Demi Masa

Saturday, March 7, 2015

Al-Fatih

Bismillahirrahmanirrahim.


sumber: google


Kanak-kanak yang baru menginjak usia enam tahun itu berlari-lari pergi mendapatkan ibunya. Dilap hingus yang mengalir dengan hujung lengan baju. Matanya merah tapi sudah kering tidak lagi basah dek tangisan.

"Ummi! Ummi!"

Qurratul Ain yang sejak dari tadi asyik membaca buku 'Untukmu Wanita' karya Dr. Zaharuddin menoleh. Sedar pada anak kecilnya itu ada tangisan yang masih bersisa. Sedarinya tadi Muhammad Luqman Al-Fatih seronok bermain bola dengan teman-teman yang lain. Ini tiba-tiba pula dilihat menangis.

"Ye sayang. Kenapa anak Ummi mata merah ni? Tadi Ummi tengok Fatih seronok main bola dengan kawan-kawan kan?" 

Jawab Qurratul Ain lembut sambil mengelap hingus Fatih menggunakan kain kecil yang sentiasa tersimpan dalam beg tangannya. Ain membelai rambut si kecil itu untuk memujuk. Buku 'Untukmu Wanita' ditanda halaman terakhir dibaca dan diletak tepi. Kini fokusnya hanya pada anak lelaki sulungnya itu.

Fatih. Membawa maksud permulaan, pembukaan. Juga dipilih nama itu semperna tokoh Islam yang berjaya membuka kota Konstantinopel. Alir mata Fatih serupa ayahnya. Mata yang sentiasa tersenyum. Tapi bibirnya nipis mengikut ibunya.

"Tadi Fatih tengah seronok main bola lepastu Imran sepak bola kuat sangat sampai terkena tangan kiri Fatih ni. Fatih pun nangis lah. Lepastu kawan-kawan yang lain semua ejek Fatih katanya budak lelaki mana boleh nangis. Fatih terus lap air mata tahan sakit ni, Ummi. Betul ke Ummi budak lelaki tak boleh menangis?"

Qurratul Ain senyum dan tidak terus menjawab soalan Fatih. Dia terlebih dahulu melihat tangan kiri anaknya yang kelihatan sedikit memerah. Digosok dan ditiup. Bermula surah Al-Fatihah, surah As-Syu'ara ayat 80 dan selawat syifa lalu ditiup pada tangan anaknya. 

"Ummi...betul ke budak lelaki tak boleh menangis?" Fatih mula merengek melihat ibunya masih tidak menjawab pertanyaannya tadi.

"Okay Ummi dah tiup tangan Fatih tu. Ummi dah doa, dah jampi sikit. Doa seorang ibu makbul tau. Fatih pun kena doa dekat Allah biar Allah lekas-lekas bagi tangan Fatih tak sakit dah."

Fatih cepat-cepat menadah tangan. Terkumat-kamit mulut kecil itu berdoa sambil memejam mata. Ain tersenyum melihat telatah anaknya. Doa seorang anak kecil yang masih bersih dari dosa. Ikhlas. Tulus. Mana mungkin Tuhan akan menyia-nyiakan doa itu. Hatinya gembira dan bersyukur dia dan suami telah menanam rasa cinta dan perlu pada Allah ke dalam hati anaknya biarpun masih kecil.

"Aminnn." Bibir comel Fatih mengaminkan doanya tadi. Ain turut sama mengaminkan.

"Fatih, duduk sini sebelah Ummi. Ummi nak cerita dengan Fatih. Nak dengar tak?"

Fatih mengangguk laju dan terus duduk di sisi ibunya. Wajahnya sudah kembali ceria. Matanya bersinar-sinar tanda tak sabar mendengar cerita ibunya. Anak kecil memang fitrahnya begitu. Suka mendengar cerita. 

"Siapa nama nabi kita?" Ain cuba menyoal pengetahuan am anak sulungnya.

"Nabi Muhammad." Fatih yakin menjawab.

"Alhamdulillah. Pandai anak Ummi." Qurratul Ain tersenyum dan menggosok-gosok rambut lurus anaknya. Bila ditenung muka Fatih, dia lebih iras wajah ayahnya berbanding wajah Ain sendiri.

Qurratul Ain menyambung ceritanya, " Fatih tahu tak? Nabi Muhammad, nabi kita tu adalah insan yang paling banyak menangis sebab takutkan Allah. Nabi juga seorang lelaki tapi Baginda tak malu pun nak menangis. Sebab apa? Sebab menangis itu bukan tanda seseorang itu lemah tau. Nabi pernah menangis bila anaknya Ibrahim meninggal dunia. Begitu tanda sayang Baginda pada anaknya. Tapi kan Fatih.."

Fatih fokus memandang wajah Ain seperti sedia menerima apa saja yang diceritakan oleh ibunya.

Ain teruskan kata-kata," ..Fatih tak boleh sentiasa menangis sebab hal-hal kecil. Fatih kena kuat. Sebab Nabi Muhammad walaupun Baginda selalu menangis tapi Baginda seorang yang kuat dan tabah. Waktu Baginda berdakwah di Thaif, semua orang taknak dengar cakap Baginda tau. Baginda kena baling batu lagi. Sampai bertakung darah dalam kasut baginda. Sakit kan, Fatih? Tapi apa yang Baginda buat? Baginda terus mengadu dan berdoa dekat Allah. Bila malaikat kata nak hancurkan penduduk Thaif sebab buat macam tu dekat Nabi Muhammad, nabi tak bagi. Sebab nabi sangat pemaaf dan berhati lembut. Fatih kena ikut macam nabi juga, kena jadi kuat dan pemaaf bila orang buat tak baik dengan kita. Faham tak anak Ummi ni?"

Fatih mengangguk faham. Walau tak semua butir kata ibunya yang dia fahami tapi sel-sel otaknya telah berhubung bahawa dirinya perlu ikut sifat Nabi Muhammad. Kena jadi kuat dan pemaaf.

"Ummi, ceritalah apa-apa lagi." Anak kecil itu belum puas mendengar cerita. Diminta ibunya terus menyambung cerita-cerita lain.

"Boleh. Tapi nanti suruh Walid pulak cerita. Suruh Walid cerita pasal Sultan Muhammad Al-Fatih pula. Walid bila bercerita, best tau. Tapi sekarang Ummi nak tanya Fatih, apa yang Fatih perlu buat dekat kawan-kawan Fatih tu?"

"Fatih nak pergi main bola balik dengan kawan-kawan tapi sebelum tu Fatih kena jadi kuat, kalau kena bola Fatih tak boleh menangis." Petah Fatih menjawab.

"Lagi?" Qurratul Ain menduga apa yang difahami oleh anaknya pada ceritanya tadi.

Fatih berfikir-fikir sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. "Hmmm..haa! Fatih kena maafkan kawan-kawan Fatih tadi. Fatih kena maafkan Imran sebab tersepak bola sampai kena Fatih tadi. Fatih kena maafkan Saiful, Kamal, Anas dan Umar sebab ejek Fatih menangis tadi. Betul tak, Ummi?"

"Alhamdulillah, pandai anak Ummi. Ummi doa Fatih membesar jadi anak yang soleh, kuat dan berhati lembut untuk memaafkan. Amin."

Dikucup ubun-ubun anaknya sebelum Fatih kembali pergi bermain. Fatih kelihatan girang semula sambil berlari-lari ke padang. Baru separuh langkah Fatih menoleh ke arah Ain semula, "Ummi, mana Walid?"

"Walid pergi bawa Zahra dengan Uwais pusing-pusing taman. Kejap lagi Walid datanglah sini balik." Tenang Ain menjawab pertanyaan anaknya sambil menghadiahkan senyuman paling ikhlas.

sumber: google

Qurratul Ain bersyukur dengan nikmat keluarga yang Allah kurniakan ini. Alhamdulillah. Tak putus-putus kalimah itu dari bibirnya sejak hari pertama diijab kabulkan dengan suaminya. Dia terus tersenyum sambil menggosok-gosok perutnya. Terasa tendangan kecil dari dalam rahim. Dia dan suami sedang menanti ulama' kecil yang ke empat! 

Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan yang baik juga?  Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?
(Ar-Rahmaan 55:60-61)

 

No comments: