Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah hari ini genap usia Ayah 59 tahun mengikut kalendar masihi. Ayah seorang yang tegas tapi penyayang. Seorang yang garang tapi berhati lembut.
Hasil ketegasan Ayah, maka jadilah peribadi aku seperti aku yang hari ini. Ummi selalu kata Ayah sayang aku lebih.
Teringat dulu sewaktu aku awal-awal mendaftar di SMKA, sampai di pagar sekolah terdengar sedu sedan Ayah. Ayah menangis bukan kerana apa, tapi Ayah sedih kerana aku tak dapat belajar di sekolah yang aku idam-idamkan iaitu SBP. Kemudian, sebulan selepas itu aku ditawarkan ke MRSM, Ayahlah orang yang paling gembira.
Ingat lagi waktu kecil-kecil dahulu, Ayah jarang marah aku. Kali pertama aku dirotan ialah ketika aku menconteng dinding rumah. Itu pun rotan sekadarnya, tak sakit langsung. Kemudian selepas-selepas itu apabila umur aku mula menginjak 7 tahun aku akan digertak dengan rotan kalau aku bermalasan untuk sembahyang.
Ayah sentiasa mengingatkan kami supaya ikhlas dalam apapun. Biar tidak mendapat penghargaan manusia, tapi redha Allah yang kita cari. Di syurga kelak pasti berbayar, kata Ayah.
Terlampau banyak yang Ayah ajarkan aku. Iya, yang kalian lihat aku sekarang adalah hasil didikan dia. Yang aku tahu tahajjud itu amalan Ayah selalu, puasa sunat juga tak pernah culas. Dan sesekali apabila Ayah tak berkesempatan bersolat jemaah di masjid, Ayah akan menyesalinya sepanjang hari dan pasti diajak kami solat jemaah sekali dengannya di rumah.
Alhamdulillah sejak usiaku masih kecil aku diajar mengaji dengan Ayah. Tidak ada rotan di sisi Ayah tapi gertakan Ayah sudah cukup untuk buat jiwa kecilku ketika itu menangis teresak-esak.
InsyaAllah pahala tilawah aku sepanjang hidup ini akan tersalur kepadanya. InsyaAllah ummi juga.
Tadi pagi aku telefon Ayah dan mengucap selamat. Pesan Ayah,
"Ingat ni, dunia akan terus tinggalkan kita jauh, tapi akhirat semakin dekat dengan kita."
Untuk segalanya, aku sayang Ayah kerana Allah. Semoga syurga sebagai ganjaran jasa Ayah selama ini. Amin.
No comments:
Post a Comment