Alhamdulillah. Berpeluang untuk menulis dan berkongsi lagi. Mudah-mudahan dikira di sisi Allah sebagai ibadah. Amin ya Rabb.
Alhamdulillah untuk segala yang telah ditakdirkan Ilahi. Thesis submitted. Cuma masih menunggu tarikh viva.
Dan alhamdulillah untuk kehidupan yang mendatang. Syukur Allah tetapkan pada waktu yang terbaik dengan segala yang terbaik yang mampu difikirkan. :)
"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya."
[Al Baqarah 2:216]
Untuk rasa bersyukur setelah mendapat nikmat ternyata lebih mudah daripada merasa syukur dalam tiada. Itulah qanaah, kawan.
Melafaz alhamdulillah ketika disembuhkan dari sakit, atau dinaikkan pangkat, atau ditambah gaji, atau setelah siapkan thesis, atau bila diumum lulus ujian, atau mendapat kereta baru, atau akhirnya bertemu jodoh (oops!) atau pelbagai lagi nikmat yang kita terima sehari-hari adalah perkara biasa seorang hamba akan lakukan. Memuji Sang Pencipta kerana mengurnia nikmat yang selama ini dicita. Tidak ada yang menghairankan situasi begitu.
Walau masih ada segelintir yang berat untuk mengucap syukur. Difikir segala nikmat atas usaha sendiri bukan rahmat Yang Maha Esa. Na'uzubillah. Semoga kita terhindar dari berfikiran sedemikian.
Namun ada yang lebih ajaib dari itu. Apabila seseorang hamba mengucap syukur ketika tiada.
Ketika tiada wang untuk makan, dia bersyukur. Fikirnya Allah merencana dia supaya beroleh pahala dengan berpuasa.
Ketika dipecat, dia bersyukur. Fikirnya Allah mahu mentakdir pekerjaan yang lebih baik untuknya.
Ketika sakit, dia bersyukur. Fikirnya Allah mahu menghapus dosanya yang menggunung.
Ketika tidak sampai-sampai jodohnya, dia bersyukur. Fikirnya Allah mahu dia terus berbakti pada orang tuanya.
Subhanallah. 'Ajibtu. Aku sangat hairan bagaimana mereka dapat melakukannya.
Itulah kenapa qanaah itu lebih hebat dari sekadar syukur.
Qanaah merasa cukup walau kekurangan. Merasa cukup walau tidak mendapat. Dan merasa cukup kerana dia yakin Allah yang akan mencukupkan.
Masih jauh lagi diri ini nak sampai tahap itu. Untuk berterusan bersyukur pun masih bertatih kadang-kadang merangkak nak ikhlas dalam bersyukur. Allahu.
Kenapa aku terfikirkan soal syukur dan qanaah tengah-tengah malam begini?
Sebab aku takjub cara Allah melatih aku untuk jadi seorang yang bersyukur, dan merasa cukup.
Satu persatu hikmah yang Allah berikan. Perit awalnya. Tapi lama-lama makin serasi setiap satunya.
"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)."
[Ali Imran 3:14]
Biasalah fitrah manusia yang mahukan kemewahan, kemahsyuran, kemuliaan dan pelbagai lagi. Tapi menariknya Allah tak beri apa yang kita mahu sebaliknya Allah beri apa yang kita perlu.
Beberapa minggu ini aku sibuk ke sana ke mari menguruskan beberapa urusan penting. Melalui beberapa kawasan banglo mewah. Allahu rabbi, betapa terdetik keinginan untuk memiliki kediaman mewah seperti itu. Tapi cara Allah didik jiwa ini terlalu berhikmah. Subhanallah.
Allah takdirkan begini dan begini supaya nanti aku terlatih hidup lebih sederhana bukan seperti sekarang. Jika sebelum ini hampir apa yang aku inginkan semua senang didapat. Sekarang sejak duit simpanan tak bertambah-tambah nilainya (baca: tidak bekerja) aku jadi lebih berhati-hati untuk memasang impian. Perlu lebih difikir apa yang perlu, apa yang sekadar cuma mahu.
Terus aku bisikkan pada hati doa yang dibisik Asiah saat-saat terakhir dalam hidupnya. "Ya Tuhan, binakan untukku sebuah rumah di sisiMu dalam syurga."
Dan Allah mengemukakan satu misal perbandingan (yang menyatakan tidak ada mudaratnya) kepada orang-orang mukmin (berhubung rapat dengan orang-orang kafir kalau tidak terjejas keadaan imannya), iaitu: perihal isteri Firaun, ketika ia berkata: "Wahai Tuhanku! Binalah untukku sebuah rumah di sisiMu dalam Syurga, dan selamatkanlah daku dari Firaun dan perbuatannya (yang kufur dan buas), serta selamatkanlah daku dari kaum yang zalim"
[At-Tahrim 66:11]
Perlahan-perlahan hati terlatih untuk bersabar menanti kediaman yang jauh lebih indah di syurga nanti. Kuncinya sabar dan syukur dahulu. Rasa cukup dengan apa yang kita ada sekarang.
Kalau diturutkan hati yang terikat nafsu, segala kemewahan dunia mahu dimiliki. Mahu kereta mewah, mahu rumah besar, mahu kehidupan serba serbi melimpah. Tapi apakah kita kan puas? Tidak. Nafsu tidak pernah merasa cukup. Sentiasa mahu dan mahu lagi.
Kalau kita tidak boleh merasa cukup dengan yang sedikit, mampukah untuk kita bersyukur dengan yang banyak?
Tak perlu dijawab. Renung dalam diri. Refleks semula. Syukur tak akan kita perolehi andai tak pernah merasa cukup.
Syukur dulu, nanti Allah tambah. :)
Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras".
[Ibrahim 14:7]
Kalau diturutkan hati yang terikat nafsu, segala kemewahan dunia mahu dimiliki. Mahu kereta mewah, mahu rumah besar, mahu kehidupan serba serbi melimpah. Tapi apakah kita kan puas? Tidak. Nafsu tidak pernah merasa cukup. Sentiasa mahu dan mahu lagi.
Kalau kita tidak boleh merasa cukup dengan yang sedikit, mampukah untuk kita bersyukur dengan yang banyak?
Tak perlu dijawab. Renung dalam diri. Refleks semula. Syukur tak akan kita perolehi andai tak pernah merasa cukup.
Syukur dulu, nanti Allah tambah. :)