Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah Rabbil 'Alamin.
Monday, June 18, 2012
stop ruining our mind!
Saturday, May 5, 2012
Begini ceritanya..
Thursday, January 5, 2012
Priority Confusion
Alhamdulillah, masih mampu bernafas hingga ke saat ini. Alhamdulillah masih kekal dalam nikmat iman dan Islam. Syukur.
Paper seterusnya, Rabu hadapan, kemudian Jumaat. Jarak masa agak banyak tetapi dua-dua paper itu sangat mencabar, Thermodynamics dan Organic Chemistry. Alhamdulillah, Allah beri masa yang banyak untuk aku revise dua-dua subjek tersebut.
Sambil-sambil study, ambil tahu perkembangan semasa. Isu yang hangat di Malaysia sekarang tentulah berkaitan Amalina. Aku tahu agak terlewat juga.
Tadi ikuti penjelasan Amalina mengenai isu ini. Entahlah, menurut sudut pandang aku dia memang seorang yang berjaya. Berjaya dengan ilmu dunianya, tetapi akhirat dia agak terlupa. Kasihan jika mahu disalahkan ibunya, tetapi dia sendiri yang mengakui ibunya yang membelikan pakaian begitu untuknya.
Sedih, seorang ibu sanggup membiarkan anaknya menjadi bahan bakar di neraka kelak. Ibunya sopan bertudung. Tetapi, maaf jika dianggap kasar ayatku ini, padaku beliau tidak sayangkan anaknya. Sedih.
Kata Amalina, dia memang tidak bertudung sejak dahulu. Pakai tudung hanya ke sekolah sebab wajib. Ke majlis-majlis tertentu sebagai menghormati majlis. Katanya juga, "apabila raya atau bulan Ramadhan saya pakailah baju kurung semua."
Dia pakai tudung ke sekolah sebab wajib. Mungkin dia terlupa menutup aurat dalam Islam itu wajib. Tidak punya alasan untuk mendedahkan auratnya. Jika peraturan sekolah boleh diikut, mengapa tidak peraturan Allah? Dia berpakaian sopan ke majlis-majlis tertentu sebagai menghormati majlis. Mungkin sekali lagi dia terlupa dia sedang berpijak di bumi Allah. Tidakkah dia juga mahu menghormati bumi Allah ini? Lalu dia sewenangnya berpakaian sebegitu?
Atau ada bulan-bulan tertentu seperti Ramadhan dan Syawal sahaja perlu dihormati, berpakaian tutup-tutup semua?
Jujurnya, aku sedih. Sebab dia saudari muslimahku.
Atau Amalina mungkin terlupa bahawa ajal tidak pernah mengenal usia. Mungkin juga Allah mengambil nyawa di saat belum sempat menutup auratnya.
Dan mungkin juga Allah mengambil nyawaku dahulu, sedang aku hanya mampu membenci dengan hati. Iya, selemah-lemah iman.
Semoga aku sentiasa meletakkan Allah sebagai my first priority. Amin.
Friday, December 23, 2011
Perlukah?
Satu soalan, perlukah kalau ada masalah kita canang di facebook?
Biar satu dunia tahu. Biar semua dapat merasakan apa yang anda rasa. Begitukah? Singkatnya pemikiran anda..
Kalau salah faham antara beberapa pihak, memang perlu diletakkan status-status yang bakal menyentuh hati pihak yang lainkah?
Bila bergaduh sesama sahabat, memang perlu diulang-ulang kata yang menuju kepada sahabat yang satu lagikah?
Cara begini anda bermasyarakat? Cara begini anda bersahabat? Sungguh, kita yang perlu koreksi diri sebenarnya. Sudah difikirkan all the consequences? Well, think back guys!
Pertama, orang yang tidak terlibat secara tidak sengaja boleh mengetahui apa yang terjadi. Mungkin akan berlaku pula salah faham dari pihak luar yang tidak terlibat. Dan mungkin akan ada pihak yang dipandang serong. Adakah memang ini tujuan anda? Kalau ya, astagfirullah, muhasabah kembali. Penyelesaian masalah bukan dengan cara meningkatkan sokongan dan menambahkan bilangan yang membenci pihak yang lain. Fikirlah cara orang beriman, aku yakin semua tahu. Ya, itupun jika anda punya iman dalam hati. InsyaAllah, semua ada :)
Kedua, sahabat anda akan menjadi buruk namanya. Salah faham antara anda dan sahabat seharusnya hanya anda dan sahabat terbabit yang tahu. Jangan sampai ke pengetahuan pihak ketiga atau pihak keempat atau entah pihak ke berapa. Iya, itu jika anda benar-benar bersahabat, barulah anda mengerti peri pentingnya menjaga maruah sahabat anda. Atau saya yang tersalah, sebenarnya anda tidak mengerti makna sahabat itu?
Untuk minta pendapat dari pihak lain, ya, silakan. Tiada halangan untuk itu. Tetapi pastikan anda masih menjaga nama baik sahabat anda. Bukankah ada hadith yang menyebut,
"Tidak beriman seseorang itu jika dia tidak mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi diri dia sendiri."
Betulkan andai saya tersilap.
Cananglah di facebook. Andai dua akibat yang saya sebutkan tadi tidak berlaku pun, pasti pihak yang lain dan sahabat anda akan terasa hati. Pedih andainya laman sosial yang digunakan pihak yang satu tambah-tambah seorang sahabat meluahkan ketidaksenangan hatinya di laman sosial. Seolah-olah menjaja keburukan diri pihak atau sahabat tersebut.
Saya tidak tujukan kepada mana-mana pihak yang spesifik. Ingatan untuk diri saya juga. Tiba-tiba mahu mencoret sebab geram melihat status-status facebook yang seperti ini. Malulah sesama ummah bertelingkah. Sedihlah sesama sahabat saling bertikam lidah.
Bersatulah demi nama Islam, berukhuwahlah dengan nama Allah.
Allahu'alam bissawab.
Friday, December 2, 2011
Ironi
Alhamdulillah, baru selesai menunaikan tanggungjawab kepadaNya. Sebelumnya aku baru habis menjawab online quiz bagi ECON 1550. Open-book-test, harap maklum.
Teringat hari itu, Muakha 8 iaitu Sports Day. Semua pun kelihatan seronok. Semoga dalam seronok-seronok kita tidak sampai lupakan Allah lah ye?
Ketika aku duduk di satu sudut, Nurul menghampiri aku. Dia beramah mesra. Katanya pertama kali melihat aku, dia sangkakan aku Kelantanese. Kami sembang macam-macam. Dia memang senang dibawa berbual. Aku perlu belajar skill ini daripadanya.
"Syak, tahu? Kat tempat Nurul, budak-budak darjah enam dah macam-macam!"
"Astagfirullah."
Isu ini yang dibuka. Memandangkan kami mempunyai tanggungjawab membentuk sahsiah adik-adik, kami sangat memandang serius isu ini. Sedih, mendengarkan pelbagai situasi yang sebenarnya sudah berlaku. Iyalah, di zaman kami dahulu, biar pun lebih kurang sepuluh tahun sahaja sebelum, budak-budak sekolah rendah sangatlah naif. Kami dahulu mana pernah pegang handphone umur begitu. Main pun masih lagi teng-teng dan aci kejar.
Shida turut menghampiri kami yang sedang berbincang. Ceritanya pula apa yang dilihat baru-baru ini dalam UIA juga. Sangat memeranjatkan. Cukuplah, tidak perlu dihebahkan di sini.
Puncanya ialah media yang terlampau bersifat terbuka sekarang, sehingga melampau-lampau. Adegan peluk cium bukan lagi taraf kita, kini Malaysia juga mahu sehebat Hollywood kononnya. Entah kenapa, aku teramatlah hairan adakah adegan seperti itu layak dipertontonkan di khalayak ramai. Iya, kononnya akan diklasifikasikan sebagai 18SG, tetapi sejauh mana tapisan ini berkesan?
Ada satu hari dalam kelas Thermodynamics, Dr Ma'an baru bermukadimah berkaitan closed system. Dan isu yang baru ditonton di TV hari sebelumnya dia ulas. Mengenai filem itu. Komentarnya, "You can't teach others to do good things by showing bad things. As if, you're showing them the effect of those things. It doesn't make sense. And this doesn't mean that we're closed system that won't accept all that."
Dan aku berfikir dengan kenyataan Dr Ma'an tersebut. Memang betul. Logikkah kita mahu mengajar orang untuk tidak berzina dengan melakukan perbuatan tersebut dan kemudian menunjukkan kesan perbuatan itu? Itu gila namanya!
Sungguh, media sangat melampau sekarang. Sehingga aku jelik untuk menonton TV.
"Barat boleh, kenapa kita tidak?"
Allahuakbar, hendak disamakan pula budaya Barat dengan adat ketimuran kita? Berfikirlah, Allah kan sudah kurniakan akal.
Kini, heboh pula dengan filem Ombak Rindu. Persoalannya, memang perlukah adegan sebegitu ditayangkan? Kemudian banyak pula yang meminati ceritanya. Wake up guys! Cerita cinta banyak buat kita berkhayal sahaja.
Kemudian nanti, banyak tersiar di dada-dada akhbar anak luar nikah yang dicampak dibuang merata-rata. Salah siapa semua ini? Salah ibu bapa yang tidak mengawal anak-anak atau siapa? Salah kita semualah. Kenapa tidak dihalang segala anasir yang mampu merosakkan fikiran dan pegangan generasi muda ini. Adakah sudah terhantuk baru mahu terngadah?
Sibuk mahu mencari jalan menginsafkan para remaja yang sudah terlanjur. Malah seperti menyokong pula apabila ada disediakan tempat untuk membuang anak-anak luar nikah ini. Ironinya di peringkat akar umbi tidak dijaga. Ini satu usaha buang masa.
Sedih mendengar cerita-cerita Nurul. Sedih mengetahui keadaan ummah masa kini. Pokok pangkalnya, sedari kecil perlu diterapkan dengan nilai Islami dan diteguhkan akidah. Apabila mantap akarnya, insyaAllah pohon takkan tergugat biar dek angin ribut.
Nurul bangun. Aku melihat satu persatu wajah suci adik-adik mentee. Doaku semoga mereka yang bakal memimpin ummah suatu hari nanti.
Terdetik di hati, "Besar tanggungjawab aku. Mampukah?"
Wednesday, September 7, 2011
You are What You READ
Aku mulakan dengan menyebut asma' Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Segala puji dan puja hanya milikNya. Aku sentiasa mendamba redhaNya di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.
Alhamdulillah, masih berpeluang bernafas dalam iman dan Islam. Syukur.
Semoga aku sentiasa tergolong dalam hambaMu yang bersyukur. Amin.
Subhanallah. You are what you read. Sungguh, aku selalunya akan terikut-ikut apa yang aku sedang baca. Jika novel itu begini dan begini, aku mudah terikut wataknya yang begini dan begini. Sebab itu aku tidak suka baca buku atau novel yang merepek bagai. Aku mudah terikut. Na'uzubillah.
Tetapi satu kelemahanku, buku sejarah, sirah sangatlah lambat untuk aku habisi. My current book is "Aisyah Keanggunan Sejati". Sirah Ummul Mukminin. Asal aku baca mata jadi mengantuk. Teruk sungguh. Tetapi secara jujurnya sangat menarik cuma aku mudah mengantuk kerana aku membaca dengan berhati-hati dan cuba memahami satu persatu. Iyalah, sirah begini bukan boleh buat acuh tidak acuh.
Berselang dengan buku itu, ada dua novel telah dihabiskan. Adehh, novel boleh pula sampai dua dihabiskan? Memang cerita novel yang aku baca ada banyak khayalannya tetapi ambillah yang baik, bukan? Laksamana Sunan, memang gambaran pendekar sejati. Siapa yang tidak jatuh cinta jika begitu? hahA!
Kitab-kitab Ayah banyak sahaja di dalam rak buku itu. Pernah juga cuba menelaah. Tetapi akhirnya aku jadi pening sendiri. Ada satu jilid yang aku buka, Allahuakbar, kitab Mazhab Imam Syafie, banyak juga yang aku tidak tahu. Baru beberapa muka surat yang diselak, pelbagai perkara yang aku baru pelajari. Nampak sangat betapa ceteknya ilmu di dada.
Jadi, mari tambah ilmu tambah amal. Ilmu bukan sahaja boleh didapati melalui proses pembelajaran. Banyak medium lain lagi. Dan membaca salah satunya.
*Mengingatkan diri sendiri juga. Mujahidah, cepat habiskan membaca buku sirah itu! Sem baru nak bermula dah.
Sunday, September 4, 2011
Satira
Aku mulakan kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Aku mendamba redhaNya di setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.
Alhamdulillah bangun pagi dalam keadaan iman dan Islam. Asbahna 'ala fitratil Islam wa kalimatil ikhlas.
Ramadhan sudah berlalu. Tetapi aku ingin mengambil sedikit kesempatan bercerita mengenai sebulan aku bersamanya.
Sebelum itu, SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI. Maaf zahir dan batin. Taqabalallahu minna wa minkum.
Cerita satu:
Ada satu malam, rasa malas sangat nak pergi terawikh. Bukan sebeb apa, agak kelam kabut malam itu. Mandi pun belum. Pinggan mangkuk mahu dicuci lagi selepas makan berbuka. Ummi menegah, "Pergi mandi cepat-cepat!".
Alhamdulillah, sempat juga. Sampai di masjid, aku terlihat seorang mak cik tua yang selalu berada di satu sudut. Berjalan perlu berpahat dinding. Solat juga tidak mampu untuk berdiri tegap lagi. Muhasabah aku dengan diri aku sendiri. Tulang masih kuat. Urat belum bersimpul. Tapi kenapa boleh muncul rasa malas itu? Astagfirullah.
Cerita dua:
Dalam perjalanan ke masjid, terlihat satu van sebelum simpang ke masjid. Menjual durian. Adalah beberapa longgok. Balik terawikh, aku lihat masih di situ. Beberapa hari begitu juga keadaannya. Kulit sawo matang seperti Melayu. Harapnya Islam. Jadi bagaimana ya? Husnuzhon lebih baik. InsyaAllah.
Cerita tiga:
Seronok tengok anak-anak kecil mengikut ibu dan ayah ke masjid. Didikan awal begini yang akan melahirkan pemuda pemudi harapan agama. Yang kanak-kanak lelaki menyarung jubah dan berkopiah. Comel sungguh! Yang kanak-kanak perempuan aku tidak nampak ramai sangat. Mesti sejuk perut ibu mereka mengandungkan anak-anak ini. Wajah-wajah suci mereka menyejukkan mata sesiapa yang melihat. Boleh dikatakan setiap hari kanak-kanak ini memenuhkan masjid. Subhanallah. Cuba bandingkan kanak-kanak suci ini dengan orang dewasa yang sibuk dengan PERNIAGAAN DURIAN atau pun gerai burger mereka. Aku tidak berniat memburukkan sesiapa. Cuma bagi golongan ulul albab (golongan yang berakal), pasti tahu menilai yang baik dan buruk. Ambillah yang baik dari kedua-dua golongan manusia itu. Yang kurang baik jadikanlah sebagai pengajaran. InsyaAllah.
Cerita empat:
Jadi, bulan ramadhan memang bulan ibadat. Tetapi janganlah sampai menjadi hamba ramadhan. Pada bulan ini sahaja ibadat mahu mengalahkan malaikat. Habis ramadhan masjid kembali lengang. Rancangan-rancangan di televisyen bertukar rentak semula. Malam raya yang sepatutnya digemakan dengan takbir tetapi lagu raya yang lebih kuat bunyinya. Di mana silapnya ya?
Cerita lima:
Kalau di negara-negara Arab, kata Ayah, takbir raya mereka bersemangat. Tanda kemenangan. Sesiapa mendengar hati terus bergetar. Tetapi di Malaysia lain pula iramanya. Sayu. Memanglah sepatutnya kita sedih meninggalkan ramadhan, tetapi tidak bermakna menangisi aidilfitri. Hari kemenangan patut diraikan dengan rasa bersyukur. Seronok kerana berjaya mengalahkan nafsu.
Cerita enam:
Sibuk di bulan ramadhan berlumba-lumba mengira berapa juzu' Al-Quran telah dihabisi. Alhamdulillah. Tetapi jangan dilupa bulan-bulan lain juga ya? Al-Quran itu sewajibnya jadi pendamping kita sepanjang masa. Jadi, Al-Quran itu bukan sekadar dibaca, tetapi turut diamal. Cuba fahami ayat-ayatNya. Baca tafsir. Akhlak Rasulullah adalah Al-Quran. Tidak mahukah kita mencontohi baginda?
Cerita tujuh:
Ramadhan, digelar sebagai madrasah. Madrasah ataupun pusat didikan. Iya. suatu bulan untuk kita mendidik nafsu kita supaya apabila sudah sempurna terdidik, harapnya keluar dari madrasah ini kita berjaya melawan nafsu yang tidak pernah puas. Tetapi sedar atau tidak sedar, dalam ramadhan juga kita kadangkala alah kepada nafsu sendiri. Waktu berbuka macam-macam mahu ditelan. Membeli keperluan raya pula kadangkala berlebihan. Astagfirullah.
Cerita lapan:
Teringat ada seseorang bercerita kepadaku mengenai ramadhannya. Katanya, "Malam semalam malam ganjil kan? Aku dah buat tahajud. Takpelah malam ni aku tak buat."
Aduhai kawan, kamu mahu mengabdikan diri kepada Allah atau kepada lailatulqadar? Bukan kamu boleh tahu bila malam itu muncul. Itu rahsia Allah. Dan kita beribadat bukan kerana malam itu. Kita beribadat sesungguhnya kerana Allah ta'ala. Tajdid niat duhai hati. Istigfar. Allah itu Ar-Rahman Ar-Rahim. Dia tidak pernah sia-siakan pengabdian kita kepadaNya. Yakinlah.
Cerita sembilan:
Dahulu-dahulu terawikh di masjid mesti 20 rakaat. Waktu umur masih belum menginjak ke dua angka memang terasa payah. Ingat lagi, ada satu malam, habis sahaja lapan rakaat kebetulan pula ada kawan, terus pergi main. Kawan bawa tiup-tiup buih-buih sabun itu. Lagi seronok bila jadi buih besar. Kanak-kanak, itu sahaja sudah menggembirakan hati. Secara tidak sedar sudah membuat bising. Habis 20 rakaat memang kena marah dengan Ummi. Esoknya Ummi paksa duduk sebelahnya. Solat sampai habis 20 rakaat.
Sekarang kebanyakan masjid hanya buat lapan rakaat. Kemudian diisi dengan tazkirah. Aku lebih suka cara begini. Selain dapat menunaikan ibadat terawikh, dapat juga mengisi santapan rohani. Alhamdulillah. Tetapi masih ada masjid, "Kami tidak mahu tazkirah-tazkirah. Cara lama lebih baik!". Haih, entahlah.
Habis cerita.
Alhamdulillah, habis sebulan kita berpuasa. Doanya semoga puasa dan segala ibadat kita diterima Allah. Amin. Bulan syawal yang masih berbaki ini marilah kita qada'kan puasa yang tertinggal kemudian insyaAllah sambungkan pula dengan puasa enam. Besar pahalanya. InsyaAllah. Qada'kanlah secepat mungkin saudari dan saudaraku (jika anda pun ada yang tertinggal, Allahu'alam). Melambatkan sesuatu yang wajib hukumnya berdosa. Aku menasihati kalian kerana aku sayang. Kerana Allah.
Sekian, Allahu'alam bissawab.
Sunday, July 31, 2011
Ramadhan Kareem :)
Aku mulakan dengan asma' Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Segala puja dan puji hanya layak bagiNya. Mengharap redhaNya mengiringi setiap hembusan nafasku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.
Alhamdulillah masih diberi peluang untuk hidup dalam nikmat iman dan Islam. Semoga dipanjangkan umur untuk menemui Ramadhan yang insyaAllah bermula pada maghrib ini. Ya Allah, rindunya pada bulan mulia ini!
Malam ini bermulalah ibadat terawikh. Teringat lagi terawikh berjemaah di maktab dahulu. Rindunya pada alunan-alunan selawat di antara dua rakaat terawikh itu. Allah. Semoga aku masih sempat menikmati rasa syahdu itu. Amin.
Rindu juga menyambut ramadhan bersama-sama sahabat ketika di maktab. Berbuka bersama-sama. Bersahur dikejutkan oleh warden. Teringat suara nyaring Cikgu Halijah bersama Cik Pah End mengejutkan kami bersahur. Tidak lupa pada heiler (seriously, how to spell this thing?) yang kian menjadi 'lullaby' untuk kami.
Sahabat, walau di mana kalian berada, semoga ramadhan kali ini lebih baik daripada ramadhan yang sebelunnya. InsyaAllah. Aku doakan semoga segala amalan kita diterima dan mendapat tempat disisiNya. Amin.
Ramadhan di UIA lain pula suasananya, tetapi masih indah. Lainnya ialah makanan perlu dibeli sendiri, bukan lagi beratur di DS. Terawikh pula ikut kehendak sendiri, berjemaah atau bersendirian, tidak lagi warden memaksa untuk turun berjemaah di surau. Di CFS dahulu sempat jugalah merasai sekali berpuasa di sana. Kadang-kadang terawikh di musolla KC sahaja. Kadang-kadang di masjid. Apa yang aku suka di musolla KC ialah di antara empat rakaat akan ada tazkirah pendek dari brothers DQ.
Di main campus pula, baru sekali berpuasa di sana. Pernah beberapa kali pergi ke bazaar ramadhan bersama Akak. Itu kenangan yang sangat seronok. Terawikh pula selalunya di MPH Safiyyah sahaja. Ke masjid hanya apabila ada kawan untuk ke sana. Kedua-dua tempat seronok. Harapnya masih punya peluang untuk merasai ramadhan yang akan datang di UIA lagi. Amin.
Walau apapun, berpuasa di kampung halaman adalah terbaik. Dapat meluangkan masa bersama keluarga. Juga dapat mengikut ayah ke masjid-masjid di merata tempat.
Di mana pun tempat kita menyambut ramadhan, harapnya roh ramadhan itu tetap hidup. Bulan inilah kita mahu melipatgandakan amalan kita. Bulan ini jugalah kita mahu mendidik nafsu kita kerana syaitan tiada lagi untuk menggoda kita. Antara kita dan nafsu sahaja, sama ada kita berjaya mengawalnya dengan iman atau sebaliknya. Beramallah, seolah-olah ini adalah ramadhan yang terakhir buat kita semua.
Di kesempatan ini, saya mengucapkan ramadhan kareem kepada pembaca-pembaca yang sudi membaca blog yang serba kekurangan ini. Mohon maaf andai terdapat salah dan silap yang sengaja atau yang tidak disengajakan. Semoga kita berjaya di madrasah ramadhan ini dengan ijazah TAQWA. InsyaAllah, amin.
Allahu'alam bissawab.
*Senyum :)
Wednesday, July 27, 2011
Sharing is Caring :)
Aku kembali menukil kalam dengan menyebut asma' Allah. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Semoga redhaNya tidak pernah berhenti mengiringi aku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.
Alhamdulillah, atas segala nikmatMu yang tidak terhingga.
Sekadar mahu berkongsi satu artikel yang aku sendiri tidak pasti dari mana. Asyik membelek files dalam hard disk terjumpa ini. Jadinya, ini bukan hasil tulisanku. Cuma ingin berkongsi dan harapnya bermanfaat. InsyaAllah.
Adab-adab memberi nasihat
1. Meluruskan niat sebelum menasihati
Luruskan niat sebelum menasihati seseorang supaya tidak ada yang berasa disakiti. Ikhlas menasihati saudara semuslim semata-mata karena Allah. Seharusnya seorang yang ingin memberikan nasihat itu perlulah bersih dari segala bentuk niat yang terpesong kerana ia akan memberi kesan ke atas nasihat yang ingin diberikan.
Janganlah menasihati seseorang itu kerana ingin menunjukkan kitalah orang yang benar, tetapi tegurlah kerana ingin mengajak sahabat ke jalan yang benar.
2. Menjaga ukhuwah semasa menasihati.
Diusahakan supaya menasihati saudaranya dengan tidak diketahui orang lain. Sebahagian ulama berkata, “Barangsiapa yang menasihati seseorang dan hanya ada mereka berdua, maka itulah nasihat yang sebenarnya. Barangsiapa yang menasihati saudaranya di depan banyak orang, maka yang demikian itu mencela dan mencelakan orang yang dinasihati.” Islam mengajar umatnya supaya mempunyai akhlak yang tinggi. Dalam hal menasihati juga terdapat perkara ini. Ini menunjukkan bahawa Islam amat menjaga hati dan maruah orang yang dinasihati supaya tidak berlaku perpecahan kerana perkara nasihat.
3. Bersih hati semasa menasihati.
Menggunakan bahasa yang halus dan menegur hanya untuk perkara-perkara yang salah. Kadang-kadang kita sering menggunakan perkataan yang sangat teruk untuk meluahkan nasihat kita. Dalam ceramah-ceramah dan kuliah-kuliah yang berbentuk menasihati, kita lebih gemar menyatakan salah orang lain seolah-olah mereka yang melakukan perkara tersebut sangat jahat dan sudah tiada ruang untuk bertaubat. Seharusnya selaku seorang pendakwah, nasihat adalah senjata utama yang perlu digunakan sebaiknya.
4. Memikirkan cara yang terbaik untuk menasihati saudara.
Seboleh-bolehnya mengenali dulu saudara yang bakal kita nasihati itu. Nasihatilah mereka dengan kasih sayang dan jadilah sebahagian dari mereka, kerana dari situ kita akan tahu apa puncanya mereka begitu.
5. Memberi waktu dan kesempatan
Beri waktu dan kesempatan kepada saudara yang dinasihati untuk mengubah sifat buruk/ kesalahan yang dilakukannya. Manusia perlukan masa untuk berubah, jangan memaksa mereka untuk berubah mendadak, ia bukan dalam lingkungan tugas seorang pendakwah. Dalam berdakwah perlu akan sifat sabar dan berserah kepada Allah. Jadilah orang yang sentiasa mengharap pertolongan Allah dan jangan mudah putus asa di atas nasihat yang diberikan kerana itu mungkin ujian yang telah ditentukan oleh Allah untuk menguji kesabaran.
Ayuh semua sahabatku, kita renungkan kembali perkara yang telah kita lakukan selama ini, nasihat yang telah kita berikan kepada orang lain atau nasihat yang diperolehi daripada orang lain, adakah kita sudah melaksanakan amanah ini?
Jangan jadi golongan yang hanya tahu menasihati sedangkan mereka tidak sedia untuk dinasihati.
*Senyum :)
Tuesday, April 12, 2011
hmm..
Aku mulakan kalam dengan menyebut asma' Allah. Maha Pengasih dan Maha Penyayang Allah tiada bandingnya. Segala puji dan puja hanya layak bagiNya. Selawat dan salam turut disertakan untuk junjungan mulia Rasulullah SAW.
Alhamdulillah, masih punya peluang untuk menulis. Allah mengilhamkan idea untuk jari-jari ini rancak bergerak. Namun, kadangkala aku terfikir juga adakah apa yang aku selalu tulis ini atas dasar berpesan-pesan kepada kebenaran atau seringkali sahaja aku tersasar dengan hanya merungut apa yang tidak selesa di sekelilingku? Na'uzubillah..Mohon ditetapkan niat ini, lillahita'ala. InsyaAllah.
Aku gemar memerhati kehidupan ini, kemudian aku menganalisa sendiri di dalam hati. Konklusinya aku yang lukis sendiri. Iya, tentu sahaja apa yang aku simpulkan mengenai kehidupan ini berbeza dengan insan lain, atau ada sahaja yang sama. Cara kita melihat kehidupan berbeza. Itu yang aku selalu ingatkan diri sendiri supaya aku dapat melatih diri menerima cara orang lain. Walau selalu juga alah dengan ego diri.
Tetapi satu yang aku pasti, jika masing-masing menjadikan Al-Quran dan Sunnah itu sebagai panduan tentunya hati dan jiwa kita akan sama. InsyaAllah.
Sebelum aku semakin rancak menulis, biarlah aku jelaskan dahulu bahawa apa yang bakal ditulis ini adalah dari dimensi pandangan aku sahaja. Pasti sahaja ada yang tidak bersetuju. Dan aku katakan sekali lagi ini pandangan aku terhadap kehidupan dan cara kita melihat kehidupan ini berbeza.
Alhamdulillah, tahun 2011 ini aku bakal melangkah ke dekad kedua usiaku. Semakin matang aku harap. Dan semoga aku tidak leka bahawa semakin dekat aku dengan kematian.
"Ya Allah Ya Tuhanku, hidupkanlah aku selagi hidup itu baik untukku dan matikanlah aku jika mati itu lebih baik untukku. Amin."
Entahlah, ada juga perasaan hati ini untuk terus menjadi katak bawah tempurung yang tidak tahu apa-apa daripada menjadi seseorang yang tahu berlakunya kemungkaran di hadapan mata sendiri tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Itulah aku. Terlalu lemah imannya sehingga kemungkaran itu hanya mampu dibenci dengan hati sahaja. Teringat suatu malam ketika mendengar kuliah di IKIM.fm bahawa apabila seseorang anak Adam itu mahu membuat sesuatu kebaikan, syaitan akan datang dengan dua anak panah. Anak panah pertama ialah perasaan malu iaitu malu jika nanti digelar orang sebagai menunjuk-nunjuk dan sebagainya. Anak panah kedua ialah perasaan takut. Takut andainya ditinggal oleh teman-teman dek kerana kita mengajak kepada ma'ruf. Allahu'alam. Rasa-rasanya kedua-dua anak panah itu telah terkena padaku. Hmm..
Melihat rakan-rakan yang dahulunya sama-sama menjinjing buku-buku tebal menimba ilmu di zaman sekolah, sama-sama bersolat satu saf di surau dahulu, sama-sama mencorak pelangi hidup demi kehidupan yang hari ini dan akan datang, juga sepertinya sama-sama berjanji untuk bersama menggapai cinta Ilahi tetapi hari ini aku hanya melihat itu dalam kenangan atau aku yang tidak cuba memahami perubahan itu?
Dahulu, aku melihat dia seorang gadis ayu, solehah, pekerti seindah permata. Aku mengagumi dia-dia ini kerana teguh prinsip hidup tanpa terpengaruh dengan persekitaran. Namun siapa tahu, persekitaran selepas zaman sekolah itu lebih mencabar rupanya.
Hmm..Bukan niat untuk mengeluh, bukan juga untuk menyalahkan sesiapa kerana sebenarnya tanggungjawab itu dipikul bersama. Tanggungjawab amar ma'ruf nahi munkar.
Satu demi satu perkembangan sahabatku mengejutkan aku. Dari seorang selepas seorang aku melihat keadaan mereka berubah. Iya, atau mungkin sahaja aku yang kurang mengenali mereka sebelum ini. Entah, entah, entah.
"Ah, kau ni yang kolot sangat. Perkara camni dah normallah weh.."
"Weh, diorang tu bukan buat ape pun."
"Hmm.. aku no comment"
Baiklah, memang aku kolot. And I love the way I am. It's good to be that 'kolot' than dapat kemurkaan Allah, kan? Aku bukan mahu berlagak wara' etc, tetapi memang tanggungjawab utama kita adalah menjadi hamba Allah pun. Hendak atau tidak memang kita wajib patuh segala perintahNya. Sahabatku sayang, kembalilah kepada fitrahmu. Terus unggul menjadi wanita solehah, indah bebas dari fitnah.
Penat, jengkel, meluat aku melihat facebook. That's why I deleted my account at the first place. Jika dulu, ketika masih di zaman Myspace dan Friendster, aku sangatlah teruja mencari kawan baru di dunia maya ini. Entah siapa-siapa sahaja aku add, gambar pula seronok juga diupload supaya nanti ada orang nak komen, puji segala. Haih.. Keseronokan sementara semata.
Kemudian aku beralih kepada facebook dan memadam semua akaun myspace dan friendster. Selesai. Aku tekad, di facebook bukan medan untuk aku lagha, bukan juga tempat untuk menayang-nayang gambar. Iya, awal-awalnya berjaya. Kemudian orang ini tag gambar ini, orang itu tag gambar itu dan lama kelamaan koleksi gambar semakin banyak sampailah aku sendiri mengupload gambar-gambar bersama rakan-rakan. Hmm.. tak jadi jugak nih! Dan tidak lupa, facebook itu buat aku jadi lagha. Berkomunikasi dengan bukan mahram, buang masanya lagi. Haih.. lagi sekali takleh jadik! Delete! Delete!
Aku pernah lalui hidup yang entah apa-apa. Pernah merasa begitu, pernah merasai begini. Sungguh, kehidupan yang kalian rasa nikmat di dunia itu pernah aku lalui namun hakikatnya semua itu sementara. Keseronokan itu hanya membawa kita lebih jauh dari Allah. Dan tidak mungkin kita dapat hidup tenteram dan aman andai cinta Allah tidak ada dalam hati kita.
Hasbi rabbi jalallah, ma fi qalbi khairullah. Cukuplah hanya Allah bagiku, di dalam hatiku hanyalah Allah.
Wallahu'alam bissawab.
Monday, April 11, 2011
Kerana itu..
Aku kembali menukilkan kalam dengan asma' Allah. Mengharap redhaNya bersama di setiap hela nafasku. Segala puji dan puja hanya layak untukNya. Aku turutkan sama selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.
Malam sudah sepi, aku sendiri menatap skrin laptop di hadapanku. Dengan berbekalkan celcom broadband yang kelajuan tidak seberapa apabila aku tiba di Pasir Puteh ini, aku melayari ke sana ke sini di dunia maya.
Petang tadi, sambil menghadap laptop, sambil menjeling-jeling tv di hadapan. Entahlah, makin hari makin rasa sakit melihat inovasi budaya yang ditampilkan oleh media. Cuba kalian tafsir sendiri, antara dua rancangan, satu yang ke arah ukhrawi manakala yang satu lagi pastinya yang bertentangan, iaitu bermatlamatkan duniawi semata-mata. Iya, aku akui dahulu aku antara yang turut melekatkan mata di hadapan televisyen menonton rancangan sedemikian. Alhamdulillah, sekarang nafsu itu sudah tidak berminat lagi. Paling, paling, paling yang membuatkan hati aku sakit ketika melihat Idola Kecil. Astagfirullahal'azim..Rasa membengkak je hati menahan geram dan marah. Kecil-kecil sudah didedahkan dengan dunia seperti itu, instead of diasuh kanak-kanak tersebut mengenal Allah dan rasul. Suasana yang diterapkan sudah tentunya yang kita sedia maklum dunia artis-artis hari ini, entah ke mana nilai Islami dalam tingkahlaku. Pakaian, belum cerita lagi. Ya Allah, ya Allah, melentur buluh biar dari rebung. Kata pepatah orang dulu-dulu tujuannya beri petunjuk kepada kita generasi ini. Kanak-kanak ketika umur sedemikianlah perlu dididik jiwanya agar dekat dengan Allah dan rasul, bukan menjauhkan mereka dengan menerapkan cinta dunia!
Sejuk hati ini beberapa minggu lepas aku mendengar siaran adik-adikku peringkat akhir melalui IKIM.fm. Syukur,ada juga pihak yang mengambil inisiatif untuk membentuk da'i-da'i kecil yang bakal menjadi pemimpin dunia. Mendengar kepetahan, kelancaran dan penghayatan pidato yang mereka sampaikan sehingga boleh menitiskan air mata mahupun tersenyum sendiri. Begitu caranya mahu mendidik jiwa-jiwa anak kecil ini. Bacaan al-Quran adik-adik ini juga mantap, tambah pula kemerduan mereka melaungkan azan. Subhanallah.
Kalian, sila ambil waktu sejenak fikirkan pro dan kontra kedua-dua rancangan ini. Kedua-duanya rancangan realiti kanak-kanak, mahu mencungkil bakat objektifnya. Entahlah, cuma satu sahaja antara kedua-dua rancangan itu berjaya menempat di hati ini. Lagi satu, sakit!
Cukuplah pihak berkenaan, hentikan propaganda merosakkan anak melayu, kanak-kanak Islam khususnya. Biarlah kanak-kanak ini membesar dengan kesucian mereka dek tumbuh daripada tunas yang subur dan dibajai dengan nilai dan akhlak Islami. Jangan pesongkan fitrah kanak-kanak suci itu. Tolong.
Masih sakit lagi di hati. Jika dihambur semua takut diperdaya marah itu oleh syaitan pula. Na'uzubillah.
Cerita lain:
Semester dua di UIA, terlampau banyak yang ingin dikongsi tetapi bukan semua perasaan itu layak dihebahkan, bukan? Cukuplah sekadar aku katakan hati ini pernah tertarik dan tersuka, kemudian pernah kecewa dan sedih. Ah, soal hati, pasti semua maklum begitu normanya. Aku percaya jika bukan takdirNya pasti dengan apa cara sekalipun sesuatu itu tidak akan terjadi. Dan jika itu takdirNya, dengan mudah segalanya akan berlangsung. Aku yakin.
Dan sekarang, hati aku sudah berpunya! Dia.
Sabda Nabi: "Wanita yang solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan dan mentaati suaminya, maka masuklah dia ke syurga melalui mana-mana pintu yang disukainya."
[Riwayat Al-Bazzar]
Kerana itu aku tidak sabar untuk mendapat syurga dunia
*Senyum :)
aku setia menunggumu di sini, mujahidku..
Tuesday, December 21, 2010
Fardhu Kifayah
Dengan nama Allah, aku memulakan kalam. Mengharap redhaNya tiap waktu. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.
Hari ini buat medical check up. Tiada masalah serius, cuma perlu diberikan perhatian. Berdebar juga menunggu dipanggil masuk berjumpa doktor. Risau kalau-kalau apa yang dihidapi serius. Alhamdulillah, tiada apa-apa.
Geram. Doktor yang merawatku adalah lelaki. Dan pemeriksaan ini memerlukan sentuhan fizikal. Mahu menangis sahaja apabila disentuh oleh ajnabi begitu. Benar, ianya dibolehkan. Tetapi seharusnya disediakan doktor wanita untuk melakukan sentuhan fizikal, bukan?
Terasa maruahku tercemar begitu sahaja. Beritahu Ummi perkara ini, Ummi menenangkan dengan mengatakan bahawa hal ini terpaksa. Tetapi masih berbekas di dalam hati. Aduh, Universiti Islam Antarabangsa namanya, sepatutnya menitikberatkan fardhu kifayah begini. Islam itu tidaklah terlalu keras. Tetapi Islam sentiasa ada jalan penyelesaian.
Dalam hal perubatan, aku terbaca dalam Majalah Anis edisi bulan lepas tidak silap, diutarakan isu berbidankan doktor lelaki. Semua ibu mahu kehormatan mereka dijaga walaupun ketika melahirkan anak. Suami perlu tegas dalam hal ini dengan meminta pihak hospital menyediakan perkhidmatan doktor wanita bagi isteri mereka.
Aku tidak mahu kehormatan dan maruah yang aku jaga selama ini dicemari dengan hal yang boleh dielak sebegini. Ini negara Islam, pasti ada alternatif lain untuk itu. Bangkitlah!
Wanita itu ibarat mawar. Durinya tajam, bukan untuk didekati oleh sebarang kumbang. Hanya yang layak, dibenarkan menghisap madunya. Kerana kumbang berani itu ditentukan Ilahi untuknya.
Kami mahu maruah kami dipelihara. Siapa lagi penjaga kaum muslimat kalau bukan antum, wahai muslimin?
Wallahu 'alam bissawab..
Friday, November 26, 2010
hanya di tv?
Dengan asma' Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, aku memulakan kalam. Semoga redhaNya bersama setiap bait kalamku. Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.
Biasanya sebelum aku menulis kalam, aku akan menjenguk updates terbaru dari blog yang aku follow. Alhamdulillah, tadi sambil menjenguk terdapat juga pengisian ilmu. Syukur.
Sekarang ini siang-siang agak sibuk, jadinya malam sahaja aku berpeluang menulis blog. Itupun jika terdapat keluangan masa atau ada idea yang bercambah. Jika tidak, aku biarkan sahaja blog ini sepi.
Usai subuh berjemaah tadi, aku mengambil sedikit waktu membaca kalamullah. Alhamdulillah masih punya waktu untuk mentadabbur kitab suci itu. Harapnya, sehingga ke hujung nyawaku, Al-Quran sentiasa menjadi peneman. Amin.
Dapat mendengar azan subuh dilaungkan merupakan satu kepuasan buat diriku. Terasa tenang, nyaman. Maklumlah, awal pagi diri kita masih bersih dari dosa seharian, laungan azan pun terasa mudah meresap masuk ke qalbu. Indah. Aku suka rasa itu. Dan aku sentiasa menunggu setiap fajar untuk mendengar lagi laungan suci itu, andai umurku masih panjang untuk subuh esoknya.
Pagi tadi juga, bagi melawan rasa mengantuk dan tertidur selepas subuh, aku menyusuri dunia maya ini. Membaca beberapa blog yang sempat disinggah. Entahlah, seperti membuang masa juga ya?
Ditakdirkan di satu blog yang aku lewati, aku membaca dari satu post ke satu post. Aku terbaca ayat ini:
"Perempuan cantik, baik, tinggi pendidikan agamanya, memahami lelaki dan pandai memasak? Ok. Itu cuma wujud dalam drama-drama tv. Seriously"
Kemudian aku pun:
"heh??"
Hairanlah juga. Ok, biarkan. Aku teruskan membaca di post yang lain. Click, click, click. Sampai di satu post.
"Hurm, no wonderlah encik!"
Jikalau mahu berjumpa lembu, pergilah ke kandang lembu. Kalau ke kandang kambing tidak pasti akan berjumpa atau tidak.
Jikalau mahu melihat mawar pergilah ke taman bunga, kalau ke zoo negara belum tentu ada. Jika ada pun sebagai hiasan dan dilarang sama sekali didekati.
Memang, ini ayat sinis. Aku tidak hairan mengapa dia tidak pernah berjumpa dengan perempuan yang aku kira sempurna itu. Jawapannya mudah, dia tidak pernah ada di mana perempuan-perempuan sempurna itu berkumpul. Perempuan-perempuan mulia ini berkumpulnya di majlis-majlis ilmu. Ukhuwah mereka adalah usrah. Keindahan mereka terjaga indah. InsyaAllah jodoh perempuan sempurna ini adalah lelaki yang sempurna juga. Amin.
Jika saudara tadi selalu melepaskan diri dari kegiatan kerohanian, alasannya kerana dirinya tidak 'baik', sememangnya tidak perlu hairan mengapa dia mengatakan perempuan yang sempurna itu hanya di televisyen. Aku berani mengatakan mereka wujud kerana aku pernah bertemu dengan insan yang boleh dikatakan perempuan sempurna itu. Percayalah, mereka wujud.
Aku? Belum mencapai taraf itu. Jauh lagi. Masih terlalu banyak kekurangan yang perlu diperbetul dan dibaiki.
Lelaki yang baik adalah untuk perempuan yang baik. Begitu juga sebaliknya. Itu kata-kata Allah bukan?
Aku tidak berniat untuk merendahkan atau menjatuhkan maruah saudara tadi. Cuma aku mahu mengingatkan, diri sendiri dan semua yang membaca. Jadilah soleh/solehah dahulu barulah dambakan bakal pendamping hidup yang kita impikan.
Ini kisah lain pula.
Semasa sarapan tadi, terbukalah satu cerita, satu permasalahan sebenarnya. Seseorang mengadu kepada Ayah, anaknya sudah lama tidak pulang berjumpa dengan ibu bapanya. Apabila si bapa dan si ibu ke rumah anaknya, tidak dibukakan pula pintu, tidak dihiraukan mereka. Pendek cerita, kisah si Tenggang terjadi lagi.
Aku mendengar sedikit terkejut. Sungguh, aku tidak menyangka bahawa wujud juga manusia seperti itu. Jujur aku katakan bahawa aku hanya menganggap kisah si Tenggang itu hanya lakonan di televisyen. Ya Allah, aku minta dijauhkan dari sifat keji seperti itu.
Ummi dan Ayah berbincang. Aku dan Akak mendengar. Akak adakala mencelah. Aku seperti biasa hanya mendengar dan memerhati. Masih ingat ayat Ummi pagi tadi.
"Itulah yang risau tu, bagi anak belajar tinggi-tinggi. Bila sudah berpangkat besar, lupa mak bapak"
Uh, menusuk ke qalbu. Meresap dalam kepala otak. Ayah sambung dengan berpesan, kepada kedua kami.
"Kamu nanti esok jangan la. Lelaki ni, hubungan dengan mak bapak tak putus sampai bila-bila. Perempuan lain. Jangan buat kat suami macam tu"
Maksudnya jangan memutuskan hubungan suami kita dengan parents mereka. Urm, takut mendengar. Ya Allah, aku memohon sangat-sangat agar tidak tergolong dalam anak derhaka dan isteri yang derhaka. Amin.
Takut juga mahu berkahwin ni. Besar tanggungjawab sebagai isteri. Kena patuh taat kepada suami sahaja. Tiada lagi hubungan dengan ibu bapa.
Hurm, terdiam berfikir.
Wallahu'alam bissawab.
Tuesday, November 23, 2010
Suci
Biar aku mulakan kalam ini dengan menyebut asma' Allah Yang Maha Mulia. Subhanallah, alhamdulillah, allahuakbar. Segala puji dan puja hanya layak untukNya. Selawat dan salam untuk Rasulullah SAW.
Seperti yang pernah aku beritahu dalam blog ini. Sekolah rendahku dahulu berdekatan dengan rumah. Jadi, selalu sahaja aku akan melewati sekolah itu jika hendak ke mana-mana. Dan selalu juga akan mengimbau kembali kenangan ketika zaman suciku. (Eh, sekarang bukan tidak suci, cuma terlalu banyak dikotori dosa, haih~)
Zaman kanak-kanak, boleh dikatakan semua orang akan mengakui zaman itulah yang paling gembira. Tidak pernah berasa runsing untuk memikir masalah kerana semua bagi kanak-kanak adalah permainan. Senyum sentiasa sahaja terukir di bibir, kerana sucinya seorang kanak-kanak itu. Terlukis indah di wajah mereka.

Kita sekarang? Wajah suci berseri kerana iman sepertinya susah sekali ditemui. Ya, terlalu kotornya kita dengan dosa dan maksiat. Astagfirullahal'azim.
Aku rindu zaman suci itu. Aku rindu zaman kanak-kanakku.
Kerana kita hidup di era globalisasi, kerana itulah kita perlu mempunyai kehidupan yang global juga lagaknya. Huh! Global itu bermaksud baratkah kalian? Aku kecewa melihat saudara Islam sendiri. Kehidupan sosial kita terlalu banyak terpengaruh dengan barat. haih~
Astagfirullahal'azim, astagfirullahal'azim, astagfirullahal'azim..
Wahai Syakirah yang kanak-kanak dahulu, aku rindu kamu. Kamu masih suci ketika itu. Tidak terpalit dosa nafsu. Suci, aku rindu itu.
Terbaca tadi di salah satu blog yang aku follow, membuatkan aku terfikir sebentar. Pernah atau tidak terpacul di bibir anda ungkapan ini, paling tidak pun tergetus di hati anda.
"Eh, dah kapel dah dia?"
"Eh, dia dengan pasangan dia berpegangan tangan?!"
"Eh, ..."
"Eh, ..."
Dan bermacam 'eh' lagi. Kawan kita yang suci dahulu itu sudah hanyut dibuai cinta palsu manusia. Kawan kita yang suci dahulu sedang asyik melayan nafsu remaja. Atau mungkin juga ungkapan itu tertuju kepada kita? Na'uzubillahimin zalik.
Yang parah lagi apabila menghalalkan apa yang haram semata-mata untuk mengenetepikan rasa berdosa.
"Kami tak kapel. Kami kawan je, teman tapi mesra"
"Cop! Kami bukan berzina pun, pegang tangan je pun"
"Kami ini je, bukan itu pun"
Ya, bermacam lagi cara untuk mengelakkan rasa berdosa. Paling merisaukan ialah 'teman tapi mesra' itu. Hubungan inilah yang selalu dibutakan oleh syaitan laknatullah. Kononnya sekadar teman sekelas, teman satu kelab, teman itu dan teman ini. Perbualan mereka kononnya juga atas urusan tertentu. Persoalannya, syaitan itu pernah berputus asakah? Tidak sahabatku! Syaitan itu sifatnya teguh dengan matlamatnya iaitu menyesatkan bani Adam. Muamalat antara lelaki dan perempuan hanya dibenarkan ke atas beberapa perkara. Yang selebihnya itu, HARAM!

Aku tidaklah suci. Pernah juga aku tersalah tafsir makna muamalat itu. Selalu. Ah, nafsu..Mana pernah mahu kalah dengan iman. Diri aku yang kotor dengan dosa ini selalu terpukau dengan godaan syaitan. Tertipu dengan helah makhluk laknatullah itu. Merasa diri di atas landasan mardatillah, ironinya melayan nafsu semata-mata. Lemah sungguh iman diri.
Memang best kapel ni. Iyalah, ketika itu, dunia umpama milik berdua. Bintang-bintang sentiasa menemani rindu sang pencinta. Ada orang ambil berat pasal kita, kalau kita sedih, ada orang akan hiburkan kita, kalau kita takut, ada orang akan tenangkan kita, kalau kita seronok ada orang yang hendak kita kongsikan. Wah, seronoknya kapel! Kalau begitu, jomlah kita kapel! (Gila apa pula budak ni, ajak orang buat maksiat?)
Eh, tahu pula perkara ini maksiat ya? Tapi, tapi, tapi, bestlah kapel ni. "Kami bukan buat maksiat pun, kapel je pun." hahA! Lawak aku dengar. Tak buat maksiat ya? Kapel tu bukan maksiat pulak?
Fikirlah sendiri teman-temanku. Antum semua sudah besar panjang. Akal pun bujak-bijak belaka. InsyaAllah, semua tahu baca Al-Quran. Tahu juga tengok tafsir. Memang takde dalam Al-Quran cakap kapel ni haram , sebab itu korang tak rasa berdosa. Bijak, bijak. Boleh ceritakan apa yang ada dalam surah An-Nur ayat 30 dan 31?
Jawab sendiri.
Faham sendiri.
Kalau tak faham juga, rajin-rajinlah tanya pada ustaz atau ustazah. hurm~
Aku? Tidaklah sesuci yang kalian rasakan. Aku bercakap berdasarkan pengalaman yang tidak seberapa ini. Sekadar berkongsi iktibar apa yang patut. Aku rimas apabila malam-malam aku baru nak pejam mata, ada pula yang duduk 'bergayut' dengan 'buayafriend' dia tu. Tengah duduk-duduk rehat lepas balik kelas dengar pula yang menangis dekat tepi tangga bergaduh dengan 'buayafriend' merekalah, siapa lagi.
Penat telinga mendengar, penat mata melihat. Rimas, lemas. Menyampah. Huh! Ok, cukup.
Main point di sini? Aku mahu mengajak semua mencari yang halal. Tak best lah sorang-sorang je. Ramai-ramai kita berlumba menggapai redha dan cinta Ilahi barulah ada 'feel' sikit.
*Senyum :)
Memanglah kalau ikutkan hati, atau lebih tepatnya nafsu kita akan kata payah amat menjauhkan diri dari cinta manusia itu. Ayuh, sahabat! Mujahadahlah. Islam tidak menafikan fitrah manusia, cuma ada saluran yang betul untuk mendapatkannya.
NIKAH.
Bagaimana? Tidak mampu? Berpuasalah dahulu. InsyaAllah boleh. Kalau kita beriman kepada Allah, kita juga wajib beriman kepada janjiNya. Allah sudah sediakan pasangan yang selayaknya buat kita. Suatu masa yang ditentukan nanti pasti akan disatukan. Tidak kira apa yang berlaku sekali pun, jika dialah jodoh kita, pasti akan bersatu jua. Allah tidak pernah memungkiri janji. Jikalau bukan dia, tentunya yang lebih layak untuk kita. InsyaAllah lebih baik. (Peringatan untuk diri sendiri lebih lagi)
Mengapa aku tuliskan semua ini? Kerana aku mahu kita semua mencari semula yang suci. Suci itu bukan milik dahulu, tetapi sentiasa.
Aku pernah melalui zaman awal remaja yang melalaikan, terlalu lemah kepada nafsu. Ketika itu iman terlalu sedikit. Astagfirullahal'azim. Cukuplah tempoh itu cuma, aku tidak mahu mengulang kembali.
Tetapi aku tidaklah terlalu membenci zaman itu, kerana jika tiada aku yang dahulu tiadalah aku yang sekarang. Satu ayat yang aku selalu terapkan dalam diri ialah 'mistake happens is for us to learn from it and try our best not to repeat it'. Kita tidak akan belajar sesuatu jika kita tidak melakukan salah terlebih dahulu, aku yakin begitu.
Aku yang dahulu sudah aku jadikan kisah silam. Biarlah ia menjadi salah satu persinggahan dalam perjalanan hidupku. Aku, adalah aku yang hari ini. Aku hidup kerana Allah ta'ala untuk hari esok. Perjalanan hidupku masih banyak perhentiannya. Pasti, tidak semuanya indah. Tetapi aku yakin ada sesuatu yang boleh dipelajari darinya. InsyaAllah.
Wallahu'alam bissawab..
Saturday, October 23, 2010
Jangan hina tudung kami!
A'uzubillahiminassyaitanirrajim.
Aku mohon perlindungan dengan Allah dari syaitan yang direjam. Semoga perasaan marah ini tidak berlandaskan nafsu dan dicucuk syaitan semata-mata. Marah ini kerana iman dalam diri, insyaAllah.
Islamic Fashion Festival, huh?
Astagfirullahal'azim..Istigfar aku banyak kali. Menyirap darah ini tahu? Marah benar rasanya. Aduh, agenda siapa ini?
Kononnya Festival Fesyen Islam, tetapi, ironinya amat berbeza! Aku bimbang dengan hakikat dunia hari ini. Islam sudah dipermainkan. Tudung yang kami pakai sudah dibuang ke sampah!
Memang terbeliak la biji mata ikhwah kalau begini pakaian muslimah sekarang. Bagaimana pendeknya akal mereka ini sehingga boleh menggelarkan semua itu sebagai islamik? Jadi tudung yang kami pakai ini di mana tarafnya?
Gambar yang ini lagi menyirap darah dibuatnya. Nama kekasih Allah diperlakukan sebegitu. Astagfirullahal'azim. Boleh aku kata bodoh?! Ugh! Aku marah kerana iman dalam diriku memberontak. Aku tidak betah membiarkan iman ini terseksa.


Benar. Islam tidak pernah menyekat fesyen. Islam itu cantik, Islam itu indah dan yang penting, Islam itu fitrah. Islam memahami kehendak fitrah yang sentiasa inginkan yang cantik. Tetapi, beringatlah sikit, cantik itu definisinya bukannya mendedahkan segala aurat yang sewajibnya ditutup. Berfesyen itu tidak seperlunya mendedahkan. Aduhai pihak yang berkenaan, sedarlah bahawa azab Allah itu tidak terkira pedihnya. Api neraka itu tiada tara panasnya.
Jika kami muslimah tidak mengerti semua itu, tidak perlulah kami memakai tudung selabuh mungkin. Berpanas-panas dengan bahang matahari memakai pakaian tertutup dan berlapis-lapis. Tidak perlulah kami memilih pakaian yang tebal untuk menghalang cahaya membiaskan susuk tubuh kami. Memang panas begitu. Tetapi kami yakin, panas itu tiadalah apa jika dibandingkan dengan panasnya api neraka yang akan membakar setiap bahagian anggota yang kami biarkan tidak tertutup itu.
Jangan hina tudung kami! Tudung itu indahnya apabila tersarung di kepala seorang muslimah. Jangan perlekehkan ia sebegitu.
(Riwayat Muslim)
Ya Allah, hambaMu ini mengharap pengampunan dariMu. HambaMu ini takut dengan hakikat umat Islam ketika ini. HambaMu ini takut kepada azabMu. HambaMu ini memohon kekuatan dariMu semoga aku mampu menentang kemungkaran yang berleluasa di hadapanku. Ya Allah, dengan sesungguhnya, aku memohon kekuatan..Amin.




