Demi Masa

Showing posts with label wanita. Show all posts
Showing posts with label wanita. Show all posts

Saturday, November 1, 2014

Ujian.

Allahu.
 
Terlampau banyak kerja perlu dilaksanakan buat aku rasa berdosa untuk tulis blog. Sungguh.
 
Allahu.
 
Bila syaitan gagal menggoda hati Muslimah itu untuk tunduk pada godaan lelaki-lelaki berwajah tampan, dia mencuba pula dengan cara jatuh suka pada peribadi jejaka beriman. Allah..lagi kuat godaan itu. 
 
 
kredit
 
 
Hati mana yang tak tertarik pada ikhwah muka suci dengan air wudhu', janggut sejemput, mata redup menunduk, bibir selalu menutur kata-kata penuh hikmah. Ya Allah.
 
Kena selalu ingatkan diri, syaitan sentiasa licik untuk menipu anak Adam. Ingat!
 
Lupa. Lupaa. Lupaaaakan.
 
 
Sumber: google
 
 
"Yusuf berkata: 'Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan dari padaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh.'"
[Yusuf 12:33]
 
p/s: eh, ini cerita umum. 

Thursday, September 4, 2014

Tabarruj vs. Selekeh

Bismillahirrahmanirrahim.

Sumber: google

"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas."
[Al-A'raaf 7:31]

Alhamdulillah Allah beri kesempatan untuk menulis setelah sekian lama disibukkan dengan urusan dunia yang tak pernah selesai. Doakan diri ini istiqamah dalam menyampaikan kebaikan dan sentiasa diluruskan niat.
  
”Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan. Sifat sombong meleyapkan kebenaran dan merupakan kehinaan kepada manusia”
(Riwayat Imam Muslim)

Hadith di atas menguatkan lagi hujah bahawa Islam itu tidak melarang kita untuk berhias mahu pun berfesyen. Cuma, ada batas dan garis panduannya.

Bagi golongan ekstrimis, wanita yang berfesyen sering dilabelkan sebagai tabarruj iaitu melampau-lampau dalam berhias. Lalu mereka memilih untuk memakai sekadarnya. Biar kelihatan zuhud dan langsung tidak menghiraukan dunia.

Kemudian dek kerana sifat golongan eksrimis (baca: syadid) ini, muncul pula golongan yang memberontak berpegang pada fahaman sekularisme. Golongan kedua ini pula memperjuangkan hak wanita untuk bebas mempamerkan kecantikan mereka dan menuduh Islam memenjara fitrah wanita dengan hijab.

Bagi saya, kedua-dua golongan ini menjadi fitnah kepada agama Islam itu sendiri. Islam itu mudah dan meraikan fitrah ummatnya. Islam wujud untuk menjaga dan membela, bukan untuk memenjara.

Tetapi arus kemodenan zaman telah mengubah definisi sebenar hijab. Semakin berleluasa 'fesyen muslimah' yang sebenarnya tidak menepati langsung konsep muslimah itu.

Allah menerangkan secara detail perihal aurat muslimah dalam Al-Quran surah An-Nur ayat 31 yang berbunyi:


Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
[An-Nur 24:31]

Ada dua perkara yang Allah betul-betul menerangkan secara detail di dalam Al-Quran iaitu yang pertama bab aurat dan pergaulan manakala yang kedua bab harta pusaka. Allah sudah tahu sifat manusia yang suka berbantah-bantah lalu Allah meletakkan garis panduan yang khusus supaya manusia tidak berbalah.


Jangan diperlihatkan perhiasan tubuh mereka (kecuali yang zahir).

Menutup belahan leher bajunya.

Jangan menghentakkan kaki untuk mengetahui apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.

Garis panduan yang Allah bagi jelas. Islam tidak langsung melarang seorang wanita itu untuk kelihatan cantik, namun batasnya perlu dijaga. Ada yang kadang-kadang syarat lain ditepati tapi ketat sehingga hilang fungsi berpakaian.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.
[Al-A'raaf 7:32]

Antara adab dalam berpakaian ialah:
  1. Memastikan pakaian tersebut menutup aurat.
  2. Tidak memakai pakaian ketat atau nipis sehingga menampakkan bentuk tubuh badan si pemakai secara jelas.
  3. Tidak memakai pakaian atau aksesori yang menyerupai ciri-cirri budaya orang bukan Islam.
  4. Tidak memakai fesyen yang bertentangan dengan jantina si pemakai.
  5. Mengelakkan daripada memakai fesyen-fesyen yang keterlaluan daripada adat kebiasaan masyarakat setempat.

Credit


Ramai sebenarnya yang salah faham konsep hijab itu. Pada sangkaan mereka hijab hanyalah menutup kepala yakni tidak menampakkan rambut. Lalu muncullah satu persatu fesyen so-called hijab tapi sebenarnya turban, tudung lapis-lapis atas dada.

Para pereka fesyen pakaian muslimah sewajibnya mendefinisi semula maksud hijab itu supaya mereka tidak menambah dosa dan si pemakai pula tidak menempah dosa.

Hijab itu definisinya luas. Merangkumi banyak aspek, bukan sekadar pakaian sahaja. Hijab dari segi hatinya, hijab dari segi pergaulannya, hijab dari segi pertuturannya, hijab dari segi pandangannya dan banyak lagi.

Perlu diingatkan seorang muslimah itu sifatnya al-haya' (pemalu). Maknanya di sini, tak perlulah kita sebagai muslimah upload gambar dengan pelbagai gaya di laman sosial. Tiada salahnya berkongsi pengalaman atau sebagai kenangan, tapi biarlah kena dengan gayanya. Masakan setiap jam akan diupload satu keping gambar selfie? Ditambah pula dengan caption yang langsung tidak menyerlahkan sifat pemalu seorang wanita.

Lelaki itu pandangannya berbeza. Siapa sangka gambar pelbagai gaya itu mampu membuat jiwanya bergetar, meski pun si perempuan memakai tudung sempurna.

Sumber: facebook


Sering juga para niqabi tertipu dengan pujian manusia lantas niat asal pemakaian niqab itu tersasar 100 peratus. Sekali diupload gambar si muslimah indah tertutup wajah cantiknya, ditambah pula celak pada matanya, hati lelaki mana yang tidak terusik? Si niqabi makin terbuai dengan ratusan malah mungkin ribuan 'likes', komen para jejaka yang memuji keindahan ciptaan Tuhan. Semua itu menjadi pemangkin untuk dia terus mengupload gambar dirinya. Semakin dahaga pujian manusia. Lari langsung dari konsep asal berniqab.

Astaghfirullahal'azim. Nastaghfirullah.

Sebagai tambahan, pemilihan warna juga adalah penting dalam pemakaian seorang muslimah. Di sini bukan bermaksud hanya warna gelap sahaja yang dibenarkan. Kalau begitu pasti bosan, bukan? Cuma warna yang dipakai janganlah terlalu terang sehingga menarik perhatian ramai. Islam itu meraikan fitrah wanita. Allah tahu sifat wanita sukakan warna-warni, sukakan yang cantik-cantik. Tapi dalam segala hal pun, Islam menggalakkan kita mengambil yang sederhana.

"Khairul umuri ausatuha"

"Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan."

Jangankan kerana takut dilabel tabarruj, kita tak ambil peduli pemakaian kita. Mungkin disebab itu ramai yang menggelar para akhawat itu jumud, tak up-to-date. Realitinya, memang ada tanggapan begitu. Ada yang merasakan para muslimah yang syadid ini adalah gambaran wanita Islam yang sebenar. Seolah-olah Islam itu memang memenjara fitrah wanita. Sehinggakan kerana terlampau syadid mereka membiarkan pakaian mereka berbau hapak dek takutkan bau-bauan itu mampu membuat fitnah. Saudariku, mungkin sikap kamu yang begitu lebih membawa fitnah kepada Islam.

Saya di sini mahu menyeru saudari muslimat saya untuk sama-sama kita menjaga penampilan kita. Di samping dapat menjemput jodoh, yang lebih utama dicintai Allah dan RasulNya. 

Seronok kan?

Sumber: google


Alhamdulillah. ^_^

Rujukan:
  1. Al-Quran
  2. Al-Hadith
  3. Blog Ustazah Fatimah Syarha
  4. Blog Imam Muda Asyraf

Sunday, May 18, 2014

Al-Qulub

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji dan puja terdahulunya dipanjatkan kepada Ilahi. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.




Al-qulub atau bahasa melayunya hati. Direct translation to english pastinya liver. Tapi hati yang kita maksudkan di sini adalah 'heart'. Sesuatu yang dituju bukan pada fizikalnya, tapi pada makna, ruh itu sendiri.

Jika disemak dalam Matan Arba'in, di akhir hadith keenam ada menyebut:
"Ingatlah, bahawa dalam jasad itu ada segumpal daging. Jika ia baik, baiklah jasad seluruhnya. Jika ia rosak, rosaklah jasad seluruhnya. Ketahuilah, bahawa segumpal daging itu adalah hati."
[Riwayat Bukhari]

Hati yang bersih itu akan terserlah pada peribadi seseorang. Begitu juga hati yang kotor. Allahu.

Namun, bukan mudah nak menjaga hati. Dan siapa kata wanita berpurdah hatinya terpelihara? Setiap anak Adam itu ada ujiannya tersendiri. Sungguh, ujian itu sebenarnya untuk meningkatkan iman kita. Kita yang tak sedar ataupun terlupa.

Pernah sampai satu tahap itu, aku rasa sangat payah untuk menjaga hati. Terasa mujahadah itu sangat, sangat, sangat berat. Dek kerana makin perit, roh yang kering ini dahagakan nasihat dan sokongan. Diaturkan pertemuan dengan akak naqibah dengan izin Allah.

"Macam mana nak jaga hati ye kak?" Aku mulakan bicara usai solat jemaah zohor di masjid.

"Hmm. Susah jugak tu. Tapi ikut keadaan dan situasi. Akak bagi contoh ye, macam akak duduk dekat rumah sewa, ada housemate yang malas nak basuh pinggan. Mula-mula kita tahan la. Tapi lama-lama kita yang rasa geram. Daripada kita marah-marah dalam hati dan cakap belakang, apa kata kita slowtalk dengan dia. InsyaAllah bicara hati ke hati macam tu lebih sampai."

Dari satu contoh ke satu contoh Kak Adawiyah bagi. Kemudian aku tanya lagi untuk situasi yang berbeza.

"Macam mana pulak kak, saya ni belajar engineering, bukan jurusan agama. Jadi orang-orang sekeliling saya pun..bukan saya nak kata tak islamik, tapi..pergaulannya kurang terjaga berbanding golongan yang ambik jurusan agama. Saya sendiri bukan berasal dari sekolah agama. Jadi diri sendiri pun lemah. Macam mana saya nak tegur kawan saya yang couple? Kadang-kadang saya guna bahasa kiasan. Tapi tak jalan jugak. Risau nak tegur direct sebab dalam masa yang sama kita nak jaga persahabatan kita. Macam mana ye?"

"Kalau yang itu kita sendiri kena kuat. Kita guna pendekatan hati jugak. Doa. Dan sabar. InsyaAllah Allah tahu usaha kita."

Kak Adawiyah terus menerus memberi nasihat dan penenang hati. Sampailah satu soalan yang paling membuak-buak ketika itu. Masalah hati yang paling berat, paling hebat diuji.

"Lagi satu..macam mana nak tahu lelaki tu, lelaki yang baik ye? Dah fourth year ni kak, makin banyak kerja dan projek yang memaksa kami bekerja campur lelaki perempuan. Mahu tak mahu, terpaksa ada conversation dengan lelaki. Sebenarnya, rasa tak selesa. Tapi atas urusan kerja, kena jaga batas sebaiknya lah. Masalahnya bila jadi muamalah tu, akan timbul pulak suara-suara luar bila saya selalu bekerja dengan seorang brother tu. Mula-mula gosip, tapi syaitan kan licik, lama-lama datang sikit-sikit rasa kat hati. Jujurnya, saya rasa sangat tak selesa dengan rasa tu. Saya cuba istikharah juga, kalau betul lah dia orangnya. Tapi bukan jawapan istikharah tu dapat secepat selepas solat. Dan jujur lagi, saya tak rasa saya dah cukup bersedia untuk ke peringkat itu. Banyak lagi yang saya nak buat dalam hidup ni.."

"Lelaki yang baik ye..Akak rasa kita boleh tengok cara dia layan perempuan, bukan layan kita je, tapi dengan perempuan lain sekali. Adakah dia hormat seseorang wanita itu atau tak. Adakah dia menjaga pandangan dan tutur kata saat berbicara. Tengok sikap dia dengan kawan-kawan dia. Siapa kawan-kawan dia. Cek facebook dia, apa yang dia selalu post atau share. Macam mana dia komen."

Tambah Kak Adawiyah lagi,
 
"Pasal nak elak gosip dan jaga hati tu, mungkin awak boleh cuba sedaya upaya untuk tidak berhubung dengan dia. Carilah cara apapun, selagi boleh elak, elakkan. Kalau terpaksa berhubung, cuba guna orang lain. Contoh kan, katakanlah awak nak guna lab, tapi kunci dekat dia, awak jangan suruh dia hantar kat awak, suruh dia pass kat sesiapa. Cuba, cuba, cuba cari cara untuk tidak berhubung langsung dengan dia."

Kak Adawiyah menambah dengan contoh.

"Macam ada seorang akhawat ni dulu. Dia budak jurusan agama, kawan akak lah. Ada seorang brother tu baik, selalu bagi majlis ilmu dan akhawat ni selalu hadir. Mula-mula dia suka-suka macam tu je, tapi bila kawan-kawan makin selalu usik kata mereka ni padanlah, apa lah, hati dia makin terganggu. Sampai satu tahap tu dia bagitahu kat akak, dia solat pun nampak muka brother tu kat tikar sejadah. Sungguh."

Aku terkejut, Kak Adawiyah terus menyambung.

"Lalu dia ambil keputusan untuk tak pergi lagi ke majlis ilmu brother tu. Memang majlis ilmu tu bagus, tapi demi nak jaga hati, dia tinggalkan itu dan cari majlis ilmu yang lain. Itu mujahadah dia."

Menjawab pertanyaan yang seterusnya,
 
"Pasal bersedia atau belum tu, Allah akan temukan kita dengan jodoh tu saat kita betul-betul dah bersedia. Contoh ye, kita ni masih ada ibu bapa. Tapi ada kawan-kawan kita umur tujuh tahun ayah atau ibu dia dah meninggal. Bukan Tuhan tu tak adil. Tapi sebab Allah tahu ketika itu dia dah bersedia untuk terima ujian tu. Kita ni sebab Allah tahu belum mampu. Macam tu jugak dengan jodoh. Allah tahu bila kita bersedia atau tidak. Mungkin Allah nak kita berbakti kat ibu bapa kita dulu. Banyak lagi kita kena perbaiki diri. Allah tahu apa yang kita tak tahu."

Ketika itu waktu terasa sangat mencemburui. Dengan aku yang mengejar dateline submission report dan Kak Adawiyah yang ada kelas selepas itu. Namun pertemuan yang singkat itu sudah mampu untuk menyegarkan hati yang kering itu. Sambil bersalaman aku bisikkan kepada Kak Adawiyah supaya mendoakan aku untuk terus kuat menjaga hati. Doa dititip bersama senyuman. Rasa kasih dan cinta menjalar dalam genggaman tangan kami.

Aku terus melangkah ke bangunan E5 ketika itu dengan semangat yang baru refresh. Dan serta merta itu juga aku diuji apabila brother yang aku maksudkan duduk betul-betul di komputer sebelah. Namun alhamdulillah, terngiang-ngiang nasihat Kak Adawiyah sebelum itu, mujahadah dan terus menjauh. Allah akan jaga.

Dan aku berharap purdah yang menutup wajah ini juga dapat membantu aku menjaga hati. Amin Ya Rabb.
 

Sunday, February 9, 2014

Fate.

Bismillahirrahmanirrahim.

credit


Alhamdulillah 'ala kulli hal. Sollu 'ala Nabi.

Satu:

Cuti sem lepas memang duduk kat rumah je. Kebetulan ummi dan ayah tak berapa sihat, nak jalan-jalan pon macam tak patut. Makanya jadi tukang masak, tukang basuh baju, tukang sapu sampah, senang cerita jadi suri rumah. Seronok je. Dapatlah merasa serba sikit kepayahan ummi menjaga kita kecil-kecil dahulu. Cuma satu cabarannya ialah, bila nak masak. Ummi tak sedap mulut. Kena fikir lauk apa yang ummi mampu telan. Tiap-tiap hari aku asah skill memasak aku. Alhamdulillah, berkat ummi ajar dulu-dulu mampu juga aku masak lauk so-called traditional. Yelah, lauk modern kan SANGAT simple. Lauk-lauk asli melayu tu kena ada kepakaran memasak tau. Dan, tiap-tiap harilah aku memasak lauk yang berbeza. Seronok bila day-by-day selera ummi dah makin okay. Alhamdulillah.

Dua:

Nak jadi cerita, ummi masih dalam tempoh treatment. Bila-bila masa akan hospital telefon suruh datang. Minggu terakhir cuti tu ummi kena masuk ward. Suppose, doktor kata masih ada air dalam paru-paru tu. Kena buang dulu baru boleh continue dengan radiograpy. Masuk hospital adalah dalam empat hari. Lastly tak payah buang pun air tu sebab sikit and the body can absorb. Ceh. Ulang alik ke sana ke mari, memang sesaja holiday kat hospital lah, kata ummi. Aku jadi peneman ummi. Ummi bosan, aku pun bosan. Bukan ada treatment apa-apa, duduk melangut. Makin hari makin tahap kesabaran menurun terhadap pengurusan hospital tu. Kerja nurse, tiba-tiba jadi tugas aku. Menu makanan salah hantar. Too many uncertainties. Fuhh, menguji.

Tiga:

Sebabkan bosan duduk tak buat apa kat hospital, ummi pesan kat abang hantarlah buku apa-apa, dapat juga habiskan masa dengan membaca. Abang hantar dua buku, 'Magnet Solat Dhuha' lagi satu 'Persona Solat Tahajud'. Hari kedua ayah bawak dua lagi buku yang diambil dari rak buku rumah abang, 'Dari Tanjung Malim ke KLCC' dan novel 'Maruah'. Buku 'Dari Tanjung Malim ke KLCC' aku berjaya habis baca sebab penulisannya santai. Buku 'Persona Solat Tahajud' sempat separuh. Jadi total buku aku baca cuti sem lepas sama dengan lima setengah.

Empat:

Ruang wad tu agak luas. Di sebelah katil boleh dimuatkan satu kerusi malas, di sebelah lagi cukuplah untuk jadikan ruang solat. Kalau siang aku pergi solat di surau luar wad sahaja. Cuma malam, ummi risaukan keselamatan aku keluar berseorangan. Azan pun boleh didengar walaupun sayup-sayup, alhamdulillah. Di kesempatan awal pagi itu, Allah berikan ketenangan untuk keserabutan dan kekeliruan hati ini. Allah memberi hikmah untuk terus bermuhasabah. Tak layak bukan untuk aku menghukum? Jadi aku serahkan semuanya pada Allah. Aku yakin dan serahkan seluruh ketentuan jodoh ini kepada Allah.

Lima:

Ummi janji nak belikan aku handphone baru. Aku tidaklah mengharap sangat. Selagi Vivaz tu mampu digunakan aku redah saja. Tiba-tiba pula hari Jumaat tu dia totally rosak. Tak mampu nak buat apa-apa dah. Esoknya aku dah plan nak pergi kenduri kahwin kawan sekelas dulu pulak tu. Dah malam, tak sempat pun nak beli telefon hari itu juga. Esok pergi bermusafir terpaksa pinjam handphone ummi dulu.

Enam:

1 Feb, mabruk Ieda dan pasangan. Barakallahu lakuma. Siapa sangka, dalam batch kita Ieda yang kahwin dulu? Kiranya nak kahwin ni ikut ranking time konvo dulu ke macam mana? Kalau macam tu lepas ni Yanti lah. Haha. Sempat jumpa beberapa kawan maktab tu. Masing-masing dah berubah. Makin matured, makin cantik, makin ...

Tujuh:

Perjalanan dari Ipoh ke Bagan Serai, singgah Kuala Kangsar ambil Nabila dan Yong. Lupa nak check kilometer. Jadi berteka-teki boleh solat jama' atau tidak. Tanya kawan-kawan yang hadir kenduri tu, masing-masing jawapan kurang memuaskan. Pukul 2.40 pm, sebab dah lewat sangat aku telefon ayah tanyakan kepastian. Jawapan ayah yakin, BOLEH. Kemudian ayah tanya bila nak balik, Atok MENINGGAL!

Allah! Innalillahi wa inna ilaihi raajiuun.

Lapan:

Aku selesaikan dulu yang fardhu. Dah siap jama' fikiran blurr macam mana nak sampai rumah cepat padahal banyak persinggahan lagi ni. Kena hantar Yong kat Taiping dulu. Nabila nak balik Kuala Kangsar. Wani balik Ipoh semula. Aku telefon ayah tanyakan sama ada mahu aku terus ke kampung di Lenggong atau bagaimana. Ayah kata balik je Ipoh dulu. Perjalanan yang aku anggap paling lama dua jam itu meleset. Pukul 6.30 pm baru aku sampai Ipoh. Mujur ayah dan ummi dah balik kampung dulu, aku kena pergi Lenggong dengan abang. Siap-siap tukar baju semua gerak balik Lenggong, sampai kampung mayat dah nak diusung ke perkuburan. TERKILAN. Tak sempat nak lihat wajah atok buat kali terakhir. Kesal. Sedih. Semua ada. Rasa tak patut pergi kenduri tu siangnya. Benda dah jadi, aku tak mampu nak buat apa-apa. Cuma aku mampu panjatkan doa di setiap solatku semoga atok ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang soleh. Amin.

Sembilan:

Kami sekeluarga sahaja tiga kereta. Abangme datang dari Perlis. Akak yang pulang ke rumah mertua di Johor tak sempat balik. Malam itu ayah cadang kami pulang ke Ipoh sahaja, tak perlu bermalam di situ. Aku memilih untuk naik kereta bersama ummi dan ayah. Ya Allah rasa terkilan itu seumur hidup aku akan rasa. Dalam kereta aku hanya mendengar perbualan ummi dan ayah. Pakcik ada cerita pada ayah, malam sebelum hari atok meninggal itu, sepanjang malam atok habiskan dengan mengaji Al-Quran. Subhanallah. Atok meninggal selepas solat zohor, ketika mahu makan tengah hari. Bayangkan saat kematian arwah masih dalam keadaan berwudhuk. Allahu Akbar.

Sepuluh:

Arwah atok yang aku kenali seorang yang SANGAT penyabar. SANGAT. Tak pernah sekali aku melihatnya marah kecuali bila haknya diambil orang. Arwah sentiasa murah dengan senyuman. Aku cukup kagum dengan kegigihan atok membesarkan anak-anaknya dalam kesusahan dan kepayahan. Hidup serba kekurangan tak menghalang atok memberikan pendidikan Islam yang sempurna kepada anak-anaknya. Ya Allah, sungguh aku jadi saksi arwah seorang yang mulia dan berlaku baik kepada anak dan cucunya.

Sebelas:

Hari keesokannya, disebabkan sudah berjanji dan menjadi keperluan  ketika itu, ummi membelikan aku handphone baru. Rasa tak punya perasaan ketika itu kerana kami sekeluarga sepatutnya masih berkabung. Cuti pun sudah habis. Langsung tak ada perasaan nak balik UIA. Entah, masih punya rasa terkilan yang teramat sangat. Memang aku tidaklah rapat mana dengan atok, tapi sebagai atok dan cucu, kasih antara kami terpaut. Jadi aku decided balik UIA Isnin sahaja.

Untuk segala kasih yang terpaut, untuk segala kesempatan yang diguna, untuk segala kebaikan yang disalur, untuk segala didikan yang ditunjuk, untuk segala kebajikan yang dihulur, untuk segala senyum yang tersisa, untuk segalanya, aku sayang atok kerana Allah. Aku menjadi saksi atas kebaikan atok terhadap anak-anak, cucu-cucu dan orang sekelilingnya. Berikan balasan syurga untuk atok. Semoga arwah atok ditempatkan dalam kalangan hambaMu yang beriman. Amin.

To whom it may concern.

Bismillahirrahmanirrahim.
 
To whom it may concern. You.
 
Saya tahu kamu lelaki yang baik. Everyone would say that.
 
Tapi..
 
Apa yang terjadi telah mungkin mengubah apa yang kita rancang. Awalnya saya menyalahkan. Akhirnya saya sedar Allah berikan suatu petunjuk supaya saya lebih memperbaiki diri, bukan menyalahkan.
 
Maaf.
 
Buat masa ini, kita serahkan semua pada takdir Ilahi. Andai ada jodoh, tak ke mana.
 
Semoga kamu, dan diriku sentiasa dalam lindungan Allah.

Wednesday, January 22, 2014

Wanita dan Fitnah

Bismillahirrahmanirrahim.
credit


Alhamdulillah 'ala kulli hal. Sollu 'ala Nabi.

Wanita itu sering sahaja dikaitkan dengan fitnah. Pernah aku terdengar yang hadith berkaitan 'fitnah terbesar di akhir zaman adalah wanita' itu adalah hadith maudhu' atau hadith palsu atau menghampiri palsu atau tidak sahih. Jadi aku tidak mahu menulis bersandarkan hadith tersebut. Bimbang pada khilaf diri.


Saat menulis ini jantungku masih berdebar-debar. Terasa begitu takut dengan satu situasi yang baru mengetuk. Betapa, wanita itu sentiasa terdedah kepada fitnah. Hatta muslimah yang begitu menjaga juga akan diuji dengan fitnah. Allahu.

Fitnah itu memang ujian buat insan bergelar wanita. Dalam Al-Quran sendiri ada menyebut beberapa kisah berkaitan fitnah dan wanita ini. Sebagai contoh di dalam surah Maryam iaitu surah ke-19 ayat 27 hingga 34 ada menceritakan bagaimana Maryam dituduh telah melakukan zina sehingga melahirkan anak luar nikah. Antara contoh lain di dalam sirah ialah peristiwa Haditsul Ifki yang menimpa Ummul Mu'minin, Saidatina A'isyah R.A. di mana A'isyah difitnah melakukan perbuatan sumbang. Allah telah membersihkan nama baik A'isyah dalam surah An-Nuur yakni surah ke-24 ayat 23 dan 24. Kisah ini turut diterangkan dalam surah yang sama pada ayat 11 hingga 19.

Sedangkan wanita-wanita mulia dan suci begitu juga tak dapat lari daripada fitnah, inikan kita yang lebih banyak noda dan dosa? Sedar atau tidak sedar, kadang-kadang kita sendiri yang mendedahkan diri kita kepada fitnah.
Bagaimana?

Satu:

Kadang-kadang kita leka melayan movies di laptop mahu pun di televisyen sehingga terlewat solat fardhu kita. Nah, satu ruang fitnah untuk muslimah yang saksinya 'hanya Allah yang layak disembah' tapi perbuatannya tak selari dengan penyaksian.

Dua:

Kita pantang tahu ada sales untuk tudung dan jubah rekaan terbaru, jadi kita sanggup berhabis duit membeli dan memborong. Sekali lagi ruang fitnah untuk muslimah, pakaian yang dipakai untuk menutup aurat atau untuk dipamer dan dilihat? Pakaian yang mengikut syariat itu adalah pakaian yang menutup aurat dan juga tidak membazir ketika membelinya.

Tiga:

Ketika bermesyuarat melibatkan lelaki dan perempuan secara tidak sedar perbincangan dah jauh melencong dari agenda sebenar. Kadang-kadang langsung membawa kepada lagha, disertakan dengan gelak tawa lagi. Adesss, ini fitnah yang sangat aku takut, fitnah berkait dengan lelaki.

Ya Rabb, ujian fitnah ini amat berat.

Semua fitnah-fitnah itu jika tak ditangani dengan betul dan bijaksana, malah membawa fitnah kepada agama pula. Na'uzubillahi min zalik.

Tak semudah yang disangka untuk kita mengelak fitnah. Mungkin fitrah seorang wanita itu mudah terdedah kepada fitnah. Tetapi kita sekurangnya boleh cuba untuk menjauhkan diri daripada asbab kepada fitnah terjadi.

Sentiasa melazimi diri dengan Al-Quran. Sentiasa tadabbur dan hayati setiap kalam Ilahi. Bergembiralah dengan ayat rahmatNya dan takutilah pada ayat azabNya. Dengan itu kita akan lebih berusaha untuk menjadi hambaNya yang taat.

Bersederhanalah dalam setiap pekerjaan dan amalan. Selalunya berlebihan itu akan mengundang jarum-jarum syaitan untuk menghasut. Bersederhana dalam berpakaian, supaya tidak tersasar niat menutup aurat dan tidak membazir. Bersederhana dalam bekerja supaya tidak tersasar niat mengejar dunia bimbang ditinggal akhirat.

Jauhi penggaulan dengan ajnabi jika bukan dalam keadaan yang diperlukan syarak. Islam bukan agama yang jumud yang langsung mengharamkan muamalah antara lelaki dan perempuan. Tetapi ada batas yang ditetapkan syarak. Ikuti segala syarat dan laranganNya insyaAllah, semuanya berjalan lancar.

Andai juga kita telah berusaha menjaga diri dan berhati-hati supaya tidak dijengah fitnah tetapi masih juga terpalit kotoran fitnah itu, bersabarlah dan mohon pertolongan Allah. Boleh jadi Allah mahu menguji sekuat mana iman kita. Yang penting sentiasa bersangka baik dengan Allah. Allah  tak pernah meninggalkan hambaNya sendirian dan Allah tak pernah menzalimi hambaNya.


"Sesungguhnya orang-orang lelaki yang Islam serta orang-orang perempuan yang Islam, dan orang-orang lelaki yang beriman serta orang-orang perempuan yang beriman, dan orang-orang lelaki yang taat serta orang-orang perempuan yang taat, dan orang-orang lelaki yang benar serta orang-orang perempuan yang benar, dan orang-orang lelaki yang sabar serta orang-orang perempuan yang sabar, dan orang-orang lelaki yang merendah diri (kepada Allah) serta orang-orang perempuan yang merendah diri (kepada Allah), dan orang-orang lelaki yang bersedekah serta orang-orang perempuan yang bersedekah, dan orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa, dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya, dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar."
[Al-Ahzaab 33:35]

Sunday, December 1, 2013

The Challenge and Hardship

Bismillahirrahmanirrahim.
 
(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!
"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)!"
[Al-Fajr 89:27-28] 
 
Sudah kurang lebih setahun perubahan yang aku lakukan ini. Masih aku ingat saat pertama kali itu. Pertama kali aku meletakkan niqab di wajahku. Subhanallah, rasa tenang itu sungguh luar biasa. Sungguh.
 
 
Dan Allah takkan biarkan aku terus berada di zon selesa begitu sehingga aku benar-benar layak. Pada permulaan aku mengenakan pemakaian begitu, banyak juga ujian dan dugaan yang aku hadapi. Hampir-hampir aku jatuh kepada putus asa dan kecewa. Air mata juga setia menjadi peneman ketika itu. Tapi alhamdulillah, ujian itu sebenarnya menguatkan aku.
 
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? 
[Al-'Ankabuut 29:2]  
 
Pernah sekali itu, baru usai kelas, tiba-tiba seorang rakan sekelasku menghampiri.
 
"Boleh aku tanya something?"
 
"Apa ye?"
 
"Kenapa kau pakai purdah?"
 
Sentap. Terkejut. Terkedu. Semua ada. Sementelahan dia seorang lelaki. Jarang-jarang bercakap tiba-tiba hari itu dia hampir dan terus menanyakan soalan begitu.
 
Aku senyap. Berfikir-fikir patut dijawab atau tidak. Melihat aku cuma terdiam dia lantas beritahu, "okay, nanti PM jawapan."
 
Aku sekadar membatu. Tidak mengangguk, tidak menggeleng. Serah semua pada percaturan Allah.
 
Alhamdulillah, situasi itu berjaya aku tangani. Walaupun sepanjang situasi itu air mata yang jadi teman setia, tapi aku percaya air mata itu yang menguatkan aku sekarang.
 
Itu orang luar. Pernah juga, kakak kandungku sendiri yang bertanya soalan itu. Terasa seperti diancam, tidak disokong, tapi aku menjawab satu per satu soalan akak. Aku benar yakin dengan hati aku saat itu. Aku tak perlu berpatah balik. Aku yakin ini yang terbaik.
 
Sudah memilih pemakaian luaran begini jadi dalaman juga perlu selari dan sentiasa diperbaik. 
 
Teringat satu hari itu, aku terlalu sibuk menguruskan satu program kelab. Pergi sana sini membeli barang untuk program, solat fardhu pun tergesa-gesa di mana-mana kedai yang kami pergi. Dan dalam keadaan kelam kabut sebegitu, selesai urusan sudahpun maghrib ketika dalam perjalanan pulang. Sebelum aku sempat sampai ke mahallah demi mengejar maghrib, dapat panggilan telefon dari ummi.
 
"Dah sembahyang maghrib?"
 
"Belum. Belum. Nanti Ala telefon balik, nak cepat-cepat balik solat ni."
 
"Hah? haa. Cepat! Cepat!"
 
Usai solat dan menenangkan diri. Belum hilang lelah Ummi menelefon kembali, "Dari mana tadi? Kenapa solat lewat? Dah nak dekat Isyak. Jangan buat macam ni Syakirah. Selesai macam-macam tapi solat entah ke mana. Awak tu pakai purdah, patut perangai kena jaga. Ni entah keluar ke mana, dengan siapa lepastu solat entah bila. Jaga perangai tu."
 
Aku senyap. Air mata mengalir sekali lagi. Insaf. Refleksi diri. Iya, aku tak patut biarkan diri menjadi fitnah. Aku tak patut biarkan diri merosakkan persepsi orang lain kepada niqabis.
 
Situasi yang berbeza-beza, tapi kesemuanya menguatkan aku dan membantu aku membina diri. 
 
Masih banyak aku perlu belajar. Aku belum sempurna. Tegur aku andai aku tersilap. Aku juga manusia yang tak terlepas dari melakukan dosa. Cuma aku mohon doa dan sokongan kalian.
 
 
 

Tuesday, October 22, 2013

Pertemuan Satu Jam Lima Minit

Bismillahirrahmanirrahim.


credit


Petang itu hujan renyai-renyai. Beransur reda ba'da asar. Ain mendail nombor telefon Kak Aisyah, ajak bertemu. Rindu, sudah lama sejak pertemuan terakhir mereka.

"Kak Ecah free? Jom jumpa. Saya pergi mahallah Kak Ecah pon okay."

"Kejap, awak dekat mana?"

"Saya dekat centre. Tadi baru balik merayau sorang-sorang. Eheh."

"Kalau macam tu, kita makan kat HS cafe nak? Nanti akak sampai."

"Okay, saya tunggu kat cafe teruslah macam tu. Assalamu'alaikum."

Ain pilih satu meja kosong di hujung sekali. Sedang dia menunggu dia membelek buku yang baru dibeli sebentar tadi. Sesekali dia mendongak melihat gelagat orang sekeliling. Ada yang menjamah roti canai sendirian. Ada yang riuh bersembang padahal berdepan. Ada yang asyik menunggu seseorang, sepertinya juga. Ada yang langsung tak menghiraukan keadaan sekeliling.

"Assalamu'alaikum. Maaf akak lambat."

"Eh, takpe. Bukan lama sangat pun saya tunggu kat sini. Sambil-sambil tu fikir nak makan apa. Tak buat keputusan lagi ni. Susah betul! Haha. Eh, duduklah dulu, nampak termengah lagi tu."

"Apa cerita? Awak okay?"

"Eh Kak Ecah ni, kalau ye pun. Order lah dulu makan dengan minum."

"Hmm. Nak makan ape ye? Awak dah tahu nak makan ape ke belum ni?"

"Agaknyalah. Kak Ecah nak apa? Saya orderkan."

"Nasi puti dengan Tom Yam jelah. Terima kasih awak."

"Okay, no prob."

***

"Kak Ecah nak tahu? Tadi saya merayau sorang-sorang keliling UIA. Lepas tu saya beli ni."

"Ya, teruskan."

"Saya nak bagi ni kat seseorang!"

"Dia?"

"Mungkin. Nanti saya cerita. Kak Ecah sekarang okay? Macam mana? Apa dah jadi?"

"Hati akak sekarang macam rumah terbuka. Sesiapa je akak bagi masuk. Tapi kalau orang yang kita jemput tu datang, lagilah kita alu-alukan, kan?"

"Bukan dulu macam dah 'The End' ke?"

"Iyalah. Tapi..hmm sebab tu lah akak kata rumah terbuka. Kalau ada tu adalah. Awak ni cerita apa pulak?"

"Haha. Macam ni. Sekarang ni, kira macam saya akan melamar dia lah kan?"

"Tak jugak. Bergantung."

"Tak. Tak. Macam ni. Saya akan bagi ni pada dia, mungkin saya akan sertakan surat yang isinya apa yang saya hajatkan ni. Macam saya melamar dia lah kan? Dalam surat tu saya tanyalah dia dah bersedia ke belum. Kalau dah kami akan teruskan ke peringkat yang seterusnya."

"Jap. Jap. Kalau dia belum bersedia. Atau kalau jawapannya tidak untuk awak?"

"Saya akan anggap ni sekadar hadiah. Tak bermakna apa-apa."

"Okay, kalau jawapan dia ya pulak. Awak dah bersedia?"

"Hmm. Saya tak tahu bersedia maksud Kak Ecah tu macam mana. Sebab pada saya kalau nak kata bersedia betul-betul sampai bila-bila pon kita takkan bersedia. Tapi insyaAllah setelah saya fikir banyak kali, saya nekad nak bagi ni kat dia dan insyaAllah saya dah bersedia untuk ke langkah seterusnya."

"Okay kalau macam ni pulak. Dia ada perasaan yang sama dengan awak, tapi belum bersedia untuk ikat apa-apa perhubungan macam mana?"

"Saya pun takdelah tergesa-gesa sangat nak kahwin kak. Saya kena faham situasi kami masih belajar."

"Tapi kalau awak taknak kahwin lagi, kenapa awak nak luahkan perasaan awak? Kalau macam akak, akak tahu akak rapat dengan seseorang tu sebab akak nak ke arah perkahwinan terus."

"Bukan macam tu Kak Ecah. Memang saya bersedia nak kahwin, insyaAllah, tapi saya takkan paksa kalau pihak lagi satu belum bersedia. Saya sendiri ada impian. Nak sambung belajar lagi. Kalau belum kahwin, insyaAllah saya akan teruskan dulu master dan PhD, kalau dah kahwin kena mintak kebenaran suami jelah. Itu je."

"Okay, okay. Akak pon dah tak tau apa akak cakap. Tapi macam ni, katakanlah dia kata dia ada perasaan yang sama dan pada masa yang sama ada belum masanya awak dengan dia nak kahwin, apa jaminan awak dengan dia mampu jaga hati masing-masing, contohnya takkan berjumpa berdua macam tu."

"Saya bukan nak kata yakin, tapi saya tahu dia macam mana kak, dia bukan jenis macam tu."

"Awak tak boleh kata macam tu awak..syaitan ni licik. Setiap masa dia akan bisik kat korang untuk buat maksiat."

"Hmm. Dahtu macam mana Kak Ecah?"

"Jangan luahkan lagi perasaan awak tu."

"Hah? Habis, hadiah ni?"

"Bagi jelah."

"Kalau saya bagi..okay jap, memang saya tahu 'kalau dah jodoh tak ke mana' tapi still kita kena usaha, ikhtiar. Haa, kalau saya bagi tapi saya tak bagitahu daripada siapa dan kenapa, macam mana akan berlaku langkah seterusnya."

"Kalau betul-betul dia nak, dia akan cari siapa yang bagi hadiah tu."

"Tapi kak, bukan semua lelaki macam tu. Ada yang tak kisah. Macam saya pun, kadang-kadang saya tak kisah pun siapa dan kenapa seseorang tu nak bagi hadiah kat saya. Sebab I just don't care, tak nak peduli pon. Kalau dia macam tu jugak Kak Ecah, macam mana?"

"Hmm. Susah jugak ye. Tapi awak jangan luahkan dulu perasaan tu, akak taknak awak kecewa nanti."

"Ye kak, tapi saya nak buat macam mana?"

"Akak pon tak pasti. Istikharah awak macam mana?"

"Saya buat macam yang Kak Ecah ajar. Memang tak dapat petunjuk, tapi saya rasa lain. Tenang dengan perasaan tu. Saya tak pernah teringatkan dia dan langsung lagha. Tipulah kalau tak teringat langsung. Tapi bila teringat tu, ingatan tu tak membawa saya lupa Allah. Kak Ecah, saya doa kat Allah kalau rasa tu buat saya lalai dari ingat Allah, saya mohon lenyapkan terus rasa itu. Saya cuma risau, kalau-kalau hati saya menipu."

"Jangan penat istikharah awak. Akan ada jawapannya nanti."

"InsyaAllah. Jadi sekarang saya nak buat apa? Hadiah ni?"

"Istikharahlah. Akak pon tak tahu nak bagi jawapan apa."

"Allahu. Iya, terus bergantung pada Allah."

Senyap. Makanan pun sudah habis dijamah. Azan maghrib kemudian berkumandang.

"Eh, dah maghrib, jom lah. Akak nak balik mahallah, awak?"

"Saya nak pergi masjid dulu kot. Sampai bilik nanti lambat pulak."

"Okay, hati-hati tau. Jangan penat berdoa kat Allah."
 
"InsyaAllah kak. Kak Ecah pon hati-hati. Assalamu'alaikum."

"Wa'alaikumussalam."

Sambil berjalan ke masjid, Ain melihat beberapa pasangan yang masih menjamu selera.

"apa jaminan awak dengan dia mampu jaga hati masing-masing, contohnya takkan berjumpa berdua macam tu."

Terngiang-ngiang persoalan Kak Aisyah tadi. Iya, aku tiada jaminan. Cuma berbekal iman yang kadang-kadang kalah pada godaan syaitan.

Ain terus melangkah, langkahnya kini hanya mengharap redha Allah.