Demi Masa

Thursday, September 4, 2014

Tabarruj vs. Selekeh

Bismillahirrahmanirrahim.

Sumber: google

"Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas."
[Al-A'raaf 7:31]

Alhamdulillah Allah beri kesempatan untuk menulis setelah sekian lama disibukkan dengan urusan dunia yang tak pernah selesai. Doakan diri ini istiqamah dalam menyampaikan kebaikan dan sentiasa diluruskan niat.
  
”Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan. Sifat sombong meleyapkan kebenaran dan merupakan kehinaan kepada manusia”
(Riwayat Imam Muslim)

Hadith di atas menguatkan lagi hujah bahawa Islam itu tidak melarang kita untuk berhias mahu pun berfesyen. Cuma, ada batas dan garis panduannya.

Bagi golongan ekstrimis, wanita yang berfesyen sering dilabelkan sebagai tabarruj iaitu melampau-lampau dalam berhias. Lalu mereka memilih untuk memakai sekadarnya. Biar kelihatan zuhud dan langsung tidak menghiraukan dunia.

Kemudian dek kerana sifat golongan eksrimis (baca: syadid) ini, muncul pula golongan yang memberontak berpegang pada fahaman sekularisme. Golongan kedua ini pula memperjuangkan hak wanita untuk bebas mempamerkan kecantikan mereka dan menuduh Islam memenjara fitrah wanita dengan hijab.

Bagi saya, kedua-dua golongan ini menjadi fitnah kepada agama Islam itu sendiri. Islam itu mudah dan meraikan fitrah ummatnya. Islam wujud untuk menjaga dan membela, bukan untuk memenjara.

Tetapi arus kemodenan zaman telah mengubah definisi sebenar hijab. Semakin berleluasa 'fesyen muslimah' yang sebenarnya tidak menepati langsung konsep muslimah itu.

Allah menerangkan secara detail perihal aurat muslimah dalam Al-Quran surah An-Nur ayat 31 yang berbunyi:


Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
[An-Nur 24:31]

Ada dua perkara yang Allah betul-betul menerangkan secara detail di dalam Al-Quran iaitu yang pertama bab aurat dan pergaulan manakala yang kedua bab harta pusaka. Allah sudah tahu sifat manusia yang suka berbantah-bantah lalu Allah meletakkan garis panduan yang khusus supaya manusia tidak berbalah.


Jangan diperlihatkan perhiasan tubuh mereka (kecuali yang zahir).

Menutup belahan leher bajunya.

Jangan menghentakkan kaki untuk mengetahui apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.

Garis panduan yang Allah bagi jelas. Islam tidak langsung melarang seorang wanita itu untuk kelihatan cantik, namun batasnya perlu dijaga. Ada yang kadang-kadang syarat lain ditepati tapi ketat sehingga hilang fungsi berpakaian.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.
[Al-A'raaf 7:32]

Antara adab dalam berpakaian ialah:
  1. Memastikan pakaian tersebut menutup aurat.
  2. Tidak memakai pakaian ketat atau nipis sehingga menampakkan bentuk tubuh badan si pemakai secara jelas.
  3. Tidak memakai pakaian atau aksesori yang menyerupai ciri-cirri budaya orang bukan Islam.
  4. Tidak memakai fesyen yang bertentangan dengan jantina si pemakai.
  5. Mengelakkan daripada memakai fesyen-fesyen yang keterlaluan daripada adat kebiasaan masyarakat setempat.

Credit


Ramai sebenarnya yang salah faham konsep hijab itu. Pada sangkaan mereka hijab hanyalah menutup kepala yakni tidak menampakkan rambut. Lalu muncullah satu persatu fesyen so-called hijab tapi sebenarnya turban, tudung lapis-lapis atas dada.

Para pereka fesyen pakaian muslimah sewajibnya mendefinisi semula maksud hijab itu supaya mereka tidak menambah dosa dan si pemakai pula tidak menempah dosa.

Hijab itu definisinya luas. Merangkumi banyak aspek, bukan sekadar pakaian sahaja. Hijab dari segi hatinya, hijab dari segi pergaulannya, hijab dari segi pertuturannya, hijab dari segi pandangannya dan banyak lagi.

Perlu diingatkan seorang muslimah itu sifatnya al-haya' (pemalu). Maknanya di sini, tak perlulah kita sebagai muslimah upload gambar dengan pelbagai gaya di laman sosial. Tiada salahnya berkongsi pengalaman atau sebagai kenangan, tapi biarlah kena dengan gayanya. Masakan setiap jam akan diupload satu keping gambar selfie? Ditambah pula dengan caption yang langsung tidak menyerlahkan sifat pemalu seorang wanita.

Lelaki itu pandangannya berbeza. Siapa sangka gambar pelbagai gaya itu mampu membuat jiwanya bergetar, meski pun si perempuan memakai tudung sempurna.

Sumber: facebook


Sering juga para niqabi tertipu dengan pujian manusia lantas niat asal pemakaian niqab itu tersasar 100 peratus. Sekali diupload gambar si muslimah indah tertutup wajah cantiknya, ditambah pula celak pada matanya, hati lelaki mana yang tidak terusik? Si niqabi makin terbuai dengan ratusan malah mungkin ribuan 'likes', komen para jejaka yang memuji keindahan ciptaan Tuhan. Semua itu menjadi pemangkin untuk dia terus mengupload gambar dirinya. Semakin dahaga pujian manusia. Lari langsung dari konsep asal berniqab.

Astaghfirullahal'azim. Nastaghfirullah.

Sebagai tambahan, pemilihan warna juga adalah penting dalam pemakaian seorang muslimah. Di sini bukan bermaksud hanya warna gelap sahaja yang dibenarkan. Kalau begitu pasti bosan, bukan? Cuma warna yang dipakai janganlah terlalu terang sehingga menarik perhatian ramai. Islam itu meraikan fitrah wanita. Allah tahu sifat wanita sukakan warna-warni, sukakan yang cantik-cantik. Tapi dalam segala hal pun, Islam menggalakkan kita mengambil yang sederhana.

"Khairul umuri ausatuha"

"Sebaik-baik perkara adalah yang pertengahan."

Jangankan kerana takut dilabel tabarruj, kita tak ambil peduli pemakaian kita. Mungkin disebab itu ramai yang menggelar para akhawat itu jumud, tak up-to-date. Realitinya, memang ada tanggapan begitu. Ada yang merasakan para muslimah yang syadid ini adalah gambaran wanita Islam yang sebenar. Seolah-olah Islam itu memang memenjara fitrah wanita. Sehinggakan kerana terlampau syadid mereka membiarkan pakaian mereka berbau hapak dek takutkan bau-bauan itu mampu membuat fitnah. Saudariku, mungkin sikap kamu yang begitu lebih membawa fitnah kepada Islam.

Saya di sini mahu menyeru saudari muslimat saya untuk sama-sama kita menjaga penampilan kita. Di samping dapat menjemput jodoh, yang lebih utama dicintai Allah dan RasulNya. 

Seronok kan?

Sumber: google


Alhamdulillah. ^_^

Rujukan:
  1. Al-Quran
  2. Al-Hadith
  3. Blog Ustazah Fatimah Syarha
  4. Blog Imam Muda Asyraf

No comments: