Demi Masa

Showing posts with label Ummi. Show all posts
Showing posts with label Ummi. Show all posts

Sunday, November 15, 2015

Pesan Ummi

Bismillahirrahmanirrahim.

UIA sekarang masih demam konvo. Tak mampu nak buat ucapan panjang-panjang, cuma sekalung tahniah kepada semua graduan! Selamat berbakti kepada masyarakat.

I know the feeling. Setelah bertungkus-lumus selama empat tahun, dan ada diantara mereka yang lebih dari itu, peluang untuk memegang segulung ijazah adalah sesuatu yang sebelumnya seperti mimpi. 

Aku sendiri pernah beberapa kali hampir berputus asa dan menganggap untuk menghabiskan empat tahun dalam engineering school seperti mustahil. Alhamdulillah, I've made it!




InsyaAllah, next year konvo untuk master pulak. Sangat berharap dapat siapkan experiment dan thesis secepat mungkin. Allahuma amin.

Ada satu perihal. Mulanya begini, tahun lepas selesai majlis konvokesyen aku menempah plak skroll daripada syarikat fotografer rasmi majlis tersebut. Tunggu dan tunggu. Gambar berseorangan dan gambar keluarga telah diterima beberapa bulan selepas majlis. Namun plak yang ditempah masih juga tiada berita. Sampai saat ini.

Jadinya semalam aku ke CAC, berharap UIA masih menggunakan perkhidmatan mereka tahun ini jadi boleh aku tanyakan mengenai hak aku. Tapi rupanya tahun ini bukan lagi photographer yang sama.

Aku telefon Ummi beritahukan semua. Kata aku, "Ala taknak halalkan sampai hari kiamat duit tu. Bukannya murah."

Jawapan Ummi buatkan aku terdiam dan berfikir, "Halalkan jelah. Kesian nanti kat dia nak kena cari kita kat Padang Masyar nanti. Bukan senang."

Aku masih berhujah, "Tapi bukan murah. Suka hati je dia ambik duit orang."

Ummi masih tenang, "Jangan macam tu. Halalkan je. Nanti kita cari kedai lain tempah yang baru."

Allahu. Aku berperang sendiri dalam hati. Bagaimana untuk ikhlas memaafkan? Nampaknya masih banyak titik-titik hitam dalam hati ini. Entah kenapa aku perlu bermujahadah untuk melakukan kebaikan?

Astaghfirullah.

Tuhan, ajarkan aku untuk ikhlas.

Saat ini hati masih bermujahadah. Nafsu tegar untuk membiarkan pihak terlibat menderita di Padang Masyar. Iman cuma memujuk. Allahu, payahnya!

Kata hati, "Kalau kedai itu tidak sengaja, aku sedia memaafkan. Tapi kalau dia memang berniat untuk menipu, biarlah dibalas setimpal."

Masih. Terlalu sukarkah untuk ikhlas dalam memaafkan wahai diri?

Ya Rahmaan, aku mohon kasih sayangMu.

Sunday, February 9, 2014

Fate.

Bismillahirrahmanirrahim.

credit


Alhamdulillah 'ala kulli hal. Sollu 'ala Nabi.

Satu:

Cuti sem lepas memang duduk kat rumah je. Kebetulan ummi dan ayah tak berapa sihat, nak jalan-jalan pon macam tak patut. Makanya jadi tukang masak, tukang basuh baju, tukang sapu sampah, senang cerita jadi suri rumah. Seronok je. Dapatlah merasa serba sikit kepayahan ummi menjaga kita kecil-kecil dahulu. Cuma satu cabarannya ialah, bila nak masak. Ummi tak sedap mulut. Kena fikir lauk apa yang ummi mampu telan. Tiap-tiap hari aku asah skill memasak aku. Alhamdulillah, berkat ummi ajar dulu-dulu mampu juga aku masak lauk so-called traditional. Yelah, lauk modern kan SANGAT simple. Lauk-lauk asli melayu tu kena ada kepakaran memasak tau. Dan, tiap-tiap harilah aku memasak lauk yang berbeza. Seronok bila day-by-day selera ummi dah makin okay. Alhamdulillah.

Dua:

Nak jadi cerita, ummi masih dalam tempoh treatment. Bila-bila masa akan hospital telefon suruh datang. Minggu terakhir cuti tu ummi kena masuk ward. Suppose, doktor kata masih ada air dalam paru-paru tu. Kena buang dulu baru boleh continue dengan radiograpy. Masuk hospital adalah dalam empat hari. Lastly tak payah buang pun air tu sebab sikit and the body can absorb. Ceh. Ulang alik ke sana ke mari, memang sesaja holiday kat hospital lah, kata ummi. Aku jadi peneman ummi. Ummi bosan, aku pun bosan. Bukan ada treatment apa-apa, duduk melangut. Makin hari makin tahap kesabaran menurun terhadap pengurusan hospital tu. Kerja nurse, tiba-tiba jadi tugas aku. Menu makanan salah hantar. Too many uncertainties. Fuhh, menguji.

Tiga:

Sebabkan bosan duduk tak buat apa kat hospital, ummi pesan kat abang hantarlah buku apa-apa, dapat juga habiskan masa dengan membaca. Abang hantar dua buku, 'Magnet Solat Dhuha' lagi satu 'Persona Solat Tahajud'. Hari kedua ayah bawak dua lagi buku yang diambil dari rak buku rumah abang, 'Dari Tanjung Malim ke KLCC' dan novel 'Maruah'. Buku 'Dari Tanjung Malim ke KLCC' aku berjaya habis baca sebab penulisannya santai. Buku 'Persona Solat Tahajud' sempat separuh. Jadi total buku aku baca cuti sem lepas sama dengan lima setengah.

Empat:

Ruang wad tu agak luas. Di sebelah katil boleh dimuatkan satu kerusi malas, di sebelah lagi cukuplah untuk jadikan ruang solat. Kalau siang aku pergi solat di surau luar wad sahaja. Cuma malam, ummi risaukan keselamatan aku keluar berseorangan. Azan pun boleh didengar walaupun sayup-sayup, alhamdulillah. Di kesempatan awal pagi itu, Allah berikan ketenangan untuk keserabutan dan kekeliruan hati ini. Allah memberi hikmah untuk terus bermuhasabah. Tak layak bukan untuk aku menghukum? Jadi aku serahkan semuanya pada Allah. Aku yakin dan serahkan seluruh ketentuan jodoh ini kepada Allah.

Lima:

Ummi janji nak belikan aku handphone baru. Aku tidaklah mengharap sangat. Selagi Vivaz tu mampu digunakan aku redah saja. Tiba-tiba pula hari Jumaat tu dia totally rosak. Tak mampu nak buat apa-apa dah. Esoknya aku dah plan nak pergi kenduri kahwin kawan sekelas dulu pulak tu. Dah malam, tak sempat pun nak beli telefon hari itu juga. Esok pergi bermusafir terpaksa pinjam handphone ummi dulu.

Enam:

1 Feb, mabruk Ieda dan pasangan. Barakallahu lakuma. Siapa sangka, dalam batch kita Ieda yang kahwin dulu? Kiranya nak kahwin ni ikut ranking time konvo dulu ke macam mana? Kalau macam tu lepas ni Yanti lah. Haha. Sempat jumpa beberapa kawan maktab tu. Masing-masing dah berubah. Makin matured, makin cantik, makin ...

Tujuh:

Perjalanan dari Ipoh ke Bagan Serai, singgah Kuala Kangsar ambil Nabila dan Yong. Lupa nak check kilometer. Jadi berteka-teki boleh solat jama' atau tidak. Tanya kawan-kawan yang hadir kenduri tu, masing-masing jawapan kurang memuaskan. Pukul 2.40 pm, sebab dah lewat sangat aku telefon ayah tanyakan kepastian. Jawapan ayah yakin, BOLEH. Kemudian ayah tanya bila nak balik, Atok MENINGGAL!

Allah! Innalillahi wa inna ilaihi raajiuun.

Lapan:

Aku selesaikan dulu yang fardhu. Dah siap jama' fikiran blurr macam mana nak sampai rumah cepat padahal banyak persinggahan lagi ni. Kena hantar Yong kat Taiping dulu. Nabila nak balik Kuala Kangsar. Wani balik Ipoh semula. Aku telefon ayah tanyakan sama ada mahu aku terus ke kampung di Lenggong atau bagaimana. Ayah kata balik je Ipoh dulu. Perjalanan yang aku anggap paling lama dua jam itu meleset. Pukul 6.30 pm baru aku sampai Ipoh. Mujur ayah dan ummi dah balik kampung dulu, aku kena pergi Lenggong dengan abang. Siap-siap tukar baju semua gerak balik Lenggong, sampai kampung mayat dah nak diusung ke perkuburan. TERKILAN. Tak sempat nak lihat wajah atok buat kali terakhir. Kesal. Sedih. Semua ada. Rasa tak patut pergi kenduri tu siangnya. Benda dah jadi, aku tak mampu nak buat apa-apa. Cuma aku mampu panjatkan doa di setiap solatku semoga atok ditempatkan dalam kalangan hambaNya yang soleh. Amin.

Sembilan:

Kami sekeluarga sahaja tiga kereta. Abangme datang dari Perlis. Akak yang pulang ke rumah mertua di Johor tak sempat balik. Malam itu ayah cadang kami pulang ke Ipoh sahaja, tak perlu bermalam di situ. Aku memilih untuk naik kereta bersama ummi dan ayah. Ya Allah rasa terkilan itu seumur hidup aku akan rasa. Dalam kereta aku hanya mendengar perbualan ummi dan ayah. Pakcik ada cerita pada ayah, malam sebelum hari atok meninggal itu, sepanjang malam atok habiskan dengan mengaji Al-Quran. Subhanallah. Atok meninggal selepas solat zohor, ketika mahu makan tengah hari. Bayangkan saat kematian arwah masih dalam keadaan berwudhuk. Allahu Akbar.

Sepuluh:

Arwah atok yang aku kenali seorang yang SANGAT penyabar. SANGAT. Tak pernah sekali aku melihatnya marah kecuali bila haknya diambil orang. Arwah sentiasa murah dengan senyuman. Aku cukup kagum dengan kegigihan atok membesarkan anak-anaknya dalam kesusahan dan kepayahan. Hidup serba kekurangan tak menghalang atok memberikan pendidikan Islam yang sempurna kepada anak-anaknya. Ya Allah, sungguh aku jadi saksi arwah seorang yang mulia dan berlaku baik kepada anak dan cucunya.

Sebelas:

Hari keesokannya, disebabkan sudah berjanji dan menjadi keperluan  ketika itu, ummi membelikan aku handphone baru. Rasa tak punya perasaan ketika itu kerana kami sekeluarga sepatutnya masih berkabung. Cuti pun sudah habis. Langsung tak ada perasaan nak balik UIA. Entah, masih punya rasa terkilan yang teramat sangat. Memang aku tidaklah rapat mana dengan atok, tapi sebagai atok dan cucu, kasih antara kami terpaut. Jadi aku decided balik UIA Isnin sahaja.

Untuk segala kasih yang terpaut, untuk segala kesempatan yang diguna, untuk segala kebaikan yang disalur, untuk segala didikan yang ditunjuk, untuk segala kebajikan yang dihulur, untuk segala senyum yang tersisa, untuk segalanya, aku sayang atok kerana Allah. Aku menjadi saksi atas kebaikan atok terhadap anak-anak, cucu-cucu dan orang sekelilingnya. Berikan balasan syurga untuk atok. Semoga arwah atok ditempatkan dalam kalangan hambaMu yang beriman. Amin.

Wednesday, October 30, 2013

"Kami beriman, tapi kami tak mahu diuji."

Bismillahirrahmanirrahim.

Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?  

[Al-'Ankabuut 29:2]



Mudah untuk kita melafaz dan mengakui diri kita beriman. Frasa itu terlalu mudah untuk dilafazkan di bibir. Terlalu mudah.

Tapi sejauh mana iman yang dilafaz itu memang benar-benar wujud dalam diri kita? Dalam hati kita? 

Apakah bila diuji kita akan redha dan ikhlas dengan semuanya atau kita akan mengeluh dan merungut?

Benarlah, iman itu bukan hanya di bibir, tapi di hati.

Dan ujian itu sebagai bukti sama ada kita benar-benar beriman atau tidak.

Seorang mukmin yang beriman itu redha dan ikhlas ketika diuji. Ketika dia diuji, dia sabar. Ketika dia diuji, dia terus mengharap keredhaan dan keampunan dari Allah. Ketika dia diuji, dia masih tersenyum dan bersyukur kerana Allah memilih dia untuk diuji.

Dia tidak menyalahkan takdir. Dia tidak mengeluh. Dan dia tidak pernah lelah untuk terus berdoa.

Dia yakin Allah tidak pernah menzalimi dirinya. Dia yakin Allah menimpakan sesuatu yang sesuai dengan kemampuan dirinya. Dia yakin qada' dan qadar. Dia yakin janji Allah benar.

Allahu Rabbi, jadikan aku dan keluargaku termasuk dalam hambaMu yang beriman dan terus yakin dengan hikmahMu. Kuatkan kami untuk terus melangkah menggapai redhaMu. Amin.

Semoga Ummi sihat-sihat sahaja dan cepat sembuh. Aku kadang-kadang tak sanggup melihat terlalu banyak wire di badan Ummi. 

Ya Allah, Engkau Yang Maha Menyembuhkan, Engkau Yang Maha Lembut, lindungilah ummi dengan sebaik-baik perlindunganMu, jagalah ummi dengan sebaik-baik penjagaanMu. Amin,

Hasbunallah wa nikmal wakil.
 

Sunday, August 18, 2013

Allah Tak Pernah Menzalimi HambaNya

Bismillahirrahmanirrahim.
 
 
 
"Kita kena lakukan pembedahan juga."
 
Allahu Rabbi. Rasa seperti seketul batu besar dibaling ke arahku. Berita itu bukan sesuatu yang kami harapkan.
 
Air mata aku tahan. Jangan biar ia mengalir depan Ummi dan Ayah. Aku kena kuat untuk mereka.
 
"Risiko memang tinggi sebab tumor tu hampir dengan saluran darah. Mungkin nanti kita kena ganti saluran darah yang baru. Tapi insyaAllah, faedahnya lebih besar dari risikonya."
 
Kuat Syakirah, kuat! Aku terus diam membisu. Cuma jasadku berada di bilik itu. Fikiranku entah ke mana. Yang pasti, jangan menangis!
 
Keluar beriringan dengan Ummi mahu segera pulang dari PPUM. Ummi menggenggam tanganku. Aku tersedar dari lamunan. "Ala jangan sedih, apa-apa jadi kita kena redha."
 
Aku cuba untuk memaniskan wajah, tapi seakan aku sudah lupa bagaimana caranya untuk senyum. Aku pegang erat tangan Ummi. Aku rapatkan tubuh. Seakan aku tidak mahu sesaat pun berjauhan dengan Ummi.
 
Sepanjang perjalanan pulang, aku banyak berdiam diri. Tapi aku berjaya berlakon seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku. Kalau berbicara pun aku pilih topik yang tidak berkaitan langsung dengan hal tadi.
 
Aku tahu, sebagai hamba aku wajib redha dengan ketentuanNya. Tapi sebagai manusia, memang fitrah aku akan bersedih.
 
"Ummi kesian kat Syakirah lah nanti. Takpe, dia dah besar kan?"
 
Air mata hampir jatuh tapi mesti ditahan.
 
"Ayah lagilah, dah hidup dengan Ummi 30 tahun lebih dah."
 
Suara Ayah serak menahan sebak.
 
Kami bukan menangis kerana mempersoalkan takdir. Tangisan ini kerana fitrah kami hanya manusia.
 
Kanser Thymoma Ummi memang sudah di tahap 4. Hasil rawatan chemotheraphy hanya mampu mengecilkan tumornya sahaja. Kerana bimbang cancer cell itu kembali aktif, doktor mengesyorkan supaya dibuang.

Aku tahu, mati itu pasti, hidup itu ditangan Allah. Tapi aku mohon hadirkan kematian itu di saat kami benar-benar mampu menghadapinya. 

Pembedahan Ummi dijadualkan pada 27 Ogos ini. Memang cepat. Tak sampai dua minggu pun. 

Sejak hari Khamis lepas, pulang dari PPUM itu aku tahan air mata ini. Cuma sekali aku menitiskan air mata, itu pun di bilir air. Aku cuba sedayanya untuk tidak menunjukkan lemah di hadapan Ummi. Aku mahu Ummi terus kuat dengan semangat anak-anaknya.

Tadi semasa bersalaman dengan Ummi dan Ayah sebelum pulang ke Kuala Lumpur, Ummi Ayah berpesan doakan Ummi. Ayah sebak, mengalir air mata. aku cuma menahan rasa itu. Hilang sahaja Ummi dan Ayah dari pandangan, air mata mengalir selajunya ketika aku sendirian dalam kereta. Biarlah apa orang luar nak kata. aku dah tahan air mata ni lama, tahu?

Doa aku sentiasa buat Ummi dan Ayah. Cinta kami sampai ke syurga. InsyaAllah.
 
 

"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);"

[Al-Mulk 67:2]
 
 
 
 

Saturday, February 9, 2013

Mars vs Venus 1.0

Bismillahirrahmanirrahim.

All praise to Allah for giving us chance to keep breathing. Peace be upon Rasulullah SAW. May Allah bless us, every second. Amin.

I was in CENSERVE office that Saturday when I suppose to be at the booth. Since too many people at the booth, I decided not to be there to fill the crowd. That will make me headache though.

I was discussing about ways improvising our club with Firdaus and Abang Yazid while suddenly Abang Hasan and Kak Muna wedding's topic came out. I said eventually, "Mesti Abang Hasan dah plan nak kawen dah lama kan? Baru kerja beberapa bulan mana cukup kumpul duit. Mesti dah kumpul duit dah lama."

Then I realized how men think about marriage when both Firdaus and Abang Yazid said, "Perempuan, mesti pikir pasal duit dulu."

I argued with them, of course money is important. Marriage needs lots of expenses. It's not just about being together, but also how to celebrate others who do pray for the bride and groom. I agree, we shouldn't spent too much on the wedding day, yet money still the issue in a marriage. Money spent for the dowry, feast and also money for future life ahead.


Hey, do you still saying that money isn't important?

InsyaAllah I won't burden my future husband with our marriage. I will also be patient as long as Allah allows me to do so to wait for 'the one' to be fully prepared mentally and physically. How can I become a good wife for him if even the first step I've pushed him?

I'll wait, insyaAllah.

Last night when I had dinner with Ummi and Ayah at R&R RTC Perak on our way back home, I said, "Look Ummi, Ala macam budak-budak makan tumpah sampai kotor tudung." Then Ayah replied, "Memang budak-budak pon, anak bongsu kan.."

I smiled. On my mind at that time, for sure Ayah will hardly let me go to marry a guy since he really loves me a lot. They still treat me like a small child of theirs.

InsyaAllah the time will come. When everything is just perfect to be put together.

* smile :)

Friday, January 4, 2013

Bam Gamat


Bismillahirrahmanirrahim.

Aku mulakan dengan ucapan syukur kepada Rabbul ‘Alamin kerana rahmatNya masih memberi aku peluang untuk bernafas hingga ke saat ini. Alhamdulillah. Puji dan puja hanya layak bagiNya. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Two papers back-to-back on 2nd January made me fell sick till now. Alhamdulillah, mungkin kafarah dosa. On the exam day, I almost feel lost before I began my jihad. My body shivering at night and I didn't get enough sleep because of that. Woke up in the morning with heavy head and throat aching.

Alhamdulillah, the fever is gone now. But this morning as I woke up, my head felt really bad. Having migrain, on left side. Head, ear, cheek, mouth, almost everything on my left side affected.

Ummi keep calling asking about my health condition. Feel so loved having such a loving and caring mother like Ummi. Ummi said, "Sihat dah? Tekak macam mana? Pening tak lagi?"

 


"Demam tak dah. Pening sikit-sikit je lagi. Tekak jelah gatal lagi."

"Ummi rasa sebab bau klorin kot."

"Entah la. Macam tak je."

"Ada makan coklat tak? Deme ni kata migrain jangan makan coklat."

"Sape deme tu?"

"Cikgu sekolah Ummi. Haha"

"Haha."

"Haha. Cikgu sekolah Ummi memang dah kalah doktor. Ummi tak tahulah nak buat macam mane. Kamu stress kot. Jangan stress sangat lah."

"Hmm. Ni dok sapu bam gamat je ni. Kepala sapu, telinga sapu, pipi sapu."

"Minum air banyak-banyak. Ada ubat tak? Yang penting jangan stress-stress. Kalau rasa stress zikir. Istighfar selalu. Dapat pahala, insyaAllah Allah ampun dosa."

"Ok, ummi."

Subhanallah. Aku terharu dengan nasihat Ummi. Apa-apa pun kembali kepada Allah. Dia yang memberi sakit ni, Dia juga yang akan menyembuhkan.

Aku pandang bam gamat. Allah yang menyembuhkan, bukan bam ini.


"Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;"
[Asy-syu'araa' 26:80]



nota kaki: *deme = mereka

Saturday, July 21, 2012

Ramadhan 1433H

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, sampai juga ke Ramadhan tahun ini. Setiap tahun pasti azam dan doanya, "Semoga Ramadhan kali ini akan menjadikan kita hambaNya yang lebih bertaqwa. Amin."

Ramadhan pertama, dapat bersama Ummi Ayah. Ahad ini pulang semula ke UIA. Seronok dapat berpuasa di UIA. Feel dia lain. Cubalah.

Beberapa hari diluang di rumah ini, sempatlah aku menonton televisyen. Meriahlah dengan pelbagai rancangan semperna Ramadhan. Iya, 'cara' mereka.

Alhamdulillah, bulan Ramadhan begini, semua stesen televisyen berlumba-lumba menyiarkan rancangan-rancangan agama. Semoga usaha mereka dapat menambahkan amal ibadat kita. InsyaAllah.

Dalam pada itu juga, tak kurang pelbagai drama dan rancangan masakan disiarkan. Drama yang aku kurang pasti motif dan objektifnya. Rancangan masakan yang seolah-olah Ramadhan ini adalah pesta makanan. Entah. Pandangan aku cuma.

Selepas membaca novel Hlovate, 'Contengan Jalanan' beberapa ketika dulu, aku tersedar dan akui betapa definisi Ramadhan di Malaysia ini tersasar jauh sekali. Nah, lihat saja di kaca televisyen. Drama-drama kononnya semperna Ramadhan menjadi-jadi. Tetapi tak langsung kaitannya dalam menambahkan amal ibadat kita. Iklan-iklan pula lebih kepada untuk menyambut Hari Raya. Sedang Ramadhan yang lebih dinanti ini dipandang sepi.

Kalau baca surat khabar pula, tentu saja akan ada berita yang putus jari, putus tangan segala. Lihat iklan-iklan, banner-banner dan bunting-bunting Ramadhan, banyaknya mempromosikan buffet berbuka. Makan sampai tak ingat dunia. Harga buffet di hotel-hotel contohnya berpuluh-puluh ringgit sekepala. Untuk apa? Sedang bulan Ramadhan inilah kita digalakkan bersederhana dan bersedekah. Antara hikmah lain berpuasa ialah untuk sama merasakan saudara kita yang miskin yang tak punya duit untuk makan sekenyang kita.

Semakin usia meningkat ini, baru aku tersedar betapa aku sendiri telah dipesongkan dengan definisi Ramadhan oleh keadaan di Malaysia ini. Baru malam pertama terawikh aku sudah terdengar bunyi mercun.

Mari, kita berlumba dalam amal ibadat pula. Bersedekah sebanyak-banyaknya. InsyaAllah, di bulan mulia ini segala pahala akan digandakan. Tapi jangan lupa, buat jahat juga balasannya berganda.

Aku bukan insan yang baik pun, nasihat ini lebih dekat untuk aku sendiri. Sama-sama berlumba mengejar rahmat Allah itu kan lebih manis dari bersendirian?

Ramadhan Kareem. Barakallahu fikum :) 


Wednesday, May 30, 2012

do not underestimate your enemy

Bismillahirrahmanirrahim.
 
Mulakan dengan puji dan puja untuk Allah, selawat dan salam buat Rasulullah.
 
Mengambil peluang untuk bernafas selepas four papers back-to-back. Two more to go. Dua paper terakhir ini bukan calang-calang. Require deep understanding and good memorization too!
 
Usaha, kemudian berdoa dan terus bertawakal. Itu kuncinya.
Mahu dijadikan cerita, ada satu hari itu aku tertidur selepas kepenatan menelaah Fluid Mechanics. Entah berapa lama tertidur dan sempat bermimpi. Mimpi mana yang tak merepek bukan? But there's a statement that I could still remember till now.

"Do not underestimate your enemy."

Quoted by a character in that dream, which I can't remember who. Just a short nap, and ridiculous dream too. Yet, I believe there's something good I can learn from that dream.

Kemudian terjaga dari tidur yang sekejap itu. Tapi masih teringat-ingat kata-kata tadi. Sambil sambung buat latihan dan revision, aku cuba mentafsir kata-kata tersebut.

Aku andaikan 'enemy' itu sebagai paper yang bakal aku jawab. From the statement of 'do not underestimate your enemy', which in other means, 'get prepared to face your enemy!' I consider, that dream has just remind me to get back on chair and do my revision.

Mungkin juga Allah mahu beri peringatan supaya terus berusaha, jangan sampai dikalahkan oleh kertas peperiksaan. 

Jika dianalogikan kertas peperiksaan dengan musuh. Apa yang kita akan lakukan jika tahu kita akan menghadapi peperangan dengan musuh kita? Tentu sahaja kita akan bersedia dari segala segi. Buat persediaan itu dan ini. Jadi begitulah yang seharusnya dilakukan untuk menghadapi peperiksaan. Persediaan fizikal dan mental perlu dilakukan. Dan tentu sekali persediaan dari sudut ilmu. Ilmu perlu mantap.

Ambil kisah peperangan tentera Islam dahulu. Bagaimana mereka bersedia untuk berjihad. Bukan sahaja mereka kuat pada zahir, tetapi rohani mereka juga kuat dengan cinta Allah. Mereka bersedia dengan kekuatan rohani dengan malam-malam mereka dihabiskan dengan mengadu cinta kepada Allah. 

Kak Kinah cerita hari itu, ada musuh Islam hairan kenapa tentera Islam ini sangat gagah pada siang harinya dan pada malam pula mereka melihat tentera Islam menangis-nangis ketika beribadat. 

Itulah sumber kekuatan Muslim sebenarnya. Tentera Islam dulu kuat kerana berpegang dengan Al-Quran. Mereka adalah selemah-lemah hamba di hadapan Allah tetapi segagah-gagah tentera di hadapan musuh. Subhanallah.

Sebab itu, sekarang ini musuh Islam tak perlu bersusah-susah mengalahkan kita dengan senjata kerana mereka tahu untuk mengalahkan umat Islam adalah dengan menjauhkan Muslim dari Al-Quran.

Jadi musim-musim imtihan begini, selain buat persediaan dengan menelaah buku, jangan lupa kukuhkan persediaan itu dengan kekuatan rohani. Rapatkan diri dengan Allah selalu. Allah tidak pernah mensia-siakan doa hambaNya. Percayalah.

Hari tu ada beritahu Ummi paper berturut-turut. Kata Ummi, "Takpe, dekat diri dengan Allah. Kalau kita dekat dengan Allah, insyaAllah Allah tolong kita."

Alhamdulillah, kata-kata Ummi kembali menyuntik semangat aku. Dan aku kuat kerana adanya Allah.

Allah tolong kita, percayalah.

*Senyum :)


Sunday, January 8, 2012

Penawar

Bismillahirrahmanirrahim.

"Ummi, susah.."

"Susah? Jangan fikir susah. Belajar dengan kawan. Dekat diri dengan Allah. Bukan senang nak senang, bukan susah nak susah ye. Apa exam yang tinggal lagi?"

"Thermo dengan organic."

"Ummi nak tolong pon tak tahu. Thermometer, thermo flask Ummi tahu la. Mana tahu Ummi sebut ni ade kaitan ke?"

"Hmm, ntah."

"Dhuha selalu buat tak? Ummi sentiasa doa, setiap saat. Jangan belajar terus-terus straight dua jam. Kejap-kejap rileks. Selalu doa, dekat diri dengan Allah."

Penawar bagi kegundahan sekarang. Tak cakap pun, Ummi sendiri tanya sebab Ummi detect suara aku macam orang susah hati. Doa Ummi yang selalu mengiringi aku, sebab itu aku takkan mengalah.

Doa seorang ibu tiada hijab antara Allah, bukan?

Subhanallah.


*air mata terus mengalir..