Demi Masa

Showing posts with label mujahadah. Show all posts
Showing posts with label mujahadah. Show all posts

Thursday, December 29, 2016

Syukur vs. Qanaah

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah. Berpeluang untuk menulis dan berkongsi lagi. Mudah-mudahan dikira di sisi Allah sebagai ibadah. Amin ya Rabb.

Alhamdulillah untuk segala yang telah ditakdirkan Ilahi. Thesis submitted. Cuma masih menunggu tarikh viva.

Dan alhamdulillah untuk kehidupan yang mendatang. Syukur Allah tetapkan pada waktu yang terbaik dengan segala yang terbaik yang mampu difikirkan. :)


A216
"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
[Al Baqarah 2:216]


Untuk rasa bersyukur setelah mendapat nikmat ternyata lebih mudah daripada merasa syukur dalam tiada. Itulah qanaah, kawan.

Melafaz alhamdulillah ketika disembuhkan dari sakit, atau dinaikkan pangkat, atau ditambah gaji, atau setelah siapkan thesis, atau bila diumum lulus ujian, atau mendapat kereta baru, atau akhirnya bertemu jodoh (oops!) atau pelbagai lagi nikmat yang kita terima sehari-hari adalah perkara biasa seorang hamba akan lakukan. Memuji Sang Pencipta kerana mengurnia nikmat yang selama ini dicita. Tidak ada yang menghairankan situasi begitu.

Walau masih ada segelintir yang berat untuk mengucap syukur. Difikir segala nikmat atas usaha sendiri bukan rahmat Yang Maha Esa. Na'uzubillah. Semoga kita terhindar dari berfikiran sedemikian.

Namun ada yang lebih ajaib dari itu. Apabila seseorang hamba mengucap syukur ketika tiada.

Ketika tiada wang untuk makan, dia bersyukur. Fikirnya Allah merencana dia supaya beroleh pahala dengan berpuasa.

Ketika dipecat, dia bersyukur. Fikirnya Allah mahu mentakdir pekerjaan yang lebih baik untuknya.

Ketika sakit, dia bersyukur. Fikirnya Allah mahu menghapus dosanya yang menggunung.

Ketika tidak sampai-sampai jodohnya, dia bersyukur. Fikirnya Allah mahu dia terus berbakti pada orang tuanya.

Subhanallah. 'Ajibtu. Aku sangat hairan bagaimana mereka dapat melakukannya.

Itulah kenapa qanaah itu lebih hebat dari sekadar syukur.

Qanaah merasa cukup walau kekurangan. Merasa cukup walau tidak mendapat. Dan merasa cukup kerana dia yakin Allah yang akan mencukupkan.

Masih jauh lagi diri ini nak sampai tahap itu. Untuk berterusan bersyukur pun masih bertatih kadang-kadang merangkak nak ikhlas dalam bersyukur. Allahu.

Kenapa aku terfikirkan soal syukur dan qanaah tengah-tengah malam begini?

Sebab aku takjub cara Allah melatih aku untuk jadi seorang yang bersyukur, dan merasa cukup.

Satu persatu hikmah yang Allah berikan. Perit awalnya. Tapi lama-lama makin serasi setiap satunya.


"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."
[Ali Imran 3:14]


Biasalah fitrah manusia yang mahukan kemewahan, kemahsyuran, kemuliaan dan pelbagai lagi. Tapi menariknya Allah tak beri apa yang kita mahu sebaliknya Allah beri apa yang kita perlu.

Beberapa minggu ini aku sibuk ke sana ke mari menguruskan beberapa urusan penting. Melalui beberapa kawasan banglo mewah. Allahu rabbi, betapa terdetik keinginan untuk memiliki kediaman mewah seperti itu. Tapi cara Allah didik jiwa ini terlalu berhikmah. Subhanallah.

Allah takdirkan begini dan begini supaya nanti aku terlatih hidup lebih sederhana bukan seperti sekarang. Jika sebelum ini hampir apa yang aku inginkan semua senang didapat. Sekarang sejak duit simpanan tak bertambah-tambah nilainya (baca: tidak bekerja) aku jadi lebih berhati-hati untuk memasang impian. Perlu lebih difikir apa yang perlu, apa yang sekadar cuma mahu.

Terus aku bisikkan pada hati doa yang dibisik Asiah saat-saat terakhir dalam hidupnya. "Ya Tuhan, binakan untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga."

A011
Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim"

[At-Tahrim 66:11]

Perlahan-perlahan hati terlatih untuk bersabar menanti kediaman yang jauh lebih indah di syurga nanti. Kuncinya sabar dan syukur dahulu. Rasa cukup dengan apa yang kita ada sekarang. 


A007 
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".

[Ibrahim 14:7]



Kalau diturutkan hati yang terikat nafsu, segala kemewahan dunia mahu dimiliki. Mahu kereta mewah, mahu rumah besar, mahu kehidupan serba serbi melimpah. Tapi apakah kita kan puas? Tidak. Nafsu tidak pernah merasa cukup. Sentiasa mahu dan mahu lagi.

Kalau kita tidak boleh merasa cukup dengan yang sedikit, mampukah untuk kita bersyukur dengan yang banyak? 

Tak perlu dijawab. Renung dalam diri. Refleks semula. Syukur tak akan kita perolehi andai tak pernah merasa cukup. 

Syukur dulu, nanti Allah tambah. :) 

Sunday, November 15, 2015

Pesan Ummi

Bismillahirrahmanirrahim.

UIA sekarang masih demam konvo. Tak mampu nak buat ucapan panjang-panjang, cuma sekalung tahniah kepada semua graduan! Selamat berbakti kepada masyarakat.

I know the feeling. Setelah bertungkus-lumus selama empat tahun, dan ada diantara mereka yang lebih dari itu, peluang untuk memegang segulung ijazah adalah sesuatu yang sebelumnya seperti mimpi. 

Aku sendiri pernah beberapa kali hampir berputus asa dan menganggap untuk menghabiskan empat tahun dalam engineering school seperti mustahil. Alhamdulillah, I've made it!




InsyaAllah, next year konvo untuk master pulak. Sangat berharap dapat siapkan experiment dan thesis secepat mungkin. Allahuma amin.

Ada satu perihal. Mulanya begini, tahun lepas selesai majlis konvokesyen aku menempah plak skroll daripada syarikat fotografer rasmi majlis tersebut. Tunggu dan tunggu. Gambar berseorangan dan gambar keluarga telah diterima beberapa bulan selepas majlis. Namun plak yang ditempah masih juga tiada berita. Sampai saat ini.

Jadinya semalam aku ke CAC, berharap UIA masih menggunakan perkhidmatan mereka tahun ini jadi boleh aku tanyakan mengenai hak aku. Tapi rupanya tahun ini bukan lagi photographer yang sama.

Aku telefon Ummi beritahukan semua. Kata aku, "Ala taknak halalkan sampai hari kiamat duit tu. Bukannya murah."

Jawapan Ummi buatkan aku terdiam dan berfikir, "Halalkan jelah. Kesian nanti kat dia nak kena cari kita kat Padang Masyar nanti. Bukan senang."

Aku masih berhujah, "Tapi bukan murah. Suka hati je dia ambik duit orang."

Ummi masih tenang, "Jangan macam tu. Halalkan je. Nanti kita cari kedai lain tempah yang baru."

Allahu. Aku berperang sendiri dalam hati. Bagaimana untuk ikhlas memaafkan? Nampaknya masih banyak titik-titik hitam dalam hati ini. Entah kenapa aku perlu bermujahadah untuk melakukan kebaikan?

Astaghfirullah.

Tuhan, ajarkan aku untuk ikhlas.

Saat ini hati masih bermujahadah. Nafsu tegar untuk membiarkan pihak terlibat menderita di Padang Masyar. Iman cuma memujuk. Allahu, payahnya!

Kata hati, "Kalau kedai itu tidak sengaja, aku sedia memaafkan. Tapi kalau dia memang berniat untuk menipu, biarlah dibalas setimpal."

Masih. Terlalu sukarkah untuk ikhlas dalam memaafkan wahai diri?

Ya Rahmaan, aku mohon kasih sayangMu.

Wednesday, August 26, 2015

The Unknown

Bismillahirrahmanirrahim.



Antara jodoh dan ajal kita tak pernah tahu mana yang menjemput dulu. Tapi antara jodoh dan ajal, kita tahu mana yang pasti akan hadir. Meski tanpa dijemput.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sebenarnya maut yang kamu melarikan diri daripadanya itu, tetaplah ia akan menemui kamu; kemudian kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib dan yang nyata, lalu Ia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah lakukan (serta membalasnya)".

[Al-Jumu'ah 62:8]

Anak muda sekarang terlampau dimomokkan dengan kisah-kisah nikah muda, bercinta selepas nikah dan sebagainya. Tidak ada salah langsung padanya. Tapi yang silapnya bila ditanam pada pemikiran anak muda itu hanya keindahan dan seolah-olah itu sebagai matlamat.

Semua orang ada fitrah berpasangan. Termasuk diri yang menulis ini. Tipulah andai aku katakan tidak terfikir langsung soal itu.

Cumanya, itu bukan prioriti utama ketika ini.

Fokus dahulu pada tangga yang pertama sebelum naik tangga kedua. Tapak wajib kukuh sebelum dibina rumah dan tangga.

Usaha kita untuk naik ke tangga kedua itu mungkin berbeza-beza. Tapi matlamatnya perlu sama, iaitu mardhatillah.

Jujurnya aku penat bila berada bersama golongan yang asyik disibukkan soal pernikahan ini. Bukan aku berputus asa perihal jodoh yang tak sampai-sampai, tetapi yang menjadi masalahnya golongan ini terlampau asyik memikir hingga terlupa berusaha. 



Tanya dulu pada diri, bagaimana hubungan aku dengan Allah? Bagaimana cinta aku pada Rasulullah? Bagaimana akhlak aku dengan ibu bapa? Dengan ahli keluarga yang lain? Dengan kawan-kawan? Dengan masyarakat? And the list goes on..

Kalau kita sibuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah, memperkukuh rasa cinta pada Rasulullah, mencantikkan akhlak kepada ibu bapa serta masyarakat sekeliling, insyaAllah kita tak punya masa untuk berangan-angan pasal jodoh. Jodoh itu sendiri akan hadir tanpa kita sedar.

Waktu yang tepat, orang yang tepat. InsyaAllah.

Lagi pula, sedang kita sibuk memperbaiki diri, kita juga sebenarnya sedang mempersiap diri untuk menghadapi mati. Bukankah kita mahu menjadi sebaik-baik hamba ketika ajal menjemput kita menemui Ilahi? 

Tak usah kecewa andai jodoh yang diharap tak kunjung tiba. Ingat kembali apa tujuanmu untuk membina baitul muslim? Bukankah semata-mata untuk mendekatkan diri pada Pencipta?

Kalau Allah tidak mengizinkan kita mendekatkan diri denganNya melalui pernikahan, insyaAllah Dia akan menyediakan jalan lain. Kita semua tahu bukan pernikahan semata-mata satu jalan untuk mendekat dengan Tuhan. Terlampau banyak wasilah yang disediakan Allah, kenapa kita hanya fokus pada yang satu?

Aku langsung tidak menafikan keperluan pernikahan dan fitrah berpasangan. Bukankah Rasulullah SAW pernah bersabda, "Siapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan dari kalanganku."

Na'uzubillahi min zalik. Aku mahu tetap dikenali baginda sebagai ummat.

Mari kita semak persediaan kita menghadapi mati. Andai kata ini hari terakhir kita, sudahkah kita menempah sebuah mahligai di syurga kelak? Sudahkah kita berusaha menjadi sebaik-baik hamba? Sudahkah kita menunaikan segala amanah dan janji? Sudahkah kita melangsaikan semua hutang? Sudahkah itu? Sudahkah ini?

Kita sendiri tahu apa yang kita belum selesaikan. Tapi jujurnya kita sering merasa kita masih punya masa. Allahu. Bagaimana kalau masa yang diperuntuk tidak ada lagi untuk kita? Apa jawapan kita di akhirat kelak kalau ditanya Allah, segala masa yang diberi apa kita perbuat?

Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh. Dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:" Ini adalah dari (sesuatu nahas) yang ada padamu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah". Maka apakah yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?

[An-Nisaa' 4:78]

Allahu. Allahu. 

Aku tak punya jawapan membela untuk itu. Sungguh, sudah banyak kali lalai dan leka. Dan sering kali ulang dosa yang sama.

Kita tak tahu bila ajal kita tiba. Kita tak akan pernah tahu bila masa kita berakhir. Tapi yang kita mampu adalah berusaha untuk menjadi lebih baik dari hari-hari semalam. Berusaha untuk mendekat dengan Allah. Meski semalam kita sendiri yang mencipta jarak. Allah, Dia tak pernah tinggalkan kita. 

Kembali, selagi jasad belum ditelan bumi.


Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.

[Al-Munaafiquun 63:11]

Tuesday, June 30, 2015

La'al lakum tattaqun.

Bismillahirrahmanirrahim.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.



credit


Ramadhan kareem! Allahu akram.

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.
[Al-Baqarah 2:183]

Ayat 183 dari surah Al-Baqarah ini pasti akan kita dengar sepanjang Ramadhan ini. Maksudnya jelas, supaya Ramadhan menjadikan kita makin bertaqwa.

Tapi apa makna sebenar taqwa? Bagaimana pula kita sendiri mendefinisikan taqwa itu?

Ubay bin Ka'ab ketika menjawab soalan Saidina Umar Al-Khattab, taqwa itu dianalogikan umpama kita berjalan di atas jalan berduri. Pastinya kita akan berhati-hati dan cermat melalui jalan tersebut. Duri-duri itu pula boleh diibaratkan seperti kemurkaan Allah, pasti tidak sedikit pun kita mahu terkena duri itu.

Untuk mencapai taqwa itu bukanlah mudah. Ia memerlukan mujahadah yang berterusan.

Di mana silap ramadhan kita, sehingga di akhir ramadhan pun kita masih di tahap yang sama?

Puasa itu memberi peluang kepada kita untuk merasai bagaimana kesusahan fakir miskin yang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Rasanya kalau siang hari berlapar dan dahaga, kemudian petangnya ifthar di hotel-hotel atau restoran-restoran mewah bimbang roh ramadhan itu hilang. Pembaziran masih berlaku, malah berlebihan pula.

Sudah pun menghampiri separuh ramadhan. Jadi tanyakan pada diri, bagaimana cara kita menghidupkan roh ramadhan itu? Adakah di separuh masa kedua ini roh itu semakin luntur atau semakin bersemangat?

Waktu terasa begitu pantas berlalu. Tak sanggup rasanya berpisah dengan Ramadhan kali ini. Banyak kali merenung adakah masih berpeluang untuk bertemu Ramadhan akan datang? Kalau benar ini yang terakhir, adakah diri ini sudah memberi yang terbaik?

La hawla wala quwwata illa billah.

Jom sama-sama perbaiki diri! Moga-moga kesempatan nafas yang masih diberi ini kita dapat lakukan yang terbaik.

Allahuma taqabbal minna, wa siyammana, wa qiyammana.
Ya Allah terimalah amal kami, dan puasa kami serta ibadat malam kami.

Allahuma ja'alna minal maqbulin.
Ya Allah jadikan kami hambaMu yang diterima amalannya.

Allahuma amin, Ya Rabbal 'alamin. 

Saturday, November 1, 2014

Ujian.

Allahu.
 
Terlampau banyak kerja perlu dilaksanakan buat aku rasa berdosa untuk tulis blog. Sungguh.
 
Allahu.
 
Bila syaitan gagal menggoda hati Muslimah itu untuk tunduk pada godaan lelaki-lelaki berwajah tampan, dia mencuba pula dengan cara jatuh suka pada peribadi jejaka beriman. Allah..lagi kuat godaan itu. 
 
 
kredit
 
 
Hati mana yang tak tertarik pada ikhwah muka suci dengan air wudhu', janggut sejemput, mata redup menunduk, bibir selalu menutur kata-kata penuh hikmah. Ya Allah.
 
Kena selalu ingatkan diri, syaitan sentiasa licik untuk menipu anak Adam. Ingat!
 
Lupa. Lupaa. Lupaaaakan.
 
 
Sumber: google
 
 
"Yusuf berkata: 'Wahai Tuhanku, penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka kepadaku. Dan jika tidak Engkau hindarkan dari padaku tipu daya mereka, tentu aku akan cenderung untuk (memenuhi keinginan mereka) dan tentulah aku termasuk orang-orang yang bodoh.'"
[Yusuf 12:33]
 
p/s: eh, ini cerita umum.