Aku mulakan dengan menyebut nama Allah, segala puji hanya bagiNya. Alhamdulillah, masih berpeluang untuk hidup di atas muka bumi ini. Terima kasih Ya Rabbi.
Hari ini aku punyai cukup banyak waktu terluang. Tetapi, entahlah, sama ada aku telah gunakan dengan sebaiknya atau tidak. Harapnya, segala yang aku lakukan hari ini mendapat keredhaan Allah. Amin. InsyaAllah.
Baru sebentar tadi usai berbual bersama sahabat karibku, Nadiah menerusi telefon. Bertanya khabar dan yang utama meminta pandangan dan nasihat daripadanya. Terima kasih sahabat untuk nasihat, ceramah dan 'bebelan' itu. Baru aku tahu bahawa aku masih tidak matang dalam beberapa perkara. Terima kasih lagi sekali kerana menyedarkan aku.
Itulah guna sahabat, bukan?
Sekarang aku sedang cuba bersengkang mata untuk menyiapkan tugasan yang telah diamanahkan. Rasanya tidak mampu aku menahan mata ini lama-lama, sebentar lagi aku akan berhenti juga.
Jika difikir-fikir, apalah gunanya aku belajar subjek ini, juga beberapa yang lain. Engineering Drawing, ada kena mengenakah dengan majoring aku nanti? Tentunya tidak. Biochemical-Biotechnology mana perlu semua itu, bukan?
Ya, itulah yang selama ini bermain di fikiranku. Namun aku telah disedarkan oleh seorang lecturer, tentunya peringatan dari Allah. Lecturer programming tersebut, Dr Sigit telah memperkenalkan perkataan 'senmon bakka' kepada kami. Perkataan Jepun yang dipelajarinya semasa beliau menuntut di sana dahulu. Maksudnya lebih kurang, hanya menumpukan kepada satu bidang. Iyalah, ilmu Allah itukan luas, mengapa perlu menyempitkan pemikiran hanya dalam satu bidang. Tiada salahnya untuk mempelajari sesuatu yang bukan dalam pengkhususan kita. Semua itu ilmu.
Aku tersedar dengan khilafku selama ini. Tidak sepatutnya aku mempersoalkan kenapa dan mengapa aku perlu mempelajari semua itu. Kembali aku mentajdid niat, lillahi ta'ala.
Jadi sekarang ini, insyaAllah aku akan cuba sehabis baik untuk tidak merungut dengan semuanya. Ilmu itu cahaya. Dan aku amat memerlukannya untuk menerangi perjalanan hidupku ini. Ya Allah, bantulah aku untuk terus istiqamah dalam mujahadah ini. Amin, Ya Rabbal 'Alamin.
Sekarang, tiba masanya untuk aku menyambung kembali tugasanku. InsyaAllah, tiada keluhan. Hanya senyuman :)
No comments:
Post a Comment