Demi Masa

Sunday, December 1, 2013

The Challenge and Hardship

Bismillahirrahmanirrahim.
 
(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): "Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!
"Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)!"
[Al-Fajr 89:27-28] 
 
Sudah kurang lebih setahun perubahan yang aku lakukan ini. Masih aku ingat saat pertama kali itu. Pertama kali aku meletakkan niqab di wajahku. Subhanallah, rasa tenang itu sungguh luar biasa. Sungguh.
 
 
Dan Allah takkan biarkan aku terus berada di zon selesa begitu sehingga aku benar-benar layak. Pada permulaan aku mengenakan pemakaian begitu, banyak juga ujian dan dugaan yang aku hadapi. Hampir-hampir aku jatuh kepada putus asa dan kecewa. Air mata juga setia menjadi peneman ketika itu. Tapi alhamdulillah, ujian itu sebenarnya menguatkan aku.
 
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? 
[Al-'Ankabuut 29:2]  
 
Pernah sekali itu, baru usai kelas, tiba-tiba seorang rakan sekelasku menghampiri.
 
"Boleh aku tanya something?"
 
"Apa ye?"
 
"Kenapa kau pakai purdah?"
 
Sentap. Terkejut. Terkedu. Semua ada. Sementelahan dia seorang lelaki. Jarang-jarang bercakap tiba-tiba hari itu dia hampir dan terus menanyakan soalan begitu.
 
Aku senyap. Berfikir-fikir patut dijawab atau tidak. Melihat aku cuma terdiam dia lantas beritahu, "okay, nanti PM jawapan."
 
Aku sekadar membatu. Tidak mengangguk, tidak menggeleng. Serah semua pada percaturan Allah.
 
Alhamdulillah, situasi itu berjaya aku tangani. Walaupun sepanjang situasi itu air mata yang jadi teman setia, tapi aku percaya air mata itu yang menguatkan aku sekarang.
 
Itu orang luar. Pernah juga, kakak kandungku sendiri yang bertanya soalan itu. Terasa seperti diancam, tidak disokong, tapi aku menjawab satu per satu soalan akak. Aku benar yakin dengan hati aku saat itu. Aku tak perlu berpatah balik. Aku yakin ini yang terbaik.
 
Sudah memilih pemakaian luaran begini jadi dalaman juga perlu selari dan sentiasa diperbaik. 
 
Teringat satu hari itu, aku terlalu sibuk menguruskan satu program kelab. Pergi sana sini membeli barang untuk program, solat fardhu pun tergesa-gesa di mana-mana kedai yang kami pergi. Dan dalam keadaan kelam kabut sebegitu, selesai urusan sudahpun maghrib ketika dalam perjalanan pulang. Sebelum aku sempat sampai ke mahallah demi mengejar maghrib, dapat panggilan telefon dari ummi.
 
"Dah sembahyang maghrib?"
 
"Belum. Belum. Nanti Ala telefon balik, nak cepat-cepat balik solat ni."
 
"Hah? haa. Cepat! Cepat!"
 
Usai solat dan menenangkan diri. Belum hilang lelah Ummi menelefon kembali, "Dari mana tadi? Kenapa solat lewat? Dah nak dekat Isyak. Jangan buat macam ni Syakirah. Selesai macam-macam tapi solat entah ke mana. Awak tu pakai purdah, patut perangai kena jaga. Ni entah keluar ke mana, dengan siapa lepastu solat entah bila. Jaga perangai tu."
 
Aku senyap. Air mata mengalir sekali lagi. Insaf. Refleksi diri. Iya, aku tak patut biarkan diri menjadi fitnah. Aku tak patut biarkan diri merosakkan persepsi orang lain kepada niqabis.
 
Situasi yang berbeza-beza, tapi kesemuanya menguatkan aku dan membantu aku membina diri. 
 
Masih banyak aku perlu belajar. Aku belum sempurna. Tegur aku andai aku tersilap. Aku juga manusia yang tak terlepas dari melakukan dosa. Cuma aku mohon doa dan sokongan kalian.
 
 
 

No comments: