Demi Masa

Showing posts with label usrati. Show all posts
Showing posts with label usrati. Show all posts

Friday, May 4, 2012

How would you like it to be different?

Bismillahirrahmanirrahim.
May Allah bless us in each breath. Peace be upon Rasulullah SAW.

Last parenting class, Dr Manzoor Malik asked us a question on "How your parents brought you up and how would you like it to be different for your future children?"

I'm not going to talk about my answer. But this is what attracted my attention that night.

"The way my parents brought me up was quite satisfying, but I will stress more on religious knowledge for my children if I got the chance to have one. I don't blame my parents for that since I know they were also growing up with the same situation. When my children are able to read, to speak, I will give them religious education straight away."

Despite, we did not look at him as someone who are lack with religious knowledge, but someone who are trying so hard improving himself and going to do the same for his future family.

"As for example, I only knew about Jumaah prayer when I was 13."

Listen to that statement, made me realized how best Allah's planning is. Even though that brother comes from the average family, he befriends with some other brothers who I considered have a good Islamic background. Allah gave him chance to study in IIUM, where he can improve his religious knowledge with the Islamic surrounding implemented in every aspect. 

"Dia pernah sekelas tilawah dengan aku waktu kat CFS dulu and dia kurang lancar baca Quran. Tapi, boleh nampaklah effort dia nak belajar Quran tu." My friend whispered to me while that brother still doing his talking.

"Lagi baguslah macam tu kan? Pahala dia lagi banyak."

Subhanallah. 

I gave full attention on every word that brother said. He shouldn't be ashamed with himself. In fact, he should be grateful that Allah chose him to get His hidayah over everyone else.


Perasaan waktu tu, sangat seronok sebab seorang lagi pemuda Islam dilahirkan. Betapa hidayah itu milik Allah. Hanya Allah sahaja yang tahu kenapa Dia memilih orang itu dan itu. Dan juga kenapa jadi begitu dan begitu. Ilmu Allah di luar jangkauan kita.


He want to do something better for his family later, brings them to Jannah. InsyaAllah, there are many brothers out there who also have the characteristic of great husband-to-be. May Allah rewards them so. Amin.


Allahu'alam bissawab.

Sunday, November 27, 2011

Friday, November 25, 2011

Haza min Fadli Rabbi

Bismillahirrahmanirrahim.

Aku mulakan dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Mengharap redhaMu tidak pernah berhenti di setiap hembusan nafasku dan gerak langkahku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih mampu untuk bernafas pagi ini. Masih mampu untuk berdiri menunaikan solat. Bibir masih mampu mengalun ayat cintaNya. Subhanallah.

Nak cerita pasal surprise yang aku buat hampir sebulan yang lalu.

Walimah abang, dirancangkan pada 29 Oktober lepas. 30 Oktober ada midterm Maths 3, 31 Oktober pula ada midterm Organic. Disebabkan stress yang melampau, dengan kerja yang terlalu banyak, aku pun tekadkan niat terpaksa korbankan perasaan untuk tidak pulang ke kampung halaman.

Telefon Ummi Ayah, bagitahu, kalau tak balik, boleh tak? Suara Ummi Ayah semacam tak berapa mengizinkan. Tetapi sebab memikirkan masa depan anaknya ini, Ummi dan Ayah redhakan.

Huh, aku berlakon cool bila cakap dengan Ummi Ayah. Di luar perbualan jenuh juga aku menangis. Sampai bengkak-bengkak juga mata. Tapi aku mungkin pelakon hebat. Tiada siapa dapat perasan. Pergi kelas dengan poker-faced.

Setelah istikharah sebelum itu. Waktu tahajud tiba-tiba datang idea ini. InsyaAllah, semua dari Allah.
Cakap kat Wan rancangan aku. Wan setuju untuk membantu, settle!

28 Oktober aku ke KL Sentral. Sudah tentunya ditemani oleh Wan. Habis kelas tutorial pagi itu, dengan menempuh pelbagai halangan. Aku tenangkan hati, insyaAllah pilihan yang aku buat ini betul.

Pukul 2 petang, selamat aku di dalam ETS. Mengantuk, tapi tak mampu tidur. Hanya zikir yang menemani hati. Mana tak senang, tak pernah-pernah aku buat sesuatu tanpa minta izin Ayah dan beritahu Ummi dahulu. Itu kali pertama. Mohonnya Allah redha.

Asyik tengok jam sepanjang perjalanan. Movie yang ditayangkan di hadapan mata aku sekadar dipandang begitu.

4.16 pm. Alhamdulillah selamat sampai di Stesen Keretapi Ipoh. Syukur sangat-sangat. Mencari surau dahulu sebab tak sempat zohor sebelum bertolak. Sekalikan dengan jamak. Tak habis-habis aku panjatkan syukur. Usai semuanya aku menelefon Ummi, bercakap seperti biasa. Ummi ketika itu sedang sibuk mempersiapkan kenduri esoknya.

"Ummi buat apa?"

"Ni ha isi goody bag."

"Ummi, ambik Ala."

"HAH? Ambik??!"

Ummi waktu itu hampir naik darah. Iyalah dalam sibuk-sibuk begitu, memang satu request yang gila kalau suruh Ummi datang KL ambil aku.

"Yela. Ambik Ala kat stesen kereta api ni."

"HAH?? Stesen kereta api mana?"

"Stesen kereta api Ipoh laa. Ala kat sini."

"ASTAGFIRULLAHAL'AZIM!! Kamu biar betul! Kamu kat mana ni?"

"Haha. Betullah Ummi, kat stesen kereta api Ipoh ni."

Talian mati. Kemudian Ummi telefon semula.

"Kamu kat mana? Betul ke kat stesen kereta api Ipoh? Entah terlajak ke Kuala Kangsar ke."

"Haha. Ummi, betullahhhh.."

"Kejap, kejap. Abang dengan Abang Zeze hantar barang kat tabung haji tu. Nanti deme ambik kamu. Ish budak nih."

"Hee.."

"Ala balik dengan siapa?"

"Err, sorang."

"Hah??! Sorang?! Betul ke kamu kat stesen kereta api Ipoh tu? Tak terlajak ke? Astagfirullahal'azim. Nanti-nanti. Duduk diam-diam. Duduk kat tempat ramai orang. Duduk kat dalam stesen je, jangan keluar."

Aku tersengih je dengar Ummi macam tu. Ummi, memang well known sangat risau pasal anak bongsu dia ni. Sudahlah tidak pernah pulang sendiri dengan bas atau kereta api. Inikan pula seorang diri begitu.

Sampai-sampai rumah, Ummi Ayah peluk, cium, tampar
, cubit, semua kena kat aku. Nasib badanlah, siapa suruh buat surprise. hahA!

Walimah esoknya heboh cerita aku. Semua saudara mara, mak cik-mak cik, pak cik-pak cik, opah, sepupu semua tanya, "Aik? Kata tak balik, ada exam."

Pak Uda tanya, "Bila examnya?"

"Esok. Pukul 10 pagi."

"Woo!"

Memang kerja gila. Bawa juga latihan maths pergi tabung haji tu. Abangme pula nyakat, "Tak payah le, tak jadinye kamu.."

hahA! Like I care. Tapi memang tak jadi pun. Buat sikit, lepas tu orang dah ramai datang. Memang tak la kalau nak buat rajin kat situ kan?

Malam dengan keadaan penat-penat begitu aku buka sedikit buku Maths. First time in my life, aku study maths dengan hanya membaca. Tengok formula, faham steps. Serius, tak nak buat dah macam ni.

Pagi-pagi Ahad, pukul 5 bertolak dari Ipoh. Subuh, sarapan semua di highway. Tertidur dalam kereta dek masih penat kenduri. Pukul 7 lebih menghampiri pukul 8 baru terjaga. Buka buku maths. Sekali lagi fahamkan dan selak mana yang belum diselak.

Gila. Memang kerja gila.

Tepat pukul 8.50 pagi aku sampai UIA. Hantar barang ke bilik then Ummi Ayah hantar ke CAC. Ayah pelik aku berlenggang sahaja dengan bekas pensel.

"Tak bawak nota ke? Buku?"

"Hah, tak dapat masuk dah time ni."

Masih ada masa lebih 30 minit sebelum ke dewan. Ummi Ayah bersembang sesama mereka. Aku hanya diam sambil berselawat supaya tak lupa apa yang aku study. Kadang-kadang mencelah juga untuk kurangkan rasa cuak.

Sebelum masuk CAC, salam Ummi Ayah dan mohon didoakan. Alhamdulillah, aku dapat menjawab dengan tenang. Aku yakin semua berkat doa Ummi Ayah beserta redha Allah yang pasti.

Semalam dapat result maths tersebut. Alhamdulillah, memang nikmat Allah tak pernah aku mampu untuk menafikannya. Jika dikira amalan, pasti tak cukup untuk aku menerima nikmat sebegitu. Aku bersyukur, sangat!

Tapi sungguh, aku perlu ingatkan diri selalu. Ini mungkin ujian dari Allah. Sama ada aku mudah lupa diri atau sebaliknya. Bukan bermakna engkau bijak ye, Syakirah. Semua nikmat Allah. Bila-bila masa Dia boleh tarik balik.

Seriously, aku tak nak buat dah macam tu. Kerja gila. Kali ini mungkin aku lepas, result exam masih boleh bernafas. Lain kali belum tentu.

Nasihat untuk antum, ikhlaskan niat kerana Allah ta'ala. InsyaAllah, Allah akan permudahkan segalanya. Yakinlah. Kedua, jika tak mendapat seperti apa yang kita harapkan, redhalah. Sesungguhnya Allah punya rencana terbaik buat kita semua.

InsyaAllah, harapnya sampai bila-bila aku tak kan tinggalkan amalan sunat Dhuha. Ayah yang ajar kami semua supaya amalkan. Ayah, memang Ayah terbaik dunia akhirat. Ayah mana yang mampu untuk kejutkan anak-anaknya tahajud setiap hari? Ayah, terima kasih kerana mendidik dan mengasuh Ala sehingga Ala menjadi seperti diri Ala sekarang. Ala doakan syurga untuk Ayah. Amin.

Haza min fadli Rabbi. Semua nikmat dari Allah.

*Senyum :)

Thursday, September 8, 2011

Doa untuk Akak

Bismillahirrahmanirrahim.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim, permudahkan segala urusan. Engkaulah yang mentakdir segala. Aku pohon lindungi kakakku, limpahkan rahimMu ke atas dia. Selamatkan dia, selamatkan bayi dalam kandungannya. Semoga segala urusan yang Engkau tetapkan kami menguruskan, akan menyumbang kepada agamaMu. Amin Ya Rabbal 'Alamin.




Ala sayang Akak. Sangat!

Friday, August 5, 2011

Jika

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan dengan menyebut asma' Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Semoga redhaNya sentiasa mengiringi hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih bernafas dan berpeluang menghirup udaraNya. Allah, jika ini nafas terakhirku, semoga ia berakhir dengan namaMu meniti di bibirku. Amin.

Tadi beritahu Ummi. Dan Ummi kata, "Alhamdulillah malam je, siang ok kan?"

Allah. Tersentak sebentar. Aku rupanya hanya tahu merungut tetapi lupa untuk bersyukur atas nikmat lain yang lebih banyak. Astagfirullahal'azim.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Ya Rabb, ampuni hambaMu ini. Aku khilaf untuk mensyukuri nikmatMu sedang aku lebih memilih untuk mengeluh pada ujianMu. Allah, aku mohon jika ujianMu ini sebagai kafarah dosaku, maka ampunilah aku. Jika ia untuk menguji imanku, maka tingkatkan dan teguhkan imanku. Ya Allah, Ya Ghafur, Tuhan Yang Maha Penerima Taubat, terimalah taubatku ini. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Allahuakbar. Itulah, kadang-kadang kita tidak sedar yang kita sering mengeluh pada ujian yang Allah timpakan kepada kita. Padahal lebih banyak nikmat yang Allah selamatkan di sebalik ujian itu. Kita lebih memilih untuk tumpukan kesedihan kita pada ujian yang sedikit berbanding nikmat yang berganda lebih banyak. Astagfirullah. Peringatan buat diriku sendiri.

Hikmah? Tentu sahaja ada hikmah di sebalik apa yang Allah takdirkan buat kita. Muhasabah mujahidah, muhasabah.

Berhenti mengeluh. Teruskan bersyukur. Itu lebih indah. Mungkin semua ini adalah asbab untuk menambahkan pahala kamu, mujahidah. Bagaimana? Pastinya dengan cara bersabar dan redha.

*Senyum :)

For every single smiles and every drop of tears, syukran lillah. Alhamdulillah..

Tuesday, August 2, 2011

Istikharah

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku kembali menukilkan kalam dengan mulakan menyebut asma' Allah. Segala puja dan puji hanya layak bagiNya. Aku mengharap redhaNya tidak pernah putus mengiringi di setiap hembusan nafasku. Sel
awat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah masih berpeluang menghirup udaraMu Ya Allah. Syukur.

Ada satu cerita:

"Ayah, 'kawan' Ala nak jumpa Ummi Ayah. Boleh ke?"

Tanpa menjawab soalan tersebut, Ayah kemudian bertanya, "Lelaki?"

Aku sekadar mengangguk perlahan.

"Orang mana?"

Masih. Ayah tidak menjawab soalan pertama tadi.

Setelah beberapa soal jawab kemudiannya Ayah
berkata, "Ayah kalau boleh nak anak-anak duduk depan mata Ayah je. Nak bagi kawen pon biar orang dekat-dekat je. Tapi Akak dah pilih orang Johor, nak buat macam mana. Awak, Ayah dah pilihkan orang dekat."

"???"

Ummi pula menyambung, "Hmm, Ummi Ayah tak puas lagi nak jaga awak. Biarlah duduk dekat-dekat je."

"Tak pe kan Syakirah? Awak tak kecil hati kan?" Ayah dengan nada memujuk.

Aku diam, tidak mengangguk mahupun menggeleng. Sekadar tersenyum. Harapnya senyuman itu mampu menggembirakan hati Ummi dan Ayah walaupun hati aku masih berperang untuk redha.

Lagipun aku masih dalam jagaan Ayah Ummi. Ayah adalah wali mujbir, aku perlu menurut sahaja. Aku percaya, tentu Ayah tidak pilih sebarangan. Pasti sahaja seseorang yang mampu membawa aku menggapai cintaNya hingga ke syurga. InsyaAllah.

Namun, aku masih perlu pertolongan dari Allah untuk menentukan keputusan yang terbaik. Ya, istikharah sahaja jalan
yang ada. Ya Allah, berikanlah bantuanMu.

Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini ... adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini ... mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya. Amin Ya Rabbal 'Alamin.


Ada macam ala-ala cerita Nur Kasih tak? Waktu Nur dipaksa untuk menerima Adam? hahA! Baiklah, ini cuma cerita dongeng. Tidak pernah berlaku pun lagi. Ayah tidak akan pernah memaksa anaknya menerima lamaran sesiapa. Ayah membiarkan anak-anaknya membuat pilihan sendiri, asalnya tidak membelakangkan AGAMA.

Tetapi, aku cuma mahu ingatkan kepada lelaki-lelaki soleh sekalian, sekiranya anda menghormati seseorang muslimah dan anda
mahu menjadikan dia zaujah, anda perlu menghormati walinya juga. Wali adalah orang paling berhak ke atas muslimah tersebut. Seeloknya berundinglah terus kepada walinya. Janganlah dinyatakan hasrat kalian kepada muslimah tersebut dahulu. Bukankah tidak manis begitu?

Anta, bakal zauji, ana pun bercakap dengan anta. (Andai anta adalah salah seorang pembaca blog analah. Hee~) Ana mahuka
n ikatan yang suci yang tidak pernah dicemari oleh maksiat. InsyaAllah. Ana masih mempersiapkan diri untuk menjadi solehah kepada seorang zauj yang soleh. Amin.

Ehhh?? Melalut panjang pula. Cerita asal sebenarnya lain. Sengaja mahu buat kontroversi dahulu pada mukadimah. Berjaya tak? Hee~

Ceritanya bermula dengan ini:




Iya, tawaran tiba-tiba datang. Seorang sahabat mengundang. Tetapi apa-apa pun aku wajib meminta izin dari Ayah dan Ummi.

Petang semalam, "Ayah, Ala nak pergi kampung orang asli boleh?"

Ayah diam lima saat. Daripada berdiri terus duduk di atas kerusi.

"Bila?"

"Lusa."

"Berapa hari?"

"Empat hari je. 4 sampai 8 hari bulan."

"Kat mana?"

"Tempat hari tu la. Kat Kelantan."

"Tak payah la..Ayah Ummi tak puas lagi tengok muka awak. Bulan puasa pulak tu."

Ummi pula mencelah, "Ummi kalau boleh nak anak-anak Ummi ada kat rumah je bulan-bulan puasa ni. Nak puasa sama-sama. Tapi apakan daya, Abang dah duduk KL, Akak dah kawen, Abangme LI kat Lumut pulak. Ala temanlah Ummi dan Ayah kat rumah."

Aku diam. Sambil berfikir sambil meletak sepenuh harapan pada Ilahi. Aku kena belajar untuk redha.

"Tak payah pergi la ye? Tak kecik hati kan?" Ayah dengan nada memujuk.

Aku senyum. Kemudian cuba sedaya upaya untuk mengangguk redha. Lemah.

Aku sudah mendapat jawapan dari Ayah Ummi. Aku masih perlukan jawapan dariNya. Kepada sahabatku, aku sudah nyatakan, paling awal aku boleh memberi jawapan pun adalah malam semalam.

Istikharah menemani solat terawikh. Dalam sujud terakhir aku memohon petunjuk dariNya. Semoga Allah membantu aku membuat keputusan. Jika Engkau meredhakan aku untuk kembali ke Tohoi, lembutkanlah hati Ummi dan Ayah. Jika tidak, berikanlah aku peluang untuk terus berbakti kepada Ummi dan Ayah. Amin.

Pagi tadi sebelum bersahur aku ambil waktu untuk meletakkan dahi ke sejadah. Masih memohon agar Dia menguatkan hati ini.

Sinar kudus dhuha aku iringkan dengan ayat suciNya. Semoga hati aku diteguhkan dengan jawapan dari Ilahi.

"Salam loh. Maaf sgt3, ak da try pjuk parents ak tp dorg cm tak bpe nk bagi. Lg pn adik bradik ak yg len tade kt umah, so aku jela nk b'bakti kt parents ak. Ikot aku, mmg nk g, tp my parents need me more. Thnx weh sudi jemput. Ak doa prog ni b'jln lancar n b'jaya. Amin"

Message delivered.

Aku yakin dengan hasil istikharah ini. Semoga Allah terus bersamaku dalam menentukan arah kehidupan ini. Aku redha untuk segalanya.

Iman dan hati aku kini seiring berkata, "Mujahidah, tidak layak kamu mahu berdakwah dan berbakti kepada ummah andai Ummi dan Ayah kamu abaikan. Redha mereka adalah redha Allah."

*Senyum :)

Saturday, July 16, 2011

Surat Wasiat

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan dengan menyebut asma' Allah, Ar-Rahman, Ar-Rahim. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku sentiasa mengharap redhaNya mengiringi di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam aku titipkan buatkan junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk bernafas. Walau seringkali aku menafikan nikmatNya, tidak pernah Allah mengenakan bayaran untuk menghirup udaraNya. Subhanallah.

1 hingga 3 Julai yang lepas aku telah menyertai satu Kem Iflah di Sekolah Menengah Agama Al-Ihsan, Kuantan, Pahang sebagai fesilitator. Banyak pengalaman yang aku peroleh di sana. Ada suka, ada duka. Dan aku juga bersyukur kerana diberi peluang untuk mengenal rakan-rakan baru di sana, juga adik-adik. Alhamdulillah.

Slot pada hari yang terakhir adalah menulis surat wasiat kepada insan yang kita sayangi. Fesi juga terlibat dalam slot ini. Dan iya, aku juga mengalirkan air mata.

Sengaja aku ingin berkongsi mengenai isi kandungan surat yang aku tulis, kerana andai kertas itu hilang, masih ada blog ini sebagai wasiat kepada mereka yang aku cintai.

Assalamu'alaikum,

Ummi Ayah,
Abang, Akak, Abangme,
Kalianlah insan-insan yang paling Ala sayangi. Mungkin Ala tak pernah nak cakap yang Ala sayang semua, tapi sungguh, Ala sayang sangat, sangat, sangat kat semua.

Ummi, Ala tak tahu berapa lama lagi untuk hidup. Kematian itu akan datang bila-bila masa. Ala tau, berapa banyak pun Ala dah singgung hati Ummi, senyuman Ummi tak pernah hilang untuk Ala. Ala luka sikit pun Ummi risau. Bila Ala mengadu sakit kat Ummi, mesti Ummi doa supaya Allah pindahkan sakit tu pada Ummi. Ummi, Ala tak pernah mampu nak cakap depan-depan Ala sayang Ummi. Ala pasti Ummi adalah ibu terbaik di dunia.

Ayah, Ummi selalu cakap kalau Ala mintak apa-apa mesti Ayah bagi. Sebab Ayah sayang Ala lebih. Walaupun kadang-kadang Ayah kesempitan wang, Ayah tetap akan tunaikan apa saja yang Ala mintak. Ala bangga ada ayah macam Ayah. Sayang Ayah sampai ke syurga, Ayah akan selalu tegur kalau Ala buat silap sebab Ayah tak nak bagi anak-anak Ayah masuk neraka.

Ummi, Ayah, Ala tetap nak jadi anak manja Ummi Ayah walaupun Ala dah kahwin nanti. Kalau umur Ala panjang, Ala nak jaga Ummi Ayah sampai ke akhir hayat. Ala nak berbakti pada Ummi Ayah walau Ala takkan mampu nak balas jasa Ummi Ayah sampai bila-bila. Moga Allah beri ganjaran syurga untuk Ummi Ayah. Ala sebagai saksi, Ummi Ayah dah jadi ibu bapa terbaik dan laksanakan tanggungjawab sebaiknya.

Abang, Ala tau dari Ala kecik sampai sekarang Abang tetap paling sayang kat Ala antara adik-adik Abang yang lain. Abang tak pernah marah kat Ala. Ingat lagi waktu Ummi Ayah pergi haji dulu, time Ala tengah nangis teresak-esak, Abang pegang tangan Ala, pimpin sepanjang jalan. Memang time tu Ala dapat rasa sangat, sangat, sangat kasih seorang Abang. Kalau Ala nyakat Abang, Abang akan senyum je. Abang dah nak kahwin, entah Ala boleh rasa lagi ke tak kasih Abang kat Ala. Tapi Ala tetap nak Abang tahu, Ala sayang Abang.

Akak, antara adik-beradik lain, memang dengan Akak Ala paling rapat. Dulu, waktu kecik Ala selalu tiru Akak. Ala nak jadi macam Akak. Sampai Ala dah besar ni pun Akak still layan Ala macam budak-budak. Tapi jujur Ala cakap time Akak kahwin dulu Ala sedih sangat. Ala tau, Ala akan hilang teman bergurau, teman nak bergelak tawa, teman nak buat bising kat rumah. Dan memang pun, sekarang kat rumah Ala dah senyap, tak macam dulu. Ala rindu Akak! Ala sayang Akak!

Abangme, memang Ala macam tak rapat dengan Abangme. Tapi time kecik-kecik dulu Ala mana ada kawan nak bermain. Abangme la yang selalu teman even selalu rimas dengan Ala. Memang, Abangme paling kasar dengan Ala, tapi Ala dapat rasa kasih sayang Abangme. Time Ala nak ambik result PMR dulu Abangme jelah dapat teman pun. Dan Abangme insan paling gembira time tu. Ala sayang Abangme, sungguh!

Ummi, Ayah, Abang, Akak, Abangme, redhailah Ala sepanjang kehidupan Ala bersama kalian.

Wassalam.

Wednesday, July 6, 2011

Berat

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan segalanya dengan menyebut asma' Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku mengharap redhaNya di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk bernafas di atas muka bumi ini. Nikmat yang seringkali kita lupa mensyukurinya.

Ya Allah, semoga penulisan ini sentiasa dikemudi iman. Jangan biarkan nafsu mengawal setiap bait kata-kata yang bakal tertulis. Semoga kalam ini dikawal akal yang dikemudi oleh iman. Amin, insyaAllah.

Usai subuh tadi aku mengambil waktu untuk mentadabbur ayat cinta Allah. Entah kenapa hati terasa sayu mengenangkan tanggungjawab yang bakal dipikul bersama ahli keluarga yang lain kelak. Kadangkala hadir juga andaian-andaian buruk. Na'uzubillah, minta dijauhkan.

Hampir sahaja mengalir air mata ini tetapi aku tahan dan kuatkan diri sendiri. Allah Maha Mengetahui ke atas segala apa yang ditakdirkan untuk hamba-hambaNya. Pasti, perkara ini juga dalam perancangan Ilahi dan tentunya ada hikmah di setiap kejadian. Kuatkan kami Ya Allah.

Kata Ummi semalam, "Kita nak syurga, jadi kita akan berusaha untuk dapatkan syurga".

Iya, kata-kata Ummi sedikit sebanyak menyuntik semangat kepadaku agar tidak berputus asa sebelum mencuba. Doa senjata mukmin, jadi berdoalah kepada Allah semoga terus diberi kekuatan dan ketabahan. Di hadapan Ummi dan Ayah aku berlagak seolah-olah tiada apa yang merunsingkan aku. Hakikatnya, bila aku sendiri hanya pada Allah tempat mengadu. Ummi, seorang ibu, lebih-lebih lagi bimbang. Aku mahu menjadi kekuatan Ummi, tidak mahu menunjukkan lemah pada Ummi. Ayah memang kelihatan tenang tetapi sebenarnya diam Ayah menyimpan 1001 makna. Ayah lebih memikirkan perancangan masa hadapan. Cara-cara untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Aku sendiri tidak pasti adik beradik yang lain sedia maklum mengenai perkara ini. Aduh, terpandang pula bingkai gambar kami berempat. Tiba-tiba jadi sebak. Ya Allah, kuatkan aku dengan perancanganMu ini. Mujahidah, ini bukan salah sesiapa. Ini takdir Allah, perancanganNya. Pasti sahaja ada hikmah di sebaliknya. Ummi, Ayah, Abang, Akak, Abang Zeze, Kak Roha, Abangme bersama-samamu. Engkau mesti kuat untuk kuatkan mereka. Mujahidah, engkau boleh!

Mungkin juga aku sebak untuk kehilangan seterusnya. Tidak, ini bukan kehilangan. Mereka masih mereka yang dahulu. Kamu tetap adik bongsu mereka, Syakirah.

Ummi, Ayah, Ala akan terus kuat demi memikul amanah dakwah ini. Ala mahu menjadi pemangkin kekuatan Ummi dan Ayah. InsyaAllah, Allah mahu berikan ganjaran syurgaNya buat kita semua.

Abang, Akak, Abangme, Ala sayang kalian. Ala tahu, Ala perlu mengerti peraturan kehidupan ini. Kehendak fitrah kalian tidak seharusnya dimungkiri. Seorang demi seorang dari kalian meninggalkan Ala, insyaAllah, Ala akan kuat. Ala tetap adik kalian, bukan? Dan sungguh, sayang Ala pada kalian tidak pernah berkurang. Perancangan Allah adalah yang terbaik. Semoga apa yang Allah tetapkan kepada kita ini menjadi jalan mudah untuk kita ke syurga. Amin.

Ya Allah, segala kekuatan milikMu. Aku mohon berikan aku kekuatan yang berterusan untuk aku terus teguh dalam perjuangan ini. Kuatkan, teguhkan imanku. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Tuesday, July 5, 2011

Izinkan aku..

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan kembali penulisan kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku sentiasa mengharap redhaNya mengiringi setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam aku titipkan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, selamat sampai di rumah lebih kurang pukul 9.30 malam tadi. Syukur.

Fuhh..Hanya dengan mengingatiMu hati akan menjadi tenang. Tenangkan hatiku Ya Allah. Entah mengapa hati ini terasa sedih, risau, bimbang, takut dan bermacam perasaan lagi. Mungkin dek kerana khabar yang Ayah katakan tadi. Hmm..entahlah. Pelbagai soalan yang timbul. Kerisauan juga datang menjenguk. Ya Allah, berilah yang terbaik untuk semua urusan orang-orang yang aku sayangi. Amin.

Aku tidak pasti perasaan ini timbul kerana apa. Aku risau untuk kehilangan yang kesekian kalinya atau memang tanggungjawab yang bakal dihadapi itu susah, berat?

Ya Allah, kuatkan aku. Bantulah kami untuk memikul amanah dakwahMu. Permudahkan segalanya. Berikanlah taufik dan hidayahMu untuk insan-insan yang layak menerimanya.

Sungguh, pada awalnya aku hanya terkejut sedikit. Tidak menyangka secepat itu. Berdebar juga kerana Ummi dan Ayah seakan-akan bermain teka-teki. Tetapi setelah satu demi satu dihuraikan Ayah, lagi terasa seperti batu besar menghempap. Ya Allah, jadikan ini wadah untuk kami terus gigih memikul amanah dakwah itu.

Izinkan aku meluahkan perasaanku di sini kerana aku tidak tahu kepada siapa mahu berkongsi rasa gundah ini selain Allah. Pada Allah pastinya sentiasa aku sandarkan pengharapanku. Cuma aku merasakan dengan menulis begini, perasaan gundah itu terasa berkurang sedikit.

Fuhh
..kuat mujahidah! Jangan sampai air matamu mengalir.

Entah, mengapa sebenarnya rasa takut ini wujud. Takut untuk kehilangan atau takut kepada amanah berat yang bakal dipikul? Semoga perasaan takut ini wujud kerana takut akan kemurkaanMu Ya Allah. Pimpinlah hatiku, teguhkan keimananku Ya Rabbi.

Hmm..cerita lain.

Kadang-kadang kita tidak menyangka akan menyentuh hati dan perasaan orang lain dengan sikap kita. Dan apabila tahu orang itu terasa hati, mulalah kita terasa gundah. Maafkan kekhilafanku. Mungkin juga aku kurang menyatakan penghargaan membuatkan insan tersebut terasa masih kekurangan di mana-mana. Subhanallah, anda telah melakukan yang terbaik. Anda telah membuktikan quality is better than quantity.

Itulah, kerana tidak cukup mengenali hati budi masing-masing, lantas tidak tahu sensitiviti orang lain. Astagfirullah, terasa amat bersalah. Anda, maafkan kami. Anda insan bertanggungjawab dan kami sebagai saksi.

Izinkan aku menerangkan segalanya. Aku tidak mahu berlaku sebarang andaian dalam ukhuwah. Kerana ukhuwah itu indah, tidak seharusnya dicalarkan dengan duri-duri yang bisa melukakan.

Ya Allah, tenangkan hatiku Ya Allah. Kuatkan insan-insan di sampingku. Limpahkanlah rahmat dan kasihMu kepada kami semua. Tautkan hati kami di jalan dakwahMu. Amin Ya Rabbal 'Alamin.

Wednesday, June 8, 2011

Kasih Sayang adalah Penawar

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku memulakan kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak untukNya. Aku mengharap redhaNya me
ngiringi setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam aku titipkan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Sakit adalah kifarah dosa, insyaAllah. Itu yang aku pegang dan yakini. Sakit bukanlah musibah yang patut dikesali tetapi s
esuatu yang patut direnungi. Bayangkan, jika kita tidak ditimpa kesakitan berapa kali sangatkah kalian akan mengingati Allah? Berapa kerapkah kalian bersyukur dengan nikmat sihat yang Allah kurniakan? Tentu jarang sekali bukan? Aku juga begitu, aku akui. Astagfirullahal'azim.


credit: deviantart.com

Alhamdulillah, sekarang sudahpun berada di rumah berjumpa Ummi Ayah. Sakit luka ini terasa berkurang di saat melihat muka mereka berdua. Itulah nikmat kasih sayang, bukan? Dalam keadaan kaki aku begini, langkahku agak songsang dan perlahan sedikit. Lalu Ummi memimpin tanganku, berjalan perlahan-lahan menemaniku. Itu tanda kasih. Itu tanda cinta. Subhanallah.

*Senyum :)

Dua tiga hari kebelakangan ini entah mengapa mood aku sedikit terganggu. Terasa ketat pipi untuk senyum. Tidak tahu kenapa keadaan hormon begini, kitaran itu belum waktunya lagi. Mencari-cari jawapan dari kelmarin lagi. Sungguh, aku tidak pasti kenapa perasaan aku terganggu.

Mungkin juga sebab..

Hari Selasa lepas, satu situasi berlaku yang memerlukan untuk aku memilih. sepanjang perjalanan aku ke tempat pertemuan itu, hati aku berperang. Langkahku seperti serba salah untuk meneruskan perjalanan. Sambil melangkah, sambil perasaanku berdebat. Hebat. Namun aku tetap meneruskan langkah hingga sampai ke situ.

Sepanjang melangkah, niatku ditajdid setiap saat. Bimbang kalau-kalau syaitan meniupkan godaan halus dalam diri ini. Azan berkumandang, namun aku tetap terus melangkah ke situ biarpun imanku mengatakan berhenti. Pedih imanku di saat sampai ke situ kerana tewas pada keinginan sendiri. Air mata hampir menitis, atau sudah pun membasahi kelopak mata. Tanya seorang sahabat, "Kenapa ni?" Lidah aku kelu. Tidak mampu memberikan jawapan yang tepat kepadanya. Hanya senyuman dan mengatakan, "Tiada apalah."

Tidak mampu aku berlama di tempat tersebut, lalu aku mempercepatkan diri ke masjid. Mengadu segalanya kepada Ilahi. Dia Maha Mengetahui segalanya. Semoga diampunkan kekhilafanku. Memang menyesal kerana pilihan yang aku buat hari itu tidak tepat. Astagfirullahal'azim.

Dan selepas saat itu, aku selalu murung. Walau zahirnya aku masih mampu untuk senyum dan tertawa bersama rakan, hakikatnya itu sekadar lakonan. Palsu. Demi menyembunyikan perasaan sendiri ataupun untuk memujuk lara hati.

Iya, sekarang hatiku masih pilu. Aku pulang ke kampung halaman juga untuk menenangkan perasaan sendiri dan mencari jawapan untuk persoalan-persoalan yang bermain di fikiran.

Bukan aku melarikan diri dari masalah, tetapi mencari jalan untuk menyelesaikannya. Semoga Allah memimpin arah hidupku. Amin ya Rabbal 'alamin.

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia."
Ar-Ra'd [13:28]
Wallahu'alam bissawab.

Tuesday, May 24, 2011

Syukur

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku kembali menukil kalam dengan dimulakan dengan menyebut nama Allah. Segala puji dan puja hanya layak untukNya. Semoga redha dan rahmatNya sentiasa melimpahi ke atas seluruh makhluknya. Seluruh hembusan nafasku aku niatkan hanya keranaNya. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, syukur Ya Allah for each and everything, untuk setiap dan segala sesuatu. Pasti sahaja aku tidak berjaya untuk mensyukuri setiap nikmatMu, kerana terlalu banyak. Aku berharap dan berdoa agar aku sentiasa tergolong dalam golongan hambaMu yang bersyukur. Amin.

Seronok, amanah yang dipertanggungjawabkan sudah selesai. InsyaAllah semua orang gembira, dan yang paling penting Allah redha. Selesai sahaja muakha kedua hari sabtu lepas, aku sertai pula family day JASA. Memang mantop! Dalam kepenatan dek program muakha, masih dalam tersenyum bersama JASA. Memang ukhuwah kerana Allah sentiasa terasa indah. Walau agak sedih sedikit kerana hanya sempat menyertai mereka pada petang sahaja, acara pagi dan malam tidak berkesempatan. Malam, Ummi dan Ayah datang dari Ipoh bersama Abangme sekali, tentu sahaja hati ini lebih memilih untuk bersama keluarga sendiri, bukan?

Dinner bersama keluarga tercinta di restoran tom yam ditambah pula dalam keadaan sangat lapar, memang terbaik! Uhibbukum lillahi ta'ala.

Memikul tugas sebagai PM membolehkan aku menyelit bersama adik-adik pada bila-bila masa. Banyak perkara yang boleh membuat aku berfikir. Dan aku perlu sentiasa mengingatkan diri dan sentiasa memandang mulia kepada adik-adik kecil ini kerana dosa mereka lebih sedikit berbanding aku. Ya, darjat mereka lebih mulia di sisi Allah berbanding aku. Astagfirullah.

Sempat berta'aruf dan bertafahum sedikit bersama sekumpulan adik-adik.

Aku: Nama adik ape?
Adik 1: *
Adik 2: *
Adik 3: *
Adik 4: *
Aku: Adik darjah berape?
Adik 1: 3
Adik 2: 3
Adik 3: 3
Adik 4: 5
Aku: same sekolah tak ni?
Adik-adik: tak.
Aku: dekat rumah solat cukup lima waktu tak?
Adik 4: *geleng kepala sambil tersenyum-senyum.
Adik 3: kadang-kadang.
Adik 2: *angguk kepala.
Aku: *senyum
Adik 1: Solat. *sambil senyum
Aku: Subuh tadi solat tak?
Adik 1,2,3: *angguk kepala. Solat!!
Adik 4: *senyap, hanya tersenyum sedikit.
Aku: Isyak semalam?
Adik 1: solat. *senyum dengan comel.
Aku: betul ke ni? *sengaja mahu provok.
Adik 1: *angguk-angguk kepala.
Adik 2: solat.
Aku: *senyum
Adik 3: *angguk kepala
Adik 4: *geleng kepala
Aku: adik tau solat tak? Mak suruh solat tak?
Adik 4: Mak suruh solat. Mak kate nak ajar, tapi..
Aku: takpe, nanti akak-akak kat sini ajar tau.

*Senyum :)

Walaupun agak terkejut, aku harus menerima hakikat bahawa tanggungjawab itu kini terpikul di bahu kami sebagai mentor. Tidak perlu menyalahkan sesiapa, ini bukan waktunya untuk menunding jari kepada sesiapa. Apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah mencari jalan dan cara terbaik agar dapat membawa adik-adik ini mengenali keindahan dan cara hidup Islam yang hakiki.

Mungkin dek dunia di era globalisasi dan modenisasi ini, masing-masing sibuk mengejar matlamat duniawi dan saling bersaing sesama sendiri hingga terlupa tujuan utama penciptaan kita iaitu beribadat kepada Allah, dan tanggungjawab kita di muka bumi sebagai khalifah.

Sekarang, aku perlu sedar bahawa tanggungjawab aku sebagai mentor Gemilang ini bukan sahaja hanya mendidik mentee-mentee, malah lebih dari itu. Ya Allah, bantulah aku menjalankan amanah ini sebaik mungkin. Amin.

Wednesday, May 11, 2011

Pesan Ummi Ayah

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan dengan menyebut asma' Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Segala puji dan puja hanya layak untukMu. Aku mengharap redhaMu di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam aku sertakan buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Allah datangkan sakit supaya kita bersyukur akan nikmat sihat, betul tak? Ya Allah, redhakan aku dengan setiap ujian yang Engkau berikan kepadaku. Amin.

*Senyum :)

Setiap hari aku akan menelefon Ummi dan Ayah. Setiap pagi dan malam. Tetapi sudahkah aku layak bergelar anak solehah? Ada suatu hari aku mendengar ceramah di radio, katanya, "Tidak digelar soleh/solehah seseorang anak itu jika ibu bapanya yang bertanyakan khabarnya dahulu". Allah. Memang selalunya itu yang berlaku. Astagfirullahal'azim.

Tadi pagi, sembang-sembang sebentar di telefon bersama Ummi dan Ayah. Pesan mereka memandangkan semester pendek ini tersangatlah banyak masa terluangku, mereka mencadangkan, "hafal Quran ye Syakirah?". Subhanallah. Ada niat itu dan alhamdulillah Ummi dan Ayah telah memberi kata-kata peransang. Mudahkan segala urusanku Ya Allah. Amin.

Banyak lagi pesan mereka yang menjadi sebahagian hidupku selama ini. Tetapi tidak punya banyak masa untuk menulis, ada meeting sebentar lagi.

Wassalam.

Saturday, January 29, 2011

hectic

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan kalam dengan menyebut asma' Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah sudah mula bercuti. Syukur rasanya berpeluang juga merasakan rehat. Semester kedua ini sangat-sangatlah terasa hecticnya. Cuti, oh indahnya.

*Senyum :)

Tadi baru selesai dengan pertunangan abang dan Kak Roha. InsyaAllah mengikut perancangannya bulan sepuluh nanti pernikahannya. Ya, maknanya di sini, hanya tinggal abangme dan aku sahajalah lagi yang masih bujang.

Lambat lagi mungkin bagi kami. Tunggulah. Teringat pula tadi Opah tiba-tiba cakap jangan pilih orang dari *tut* (salah sebuah negeri di Malaysia). Entah mengapa, tidak pasti. Abangme tidak tahulah sudah mencari calon atau belum. Aku? Biarlah rahsia. Tidak selayaknya rasa hati ini dihebahkan.

Janji dahulu, masih tidak pasti akan diteruskan atau tidak. Setakat ini janji itu masih berlansung. Walau ada kalanya janji itu seperti agak tidak masuk akal, dan sungguh aku tidak pasti mengapa aku masih setia dengan itu. Biar Allah menentu semua. Aku tidak akan sekali-sekali melawan takdir, biar janji itu nanti yang akan tergadai. Janji Allah itu lebih pasti dan lebih tepat. Aku percaya.

Apa janji itu? Biar Allah dan aku yang mengerti. Sebahagian sahabat aku juga tahu. Janji setia itu pernah aku tulis dalam surat kepada rukun 12 dahulu. heh, kelakar.

Tapi kan, aku tidak akan cuba menaruh harapan pada yang sudah punya pilihan hati. Iyalah, mana mungkin aku berpeluang lagi, bukan? Lebih baik mengundur diri. Eh, bercakap soal siapa ini? heh.

Cukup. Habis cerita. Penat sepanjang perjalanan ke Sekinchan tadi masih bersisa lagi. Aku sudahi dahulu kalam, insyaAllah akan kembali menulis nanti.

Wallahu'alam bissawab.


Sunday, January 2, 2011

Terima kasih :)

Bismillahirrahmanirrahim..

Terima kasih itu bukanlah sepayah maaf untuk
diucapkan, bukan?

Jadi,

Terima kasih Ayah, terima kasih Ummi untuk segalanya. Untuk segala marah kalian juga. Kerana itu yang menjadikan aku yang hari ini.

Terima kasih ;)

Uhibbukuma.



Sunday, December 26, 2010

Congrats!!

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku kembali menukilkan kalam dengan menyebut asma' Allah. Semoga redhaNya sentiasa bersama di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Alhamdulillah, masih lagi diberi peluang oleh Allah untuk menghirup udaraNya. Walau jika dihitung dosaku, pasti tidak layak untuk menerima nikmat seperti ini. Subhanallah, Maha Suci Engkau.

Pertama sekali, tahniah buat my salakians junior yang berjaya menaikkan nama Pasir Salak hingga mendapat tempat kedua antara semua MRSM. Mabruk! Alhamdulillah segala usaha kalian membuahkan hasil. Tentu juga berkat ajaran dan titik peluh para pendidik. Dan pastinya dengan redha Ilahi.

Baru sahaja sampai di UIA dari Johor. Attending my sister's wedding there. Staying in Scholar's Inn UTM Skudai was such an unforgettable memory. Biarlah kenangan itu hanya tersemat di ingatan, tidak perlu dicerita mungkin. Layanan keluarga Encik Azeze sangat superb. Sehingga malu kami rasakan dilayan seperti itu. Terima kasih ya.

Akak semalam dimake-up sangat tebal. Hampir sahaja aku tidak kenal, lain sungguh! Aku mencebik muka kepada akak. Aku sedikit berbisik kepada akak mengenai solekannya. Semahunya tidak mahu didengari oleh Encik Azeze, risau berkecil hati.

Selalu juga akak dan Encik Azeze datang ke rumah kami di Scholar's Inn itu. Mungkin akak rindu dengan semua ahli keluarganya. Jujurnya, aku juga rindu pada akak. Tetapi, apa boleh buat? She's somebody's wife now. Aku sebolehnya tidak mahu terlalu rapat dengan akak. Bimbang kalau-kalau suaminya terasa.

Aduh, mata sudah basah..

Mahu atau tidak aku terpaksa menerima suratan ini. Benar, kini hidup aku semakin senyap di rumah. Tiada lagi gurauan dengan akak. Selalu juga bergaduh dengan akak. Kini..tiada lagi. Suaminya adalah orang yang paling utama padanya sekarang. Aku tidak mahu mengganggu hak suaminya itu.

Sudah mengalir pun..

Dahulu, aku tertanya-tanya perlukah wujud perasaan sedih apabila ada ahli keluarga yang berkahwin. Sekarang aku sudah tahu jawapannya mengapa. Dalam perjalanan pulang tadi, ada juga berbincang sedikit mengenai pertunangan abang pula. Aku sekadar mendengar dan memerhati. Hatiku berbisik, "Sekali lagi aku perlu tabah dan redha untuk melepaskan." Itulah aturan kehidupan ini, bukan?

Aku menenangkan hatiku sendiri. Menyimpulkan itu dan ini. Berdialog dengan hatiku sendiri, harapnya iman turut sekali. Melihat akak semalam, aku dapat rasakan dia masih rindukan Ummi dan Ayah. Aku pula berfikir, mampukah aku pula berpisah dengan Ummi dan Ayah, juga keluarga yang lain? Lantas aku pantas memilih keluarga. Selepas Allah dan RasulNya, keluargalah yang bertakhta di hatiku.

Aku terus berfikir. Perkahwinan itu melibatkan bukan hanya dua hati, malah banyak. Perkahwinan itu menyatukan hati si suami dan si isteri. Juga perkahwinan itu menyatukan hati keluarga pihak suami dan pihak isteri. Pernah mendengar kata orang bahawa kita berkahwin bukan hanya dengan pasangan kita sahaja tetapi dengan keluarganya juga. Terlalu banyak yang kita perlu ambil kira sebelum berkahwin sebenarnya.

Ayah bersembang dengan kami semalam, "Akak kena berdakwah. Ayah dulu alhamdulillah dah berjaya". Aku pantas membalas, "Ayah lelaki, senang sikit. Akak perempuan, boleh ke?".

"Mesti boleh, insyaALLAH". Balas ayah menyandarkan harapan kepada Allah. Ya, hal itu membuatkan aku terfikir, mampukah aku andai aku di tempat akak? Beban dakwah itu terletak di atas bahunya. Mahu atau tidak, dakwah itu wajib. Seperti yang aku nyatakan tadi perkahwinan itu turut menyatukan hati keluarga. Keluarga Si Suami sudah menjadi keluarga Si Isteri. Sayangkan keluarga pastinya mahukan bersama hingga ke syurga. Akak, semoga berjaya dengan dakwahmu!

Aku terus berfikir dan berfikir. Nampaknya aku belum cukup bersedia untuk menjadi isteri, juga menantu. Calonnya? Biar Allah tentukan segala.

Wallahu'alam bissawab.

Sunday, December 19, 2010

Walimatul 'Urus

Bismillahirrahmanirrahim..

Aku mulakan kembali penulisan kalamku de
ngan asma' Allah. Mengharap bait-bait kata yang bakal dicoret mendapat redhaNya. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW yang dirindui.

Alhamdulillah, sudah selamat sampai di UIA.
Hampir separuh perjalanan tadi aku hanya tertidur di dalam kereta. Penat masih bersisa. Namun, insyaAllah perjuangan ini akan tetap diteruskan.

Malam semalam upacara membuka hadiah
dan ada juga jamuan kecil-kecilan. Banyak sungguh hadiah. Ini yang membuatkan aku mahu berkahwin juga ni. hihi. Sabar, masih mencari.

Hadiah yang paling tidak boleh aku lupa ialah,
botol susu! Siapalah yang nakal begitu ya? Aku rasa seperti muka aku yang naik merah. Ya Allah, malunya kalau aku adalah akak. Semua saudara mara gelakkan, tidak kurang juga mengusik. Ish, aku pula yang malu ni.

Jamuan semalam tidak luak sangat. Sate
400 cucuk itu terpaksa dibahagikan kepada saudara mara untuk dibawa pulang, bihun juga. Kek masih ada lagi di rumah. Sila habiskan ya, Encik Azeze.

Sedikit gambar dari kameraku. Sedikit cuma. Terlalu sibuk, sehingga tidak punya cukup masa untuk mengambil gambar.
Tunggu dari cameraman sahajalah.


debaran menanti majlis akad

ketika ijab dikabul

solat sunat berjemaah selepas nikah

halal sudah

tempat memotong kek

tiada pelamin, hanya meja makan

three-tier-cake, yummy!

kepenatan sesudah majlis

ayah menandatangan 'tinta kenangan'


membuka hadiah bersama