemani solat terawikh. Dalam sujud terakhir aku memohon petunjuk dariNya. Semoga Allah membantu aku membuat keputusan. Jika Engkau meredhakan aku untuk kembali ke Tohoi, lembutkanlah hati Ummi dan Ayah. Jika tidak, berikanlah aku peluang untuk terus berbakti kepada Ummi dan Ayah. Amin.

Pagi tadi sebelum bersahur aku ambil waktu untuk meletakkan dahi ke sejadah. Masih memohon agar Dia menguatkan hati ini.

Sinar kudus dhuha aku iringkan dengan ayat suciNya. Semoga hati aku diteguhkan dengan jawapan dari Ilahi.

"Salam loh. Maaf sgt3, ak da try pjuk parents ak tp dorg cm tak bpe nk bagi. Lg pn adik bradik ak yg len tade kt umah, so aku jela nk b'bakti kt parents ak. Ikot aku, mmg nk g, tp my parents need me more. Thnx weh sudi jemput. Ak doa prog ni b'jln lancar n b'jaya. Amin"

Message delivered.

Aku yakin dengan hasil istikharah ini. Semoga Allah terus bersamaku dalam menentukan arah kehidupan ini. Aku redha untuk segalanya.

Iman dan hati aku kini seiring berkata, "Mujahidah, tidak layak kamu mahu berdakwah dan berbakti kepada ummah andai Ummi dan Ayah kamu abaikan. Redha mereka adalah redha Allah."

*Senyum :)